PERJALANAN KONGRES AGUNG TAHUNAN NDP KALI KE-3

Negara mampu bendung kemiskinan

 
 

LIMBARUH HIJAU 28 JUN 2008 - Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yakin, melalui perancangan pihak kerajaan yang rapi di sertai kesungguhan dan iltizam semua pihak, Negara mampu membendung kemiskinan dari terus berleluasa.

Perkara ini di tekankan oleh Ayahnda Yasin Affandy,Presiden NDP dalam teks Ucapan Dasar Presiden yang di sampaikan oleh sdr Mahmud Morshidi Othman, Timbala Presiden NDP di majlis perasmian Kongres Agung Tahunan NDP kali ke-3 yang berlangsung di Dewan Utama ICC, Berakas pada 21 Jun baru lalu.

"Mengikut statistik, Brunei boleh dianggap negara yang kaya kerana mempunyai pendapatan per kapita KDNK hampir BND 48,000 dengan KDNK negara berjumlah BND 15.9 bilion pada akhir RKN8", ujar Presiden NDP.

"Dari segi teori dengan pendapatan yang begitu tinggi, soal kemiskinan sepatutnya tidak menjadi isu di negara kita ini".

"Soalnya di sini, ialah mengapakah negara Brunei Darussalam masih belum berupaya membebaskan diri dari isu dan permasalahan kemiskinan?"

"Barangkali sistem agihan kekayaan yang lemah dan tidak cekap menyebabkan wujudnya masalah kemiskinan atau mungkin ada faktor-faktor yang lain yang selama ini tidak didedahkan kepada khalayak ramai?', ujar Presiden NDP.

Menurut Presiden NDP satu kajian mengenai kemiskinan yang dibuat oleh sebuah institusi pengajian tinggi tempatan antara tahun 2001-2002, telah menunjukkan model-model
yang digunapakai untuk mengenal pasti kadar asas kemiskinan, absolute poverty.

Berdasarkan dapatan kajian itu, tabahnya, kadar sara hidup yang dikenalpasti bagi seorang ialah BND 280.00 sebulan.

"Dapatan kajian oleh Centre for Strategic and Policy Studies (CSPS), pula menunjukkan bahawa warga perkhidmatan awam yang dilantik dalam dalam skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan yang akan bersara pada 2023 dengan sendirinya akan jatuh ke dalam jurang absolute poverty dalam jangkamasa tidak sampai setahun selepas bersara".

"Ini kerana kajian tersebut menunjukkan faedah persaraan yang akan diterima hanya mampu bertahan untuk tempoh 10 bulan sahaja berdasarkan gaya perbelanjaan sekarang dan kos kehidupan yang pastinya meningkat di kala itu".

Sehubungan dengan itu, Presiden NDP meluahkan harapan agar Kerajaan Kebawah DYMM menaikkan peruntukan Elaun Usia Tua BND 250 sebulan kepada BND 400, dan usia penerima diturunkan daripada 60 tahun kepada 56 tahun.

"Kita juga berharap agar Kerajaan Kebawah DYMM dapat menimbangkan pemberian kurnia khas yang diberikan kepada kaki tangan awam sejumlah BND 200 seterusnya dilaratkan juga kepada kakitangan sektor swasta, dan kakitangan syarikat-syarikat tempatan bagi merangsang belia-belia yang menganggur agar tidak terlalu memilih pekerjaan", kata Presiden NDP.

Presiden NDP seterusnya merayu agar Kerajaan Kebawah DYMM turut mengkaji semula kebajikan kakitangan perkhidmatan awam peringkat rendah dengan memperbaiki skim perkhidmatan dan gaji yang diterima dengan menetapkan kadar gaji mimima bagi skim perkhidmatan terendah tidak kurang daripada BND 35.00 sehari dan kenaikan tahunan tidak kurang daripada 10 peratus. Di samping itu, skim-skim perkhidmatan yang lain hendaklah juga dikaji dan ditentukan kadar bayaran minima dan kenaikan tahunan yang lebih munasabah mengikut kelayakan.

"NDP juga merayu kiranya Kerajaan Kebawah DYMM mempertimbangkan pemberian elaun makanan bulanan sebanyak BND 200.00 untuk kanak-kanak yang baru lahir sehingga mencecah umur persekolahan formal dan kanak-kanak yang belajar di sekolah formal pula diberikan elaun makanan bulanan sebanyak BND 300.00 sehingga mereka menamatkan persekolahan di peringkat menengah".

"Kita yakin melalui perancangan pihak kerajaan yang rapi untuk membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah ini untuk berdikari, Insyaallah, golongan yang tidak bernasib baik ini akhirnya akan bebas dari belenggu kemiskinan dan kebergantungan kepada pihak Kerajaan", kata Presiden NDP.

Katanya lagi kita sedar bahawa kemiskinan itu adalah satu masalah universal dan wujud dalam mana-mana masyarakat.

"Akan tetapi ini tidak bermakna bahawa masalah itu tidak boleh dibendung sama sekali", tegas Presiden NDP sambil menambah, "Insyaallah, kita boleh membendungnya jika ada kesungguhan dan iltizam semua pihak untuk menanganinya dengan penuh keikhlasan".

"Allah SWT telah melimpahkan kekayaan dan kurnia yang begitu besar, jadi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mentadbir amanah tersebut dengan penuh bijaksana, adil, berihsan dan saksama".

Mudah-mudahan, kata Presiden NDP, dengan perancangan rapi pihak-pihak berkenaan untuk mencarai jalan keluar berkekalan mengatasi masaalah kemiskinan ini serta bantuan-bantuan kepada yang memerlukan seperti yang disyorkan ini, Insyaallah tekanan kehidupan bagi mereka yang  berkenaan akan sedikit sebanyak dapat diringankan.

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.