Obama calon Demokrat rebut Presiden AS

 
 

MINNESOTA: Senator muda Illinois, Barack Obama menewaskan bekas Wanita Pertama, Hillary Clinton sebagai calon rasmi Demokrat bagi merebut jawatan Presiden Amerika Syarikat dan melakar sejarah sebagai kulit hitam pertama mewakili parti utama dalam persaingan berkenaan.

Selepas tamat pemilihan calon peringkat parti itu di dua negeri terakhir � Montana dan Dakota Selatan, Obama berjaya mendapat sokongan minimum 2,118 perwakilan yang diperlukan.

Dalam pemilihan kelmarin, Obama memenangi Montana, manakala Clinton mencatat kemenangan di Dakota Selatan.

Ketika mengisytiharkan kemenangannya, Obama, 46, berkata: "Amerika, inilah saatnya. Inilah masa kita. Masa kita mengalih pandangan mengenai dasar sebelum ini.

"Malam ini, saya berdiri di depan anda dan berkata saya akan menjadi calon Demokrat untuk Presiden Amerika Syarikat," katanya dalam aksi akhir sejarah pemilihan calon paling lama, paling mahal dan paling menarik itu.

Bagaimanapun, Clinton yang terlepas peluang mencipta sejarah sebagai presiden wanita pertama Amerika, sebaliknya menuntut penghormatan diberikan kepada hampir 18 juta pengundinya.

Bekas Wanita Pertama itu mengucapkan tahniah kepada Obama di atas persaingan 'luar biasa', tetapi berkata: "Persoalannya ialah ke mana kita akan pergi dari sini dan memandangkan kita sudah sampai sejauh ini dan ke mana kita perlu pergi sebagai satu parti, ia bukan persoalan yang saya pandang ringan.

"Ini adalah kempen yang panjang dan saya tidak akan mengambil sebarang keputusan malam ini."

Dalam perbualan telefon dengan ahli perundangan New York pula, Clinton buat kali pertama menyuarakan kesediaannya berkhidmat sebagai Naib Presiden kepada Obama.

Kejayaan bersejarah Obama itu mencipta pertembungan menarik pada pemilihan Presiden Amerika Syarikat, 4 November ini, dengan calon dari Republikan, John McCain, 71, adalah veteran perang Vietnam.

Obama, senator muda dari generasi politik baru hasil campuran keturunan yang berkarisma dan arwah datuknya seorang Muslim di Kenya, bagaimanapun mengakui perlu menyatukan anggota partinya yang berpecah. � AFP

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.