JAKARTA: Rakyat dan penganalisis beberapa negara Asia menyambut baik berita kejayaan Barack Obama yang melakar sejarah sebagai calon kulit hitam pertama bagi jawatan Presiden Amerika Syarikat dan menganggap beliau mampu memulihkan semula hubungan luar Washington yang agak tegang di rantau itu.
Obama kini sah menjadi calon Demokrat selepas memperoleh kemenangan menerusi sokongan perwakilan dan mengatasi pesaingnya, Senator Hillary Clinton.
Rakyat Indonesia misalnya meraikan berita kejayaan itu berikutan latar belakang Obama yang pernah menghabiskan zaman kanak-kanaknya di negara Asia itu.
"Saya tidak pernah menyangka Obama akan menjadi seorang pemimpin hebat," kata Widianto Hendro Cahyono, 48, yang pernah duduk di sebelah Obama dalam kelas di sekolah rendah SDN Menteng di Jakarta.
Penduduk negara itu sememangnya memandang tinggi Obama yang disifatkan sebagai wira tempatan. Obama pernah tinggal di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam ketika berusia 6 hingga 10 tahun, bersama ibu dan bapa tirinya yang juga rakyat tempatan. Obama juga masih dekat di hati ramai bekas guru dan rakan sekelasnya.
"Obama hanyalah pelajar sederhana, tetapi amat aktif," kata Cahyono. "Beliau lazimnya bermain bola sepanjang masa rehat."
Pengetua sekolah itu, Kuwadiyanto yang tidak kurang berasa bangga, berharap Obama akan kembali mengunjungi negara itu.
Anggota Jawatankuasa Perhubungan Luar Indonesia, Djoko Susilo pula menyifatkan pemilihan Obama dapat meningkatkan hubungan kedua-dua negara.
"Apa yang penting adalah menghentikan kempen ketenteraan di Iraq dan Afghanistan," katanya yang juga ahli Parti Mandat Kebangsaan.
Kalangan sarjana pula berkata Jepun mengharapkan perubahan dasar luar Washington yang lebih sederhana manakala China pula sememangnya mahukan pemimpin baru selepas era pentadbiran Presiden George W Bush yang lebih banyak diselubungi kontroversi.
Obama, 46, kini memasuki fasa baru kempen apabila berdepan dengan calon Republikan, John McCain, 71, veteran perang dan penyokong kuat kempen ketenteraan Amerika di Iraq.
Obama sebaliknya menentang keras pencerobohan tentera Amerika dan menggesa pengunduran tentera asing itu dibuat lebih awal. Beliau juga memaparkan kesediaan untuk berdialog dengan Iran, Korea Utara dan Cuba - negara yang sudah lama disisihkan Amerika menerusi dasar luar Bush.
Di Vietnam yang selama ini menyaksikan pasangan Clinton dipuji kerana memulihkan hubungan dua negara itu pada 1990-an, ejen hartanah Ngo Van Hung, 33, berkata beliau mengubah sokongan daripada Hillary kepada Obama selepas tertawan dengan cara kempen Obama.
"Obama membantah kempen di Iraq sedari awal lagi. Beliau kelihatan seperti individu yang cintakan keamanan," katanya.
Di China, Timbalan Pengarah Pusat Kajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Peking di Beijing, Zhu Feng berkata biarpun tidak menjangkakan perubahan besar dasar luar Amerika, tetapi kehadiran Obama jika dilantik Presiden, dapat mengubah nada Rumah Putih.
"Obama akan membawa tenaga baru politik domestik dan dasar luar. Beliau sememangnya calon terbaik bagi Demokrat."
Di Thailand, Profesor Chaiwat Khamchoo berkata ketegangan dicetuskan Amerika mungkin dapat dikurangkan berikutan kehadiran Obama biarpun hubungan Amerika-Asia tidak dijangka berubah secara dramatik.
Di Pakistan, pandangan sebalik nya mengenai Obama berikutan kenyataannya menegaskan Amerika perlu bertindak sendirian ke atas maklumat sasaran pengganas di sempadan Pakistan. Ini menyebabkan ada yang menganggap Obama tiada jauh bezanya daripada Bush. � AP