LIMBARUH HIJAU 6 JUN 2008 - SAYANG seribu kali sayang. Kalaulah negara mempunyai keupayaan untuk membekalkan kuasa tenaga yang mencukupi sudah tentu banyak pelabur asing dari kalangan syarikat gergasi antarabangsa yang sudah bertapak di sini.
Dengan kehadiran mereka melabur di Brunei sudah pasti masalah pengganguran dapat di kurangkan. Ekonomi tempatan, seperti restauran, kedai runcit, syarikat perkhidmatan dan lain-lain juga setentunya akan mendapat laba dari tumpahan pelaburan asing seperti 'Google', syarikat gergasi internet dan REC, sebuah lagi syarikat gergasi terkenal yang bertaraf antarabangsa.
Kedua-dua syarikat ini di katakan merupakan antara pelabur-pelabur asing yang sudah berminat untuk melabur di Brunei akan tetapi terpaksa membatalkan niat mereka apabila mendapati tenaga kuasa di Brunei yang kaya dengan minyak dan gas tidak mencukupi untuk memenuhi kehendak operasi mereka.
Contohnya Google yang memerlukan 35 MegaWatt lari ke Malaysia dan REC yang memerlukan 50 MegaWatt lari ke Singapura.
Anehnya dan sangat memeningkan kepala, Singapura yang tidak memiliki sebarang hasil bumi, jangan kata minyak dan gas, di dapati lebih sesuai dan boleh membekalkan kuasa tenaga yang di perlukan oleh pelabur-pelabur.
Begitulah kira-kiranya kisah kegaggalan Brunei yang di tinjau oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei, Vincent Cheong ketika menyampaikan taklimat mengenai Prospek Ekonomi Brunei bagi 2008-2009 di Jerudong dua hari lepas.
Katanya Brunei mempunyai potensi besar untuk menarik minat pelabur asing yang terdiri daripada syarikat antarabangsa terkenal tetapi disebabkan kurangnya keupayaan negara ini membekalkan kuasa tenaga melebihi lima MegaWatt, beberapa pelabur asing terpaksa menarik diri dan melabur ke negara ASEAN lain.
Cabaran yang dihadapi Brunei kini, katanya, ialah untuk membekalkan tenaga bagi projek yang memerlukan tenaga sebanyak lima MegaWatt.
Cheong berkata menurut kajian yang dijalankan sebanyak 81 peratus tenaga yang dibekalkan di Brunei digunakan bagi kegunaan rumah dan komersial manakala hanya 19 peratus saja yang digunakan bagi perindustrian.
Berbanding negara ASEAN lain lebih 40 peratus tenaga yang dikeluarkan digunakan bagi perindustrian dan kira-kira 50 peratus bagi perumahan dan komersial, katanya lagi.
Di samping itu, Cheong berkata sebahagian besar gas digunakan di negara ASEAN adalah bagi tujuan perindustrian dan perumahan serta komersial manakala Brunei hanya menggunakan 17.5 peratus gas yang dikeluarkan bagi kegunaan domestik manakala lebih dari 80 peratus dibekalkan kepada negara luar.
Beliau percaya Brunei mempunyai potensi yang besar dalam membangunkan ekonomi dan terdapat banyak pelabur asing yang menunjukkan minat untuk melabur di Brunei.
Bagaimanapun katanya, untuk memastikan negara mencapai matlamat itu memerlukan usaha bersepadu semua pihak.
BEDB sebagai salah satu agensi bertanggungjawab memajukan ekonomi negara berusaha secara berterusan untuk membangunkan ekonomi negara manakala sektor swasta dan kerajaan harus bekerjasama membangunkan serta membantu mencapai hasrat kepelbagaian ekonomi negara, ujarnya.
Meneliti pandangan Ketua Pengarah Eksekutif BDEB itu jelas masalah yang di hadapi negara bukan masalah baru.
Kegaggalan negara menyediakan prasarana bagi pembekalan tenaga kuasa yang di perlukan untuk menjana perkembangan industri mencerminkan kelemahan negara di fasa perancangan lagi.
Ianya juga menggambarkan kurang kesepaduan antara agensi-agensi kerajaan dalam merancang dan melaksanakan pembangunan ekonomi dan industri bukan minyak dan gas.
Contohnya jelas jika kita amat-amati pandangan BEDB itu. Pelabur-pelabur seperti Google dan REC sudah terpikat dengan iklan-iklan agensi-agensi kerajaan yang menwar-warkan Brunei sebagai negara yang punya peluang pelaburan yang menarik.
Malangnya apabila mereka meninjau Brunei di sebalik iklan-iklan yang menarik itu, nyata agensi kerajaan yang bertanggungjawab menyediakan bekalan tenaga kuasa untuk menampung operasi industri-industri sebenarnya belum bersedia.
Dalam perkataan lain, tidak ada kesepaduan dan kesajajaran perancangan antara agensi memajukan dan mempromosikan bidang industri dan agensi yang menyediakan prasarana yang di perlukan seperti perkhidmatan pembekalan letrik.
Masalah ini bukan masalah baru bagi negara. Ianya sudah berlaku sepanjang 24 tahun yang lalu sejak negara mendapat kembali kedaulatan penuh dan kemerdekaan dari pihak British.
Sepanjang perjalanan negara menikmati era kemerdekaan itu entah berapa banyak peluang-peluang keemasan untuk memacu negara ke tahap kecemerlangan melalui usaha mempelbagai ekonomi dan pelaburan asing yang sudah terlepas kerana ketidaaan kesepaduan dan pensejajaran perancangan kemajuan negara dan perlaksanaannya itu. Entah berapa ratus program-program dan projek-projek kemajuan negara yang tidak dapat di laksanakan sepanjang 24 tahun lepas atas sebab kurang perancangan yang teliti dan kesepaduan ini?
Itu kita baru menyentuh persoalan mengenai peluang pelaburan asing yang terlepas di sebabkan kurang perancangan dan tidak bersepadu belum lagi isu-isu lain yang menyentuh kesejahteraan rakyat seperti contohnya pembinaan lebuh raya Seria-Bypass yang tidak ada lampu jalan raya.
Menurut sumber-sumber yang dapat di percayai lebuh raya tersebut tidak mempunyai lampu jalan raya di sebabkan JKR tidak awal-awal lagi meminta dari Jabatan Letrik untuk menyediakan lampu-lampu jalan raya apabila membuat perancangan membina lebuh raya tersebut.
Nasib baik rata-rata rakyat di Brunei bersikap submisif dan pasif dan 'berawar galat' untuk mempersoalkan keggaggalan elit-elit pentadbir yang merugikan negara itu, kalau tidak memang banyak yang tidak nyaman tidur.
Dalam memperkatakan kegaggalan kita yang sudah lalu itu, timbul pula keraguan apakah perancangan dan perlakasanaan projek-projek dan program-program pembangunan menuju kearah merealisasikan Wawasan Negara 2035 akan menerima nasib yang sama? Wallah Wa alam.