LIMBARUH HIJAU 24 JUN 2008 - WALAUPUN bilangan penduduk non-muslim atau masyarakat zimmi di negara ini ialah kira-kira 127,000 orang atau 33% dari keseluruhan penduduk namun bilangan tersebut tidak memungkinkan masyarakat zimmi ini berdiri sebagai entiti politik secara bersendirian.
 |
"Ini kerana kita melihat, keupayaan politik mereka berkemungkinan tidak cukup wibawa dan kuat untuk menjadi pelantar sebuah perjuangan yang berasingan", menurut pandangan sdr Mahmud Morshidi Othman di majlis perasmian Himpunan Tahunan Non-Muslim, Pemuda dan Wanita yang berlangsung di Dewan Utama PGGMB Jumat lalu.
"Mengikut statistik terbaru, bilangan penduduk non-muslim atau masyarakat zimmi di negara ini ialah kira-kira 127,000 orang atau 33% dari keseluruhan penduduk. (Sumber: The World Fact Book 2008, CIA)".
" Angka ini merupakan satu jumlah yang besar dan mewakili satu blok kuasa yang tidak boleh dipandang ringan atau dipinggirkan dari arus pembaharuan politik yang sedang di
|
dalam proses untuk mengambil tempatnya di negara ini", ujar sdr Morshidi dalam ucapan perasmiannya.
Katanya walau bagaimanapun, secara pragmatik bilangan tersebut tidak memungkinkan masyarakat zimmi ini berdiri sebagai entiti politik secara bersendirian kerana kita melihat, keupayaan politik mereka berkemungkinan tidak cukup wibawa dan kuat untuk menjadi pelantar sebuah perjuangan yang berasingan.
"Justeru pilihan yang ada hanyalah untuk bergabung dan menjadi komponen yang penting dalam kerangka perjuangan yang lebih luas iaitu melalui NDP".
"Pepatah Melayu ada menyebut, sebatang lidi lebih mudah dipatahkan dari seberkas lidi, dan bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Ini menuntut kepada pertimbangan dan kesedaran yang tinggi di kalangan masyarakat zimmi dinegara ini seluruhnya".
Di peringkat kepimpinan, tambah sdr Morshidi, NDP menyedari akan kepentingan ini sejak awal lagi.
Menurut sdr Morshidi lagi NDP berhasrat masyarakat zimmi di negara ini akan berada dalam satu wadah di bawah panji NDP agar mereka dapat bersama-sama menyumbang ke arah keseimbangan dan kestabilan dalam sistem sosial dan polituk negara.
"Justeru itulah semasa menggubal perlembagaan parti, kita tidak teragak-agak untuk memaktubkan satu peruntukan yang dikhususkan bagi memberi tempat kepada non-muslim dalam kepimpinan parti demi memperjuang dan memelihara kepentingan mereka dalam negara ini".
SAMBUTAN NON-MUSLIM YANG MENGGALAKKAN
Menurut sdr Morshidi lagi pada awalnya, kepimpinan kepada non-muslim di dalam parti diperuntukkan cuma di peringkat pusat.
"Kita tidak meramalkan bahawa golongan non-muslim ini akan memberi sokongan dan komitmen yang begitu menggalakkan terhadap perjuangan NDP", jelas sdr Morshidi.
"Dalam tempoh tiga tahun ini, sokongan yang kita terima di luar dugaan sama sekali. Ini memberi kita satu kesedaran baru bahawa masyarakat zimmi di negara ini khususnya kumpulan-kumpulan etnik bagaikan meletakkan harapan yang tinggi kepada NDP untuk mengenengahkan masalah dan isu-isu yang melibatkan kehidupan masa depan dan kepentingan mereka agar dipertimbangkan dan ditangani oleh semua pihak dengan lebih adil dan saksama", kata sdr Morshidi.
Selaras dengan ini, tambahnya, kita telah melebarkan jaluran kepimpinan non-muslim dari peringkat pusat terus kepada daerah, cabang dan ranting.
"Pemaktuban hak dan ruang kepimpinan tersebut telah dilaksanakan melalui Aturan Dan Peraturan Badan Perhubungan Daerah pada tahun 2006 yang memperuntukkan penubuhan Himpunan Non-Muslim Daerah".
"Langkah pengukuhan lanjutan telah dibuat baru-baru ini yang memperuntukkan kewujudan Himpunan Non-Muslim peringkat cabang dan ranting melalui Aturan Dan Peraturan Himpunan Tahunan Non-Muslim Pusat/Cabang/Ranting. Aturan Dan Peraturan ini telah berkuatkuasa mulai 10 Jun yang lalu setelah Majlis Tertinggi sebulat suara mengesahkannya', menurut sdr Morshidi.
