Sistem penyampaian yang masih lemah

 
 

BANDAR SERI BEGAWAN JUN 2008 - Sistem penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai oleh sektor awam masih diperkatakan tidak mesra pelanggan, lambat, kurang efisien dan tidak relevan dengan perkembangan semasa ekoran kerenah birokrasi.

Dengan persepsi sedemikian, pemimpin di organisasi masing-masing haruslah memainkan peranan pro aktif mengkaji, meneliti dan menilai semula sistem, prosedur dan peraturan yang sedia ada, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Eussof Agaki Haji Ismail.

Beliau menambah kata pegawai-pegawai kanan sektor awam harus memperbaiki keadaan itu sejajar dengan tuntutan perkembangan semasa bagi memastikan perkhidmatan yang menepati kehendak dan permintaan masa kini.

Justeru itu jurang di antara permintaan pelanggan dan perkhidmatan haruslah dirapatkan dengan memastikan pelanggan berasa selesa berurusan dengan pegawai-pegawai yang diamanahkan, tambahnya.

Ketika berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup dan penyampaian sijil peserta program pembangunan eksekutif bagi pegawai-pegawai kanan kerajaan kali ke-12, hari ini.

Dato Seri Paduka Eussof Agaki juga melahirkan harapannya supaya program pembangunan eksekutif itu bukan setakat dipertingkatkan dan diguna pakai dalam aspek pengurusan terkini dan relevan, malah pegawai kanan kerajaan seharusnya mengambil kira perkembangan pantas teknologi maklumat dan komunikasi semasa.

Penggunaan e-Kerajaan diharapkan menjadi suatu kenyataan supaya perkhidmatan dapat diberikan dengan cepat, mudah, fokus pelanggan, kos efektif dan secara keseluruhannya berbeza dan lebih baik daripada sebelumnya tegasnya.

Beliau turut mengingatkan supaya idea yang bernas dan bijak dalam visi, misi serta perancangan strategik sesebuah organisasi itu dapat dilaksanakan kerana perkara itu berkait rapat dengan Program Pembangunan Kapasiti yang dianggap pemudah cara untuk mencapai objektif sesebuah organisasi.

Beliau juga menegaskan pemimpin yang di lantik bukan setakat mendapat sokongan daripada pihak bawahan semata-mata tetapi kualiti kepimpinan juga harus dinilai dari aspek usaha individu dan sikap terbuka untuk menerima kritikan dan pandangan orang lain.

Pemimpin juga semestinya mampu berfikir secara kreatif terutama dalam menyediakan pilihan-pilihan penyelesaian yang boleh digunakan oleh pihak atasan sebagai suatu keputusan yang tepat.

Beliau kemudiannya menyampaikan sijil kepada peserta-peserta program dan menyampaikan hadiah kepada penerima-penerima individu dan kumpulan yang terbaik sepanjang program berkenaan. (MP)

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.