PERJALANAN KONGRES AGUNG TAHUNAN NDP KALI KE-3

Kemajuan seimbang perlu dalam Wawasan Brunei 2035

 
 

LIMBARUH HIJAU 27 JUN 2008 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) tidak ada masalah menyokong dan mendokong matlamat yang di ingin capai oleh negara melalui program pembangunan Wawasan Brunei 2035 selagi program pembangunan jangka panjang tersebut dan perlaksanaannya bersifat holistic dan seimbang antara tuntutan jasmani dan rohani.

Pekara ini di tekankan oleh Ayahnda Yasin Affandy, Presiden NDP dalam Ucapan Dasar Presiden NDP di Majlis Perasmian Kongres Agung Tahunan NDP bagi kali ke-3 yang berlangsung di Dewan Utama ICC, Berakas pada 21 Jun baru lalu. Teks Ucapan Dasar Presiden di sampaikanoleh sdr Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden NDP.

Dalam Ucapan Dasar tersebut Presiden NDP menyentuh mengenai Rancangan Kemajuan Negara (RKN) yang telah di laksanakan di bawah program Wawasan Brunei 2035 sejak tahun lepas yang berasaskan kepada Rangka Strategi Dan Dasar Bagi Pembangunan (OSPD).

"OSPD pertama menjangkau

sehingga ke tahun 2017 dan akan dituruti dengan OSPD kedua dan seterusnya yang ketiga ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035".

"Mengikut dokumen rasmi kerajaan, Wawasan Brunei 2035 adalah untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam dikenali di seluruh dunia dengan:

Pertama:           Rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya;
Kedua:              Kehidupan rakyat yang berkualiti tinggi; dan
Ketiga:              Ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan

Sealaras dengan OSPD pertama, projek-projek di bawah RKN9 dikenalpasti dan dirancang berasaskan kepada strategi dan halatuju yang ditetapkan".

"Kita tidak mempunyai masalah mengenai projek-projek yang dirancang untuk dilaksanakan selama mana projek-projek itu benar-benar bermanfaat kepada rakyat seluruhnya", tegas Presiden NDP..

"Akan tetapi yang kita musykilkan ialah keupayaan agensi-agensi pelaksana untuk melaksanakan projek-projek itu mengikut jadual yang ditetapkan. Hal ini ada kaitan dengan keupayaan sistem penyampaian yang pernah sebutkan sebelum ini", tamba Presiden NDP lagi.

Pembangunan Insaniah

Walau bagaimanapun, tegas Presiden NDP lagi, terdapat satu persoalan penting yang sentiasa bermain dalam pemikiran kita.

"Soal ini ialah bahawa kita tidak nampak wujudnya rangka strategi dan dasar bagi pembangunan kerohanian untuk mempastikan hasrat Wawasan 2035 itu dicapai dalam ertikata yang sebenarnya", keluh Presiden NDP.

Katanya kalau kita sanggup bertungkus-lumus mengenalpasti dan merancang projek-projek yang bersifat fizikal dengan begitu teliti dan berdedikasi, kita tentunya mempunyai kemampuan dan kebijaksanaan yang sama untuk mengenalpasti dan merancang projek-projek yang menyumbang kepada pembangunan insaniah dan kerohanian.

"Sebagai sebuah negara Islam dan bukannya sebuah negara sekular, tentulah kita bercita-cita untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam yang kita cintai ini sebagai sebuah negara Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghafuur, iaitu negara yang baik lagi mendapat keampunan Tuhan. Oleh itu dalam apa jua tindakan yang kita ambil kita mestilah berpegang kepada teras pemerintahan Islam iaitu al-‘Adl wa al-Musawwah, yakni keadilan dan kesaksamaan", ujar Presiden NDP.

Presiden NDP berpandangan keadilan dan kesaksamaan yang kita maksudkan dalam konteks ini boleh diterapkan dalam dua aspek iaitu pengenalpastian projek dan pelaksanannya.

"Ini bermakna projek-projek yang dikenalpasti mestilah memenuhi keperluan rakyat, bukannya yang bersifat menunjuk-nunjukkan kemewahan lagi membazir".

"Bagi menepati prinsip keadilan dan kesaksamaan, apa jua projek, tender dan kontrak hendaklah diagih dan ditawarkan kepada mereka yang layak dan berhak tanpa sebarang pilih kasih bagi mempastikan tidak ada unsur kronisme, nepotisme dan penyelewengan".

Sementara dari aspek pelaksanaannya pula, tambahnya, ianya juga mestilah telus, terbuka dan tidak hanya memanfaatkan pihak-pihak tertentu sahaja.

Seterusnya Presiden NDP menekankan bahawa pengenalpastian dan perancangan projek-projek yang bersifat kerohanian itu adalah penting bersandarkan kepada maksud sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. yang berbunyi seperti berikut;

“Bukannya yang dinamakan kaya itu kerana banyaknya harta, tetapi yang dinamakan kaya yang sebenarnya ialah kayanya jiwa.”

"Jelasnya kejayaan sesebuah negara amat bergantung kepada akhlak rakyatnya", tegas Presiden NDP.

"Apa ertinya rakyat yang mempunyai tahap pendidikan dan kualiti hidup yang tinggi dan harta yang banyak, jika maruah dan harga diri mereka rendah, berakhlak buruk dan, terhakis jatidiri mereka sebagai bangsa Melayu dan umat Islam, berputih mata ketika mana nilai-nilai kebangsaannya dicabuli".

"Kita tidak mahu rakyat negara ini menjadi seperti di negara-negara maju yang lain yang mencapai status kemajuan yang begitu tinggi tetapi moral dan akhlak masyarakatnya runtuh, penghayatan dan jatidiri bernegara semakin terhakis", jelas Presiden NDP.

Selaras dengan ini, Presiden NDP menyeru kepada kerajaan supaya mengkaji semula Perencanaan Kemajuan Jangka Panjang Negara Brunei Darussalam ini.

"Langkah ini adalah perlu bagi membuka ruang untuk  memikirkan dan merangka semula strategi dan dasar bagi pembangunan insaniah dan kerohanian yang bersepadu dengan rencana kemajuan fizikal yang telah dirancang", kata Presiden NDP.

Presiden NDP juga menegaskan tahap penglibatan rakyat dalam halatuju negara ke arah Wawasan 2035 hendaklah juga dipertingkatkan dalam semua peringkat.

"Hasrat kita ialah supaya kedua-dua elemen pembangunan ini berjalan serentak dalam usaha mengungkayahkan matlamat Wawasan 2035".

"Saya rasa kita masih belum terlambat untuk berbuat demikian. Tetapi kita tidak juga boleh berlengah kerana perkara bertangguh tak selesai, perkara bertegak tak menjadi", ujar Presiden NDP.

Jangan biarkan Brunei jadi negara sekular

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.