Tambah beliau, "dengan berkuatkuasanya Aturan Dan Peraturan yang saya sebutkan itu, maka urutan kepimpinan non-muslim dalam NDP adalah lengkap dan sempurna bermula daripada peringkat pusat hinggalah ke peringkat ranting".
"Suka juga saya jelaskan di sini bahawa walaupun pemaktuban ini dibuat melalui Aturan Dan Peraturan yang dibenarkan oleh Perlembagaan Parti Artikel 48:1, namun dari segi penguatkuasaan, kuasa dan kekesanannya (effectiveness) adalah setara dan sama dengan sayap-sayap parti yang lain iaitu Himpunan Pemuda dan Himpunan Wanita", jelas sdr Morshidi lagi.
Jangan pandang sinis langkah NDP berikan ruang kepada Non-Muslim
 |
Dalam ucapannya sdr Morhsidi juga menyentuh kemungkinan ada sesetengah pihak yang memandang sinis dan menganggap langkah NDP memberikan ruang kepadfa Non-Muslim dalam NDP hanya satu helah dan strategi politik semata-mata.
"Izinkan saya menegaskan di sini bahawa apa yang kita lakukan sekarang bukannya sekali-kali bermotifkan politik dan oportunistik. Akan tetapi
|
ianya adalah atas dasar kesedaran dan tanggungjawab politik. Menegakkan kebenaran dan keadilan adalah diperintahkan oleh Islam", tegasnya.
Menurutnya Maimun bin Mahran, seorang gabenor di zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz, pernah menyebut, tiga perkara yang tidak dibezakan di antara muslim dengan non-muslim iaitu:
Pertama, siapa yang berjanji kepadanya maka harus ditepati baik kepada muslim atau non-muslim.
Kedua, dan kepada keluargamu harus kau hubungi baik ia muslim atau non-muslim.
Ketiga, dan siapa memberi amanah kepadamu harus kau kembalikan kepadanya baik ia muslim atau non-muslim.
"Oleh yang demikian, kesedaran NDP untuk membela dan memperjuangkan hak golongan non-muslim melalui pelantar parti ini adalah bertepatan dengan apa yang saya sebutkan sebentar tadi", tegas beliau lagi.
Tanggungjawab Dan Komitmen NDP
Sdr Morshidi seterusnya menjelaskan dalam usaha untuk menarik penyertaan golongan non-muslim ke dalam NDP, berbagai gerak kerja telah dilaksanakan untuk mendekati golongan ini terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman melalui sebuah sekretariat yang langsung di bawah pemantauan Jabatan Presiden dikenali sebagai Sekretariat Menyusur Desa.
"Setakat ini, sambutan di kalangan penduduk desa dan pedalaman, terutama sekali masyarakat etnik non- muslim adalah amat menggalakkan".
"Harapan kita ialah supaya kelangsungan daripada semangat tersebut akan membawa kepada penyertaan beramai-ramai golongan non-muslim atau masyarakat zimmi ke dalam NDP".
Untuk itu, katanya para pemimpin NDP terutamanya pimpinan non-muslim perlulah bekerja lebih kuat dalam menggiatkan usaha memperkenalkan dan menarik seramai-ramainya dari kalangan mereka menjadi ahli parti.
"Usaha ini tidak memadai dengan kata-kata sahaja, tetapi kita mesti melaksanakan kerja-kerja yang memberi manfaat langsung kepada mereka, dan ini akan memberi keyakinan bahawa NDP benar-benar komited dan relevan dalam memperjuangkan nasib mereka", tegas sdr Morhsidi.
Konsep Penglibatan
Apabila NDP bercakap soal penyertaan golongan non-muslim khususnya mereka yang keciciran dalam arus pembangunan negara, kata sdr Morshidi, maksud kita ialah bahawa golongan ini juga mempunyai kepentingan dan peranan dalam pembangunan negara.
"Justeru itu pendekatan semasa berkaitan dengan pembangunan ini terutamanya pembangunan luar bandar, sewajarnya mengambil kira integrasi dan penglibatan kumpulan masyarakat ini secara holistik. Kebetulan pula sebahagian besar daripada golongan non-muslim tinggal di luar bandar".
Dalam konteks ini, katanya, kita tertarik untuk melihat definisi PBB mengenai konsep penglibatan masyarakat yang saya sebutkan sebentar tadi.
PBB, tegasnya, mendefisnisikan penglibatan masyarakat sebagai menyediakan peluang bagi membolehkan semua anggota sesuatu masyarakat bersama-sama menyumbang dan mempengaruhi secara aktif proses pembangunan dan menikmati hasil dari pembangunan tersebut.
Berdasarkan definisi PBB tersebut, tambah sdr Morshidi, dapat dirumuskan beberapa elemen penting tentang konsep penglibatan:
Pertama, penglibatan adalah asas penting kepada pembangunan masyarakat untuk meperbaiki taraf hidup ke suatu tahap yang lebih baik.
Kedua, penglibatan masyarakat sepatutunya memberi kuasa kepada masyarakat untuk membolehkan mereka mempengaruhi serta merancang tindakan mereka sendiri.
Ketiga, penglibatan sebagai satu landasan dan pendedahan untuk masyarakat memainkan peranan yang lebih aktif dalam progran pembangunan.
"Justeru, ajakan dan pelawaan kita kepada golongan non-muslim untuk bersama-sama di dalam NDP ini tidaklah dibuat sekadar untuk melepas batuk dan di tangga dan sebagai muslihat politik. Kita sebenarnya mempunyai visi dan harapan terhadap penglibatan yang lebih berkesan yang saya boleh gariskan seperti berikut.
Pertama, penglibatan dalam membuat keputusan.
Kedua, penglibatan dalam perlaksanaan.
Ketiga, penglibatan dalam menerima manfaat.
Dalam konteks yang lebih luas, golongan non-muslim sebagai golongan minoriti tidak seharusnya rasa terpinggir atau terabai lebih-lebih lagi dalam usaha untuk mewujudkan iklim politik yang sihat".
"Ke arah itulah NDP menunaikan ikrarnya untuk memberi tempat yang selayaknya kepada saudara-saudari kita ini".
"Saya berharap dengan penjelasan ini, kita akan berjaya menarik lebih ramai ahli dari kalangan non-muslim untuk memasuki NDP bagi sama-sama memperkasakan perjuangan parti", ujar sdr Morshidi lagi.
Permasalahan Non-Muslim
Juga turut di sentuh oleh sdr Morshidi ialah masalah-masalah yang sedang hadapi oleh masyarakat pendalaman termasuk masyarakat Non-Muslim yang telah sampai kepengatahuan NDP ketika membuat beberapa lawatan ke kawasan-kawasan pendalaman.
"Seperti yang saudara-saudari maklum, kita akan meneruskan lawatan kerja menyusur desa ke perkampungan pendalaman non-muslim di keempat-empat daerah negara ini. Walaupun parti menghadapi masalah logistik dan sumber, tetapi ini tidak menghalang kita
|
|
dari meneruskan usaha-usaha tersebut", tegas sdr Morshidi.
Menurut beliau melalui lawatan-lawatan yang dibuat, kita dapati terdapat beberapa keadaan dan kes yang wujud yang dilihat sebagai menyulitkan kehidupan sesetengah mereka seperti ketiadaan dokumen kelahiran dan pengenalan diri, keciciran pendidikan dan tempat tinggal yang tidak selesa.
"Di samping itu, kita turut mengesan masalah dan persoalan yang mereka timbulkan, seperti kesulitan mendapatkan status kerakyatan walaupun mereka telah tinggal di negara ini sejak beberapa generasi, tidak dicatat perkataan Melayu di dalam kad pengenalan diri mereka, umpamanya Melayu Dusun, Melayu Bisaya, Melayu Murut sebagai rupa bangsa mereka sesuai dengan pengiktirafan Perlembagaan negara ke atas tujuh suku kaum atau puak sebagai Melayu dan diiktiraf rakyat jati negara ini".
"Mereka juga turut bimbang mengenai kemungkinan akan pupusnya budaya dan dialek mereka, sementara suku kaum Iban di negara ini turut merayu agar mereka juga diktiraf sebagai suku Melayu dan rakyat jati ke delapan, dan banyak lagi masalah dan isu yang mereka panjangkan melalui parti ini".
"NDP telah mengangkat sebahagian permasalahan tersebut kepada pihak-pihak yang berwajib dan kita berjanji akan terus menyusulinya, Insyaallah", ujar sdr Morshidi.
Sdr Morshidi juga mengambil kesempatan menyeru kepada pimpinan parti di semua peringkat agar membantu mereka yang memerlukan bantuan sama ada ahli parti ataupun bukan. Mana-mana masalah yang boleh diselesaikan di peringkat parti hendaklah kita tangani dengan sewajarnya.
Katanya NDP seterusnya memandang serius akan permasalahan seperti yang beliau sebutkan.
"Isu ini bukan sahaja harus dilihat dari aspek kebajikan dan kemanusiaan, tetapi juga dari segi keselamatan dan kesejahteraan negara. Justeru itu kita harus memandang jauh ke hadapan dengan mengambil langkah proaktif agar isu-isu tersebut dapat ditangani segera supaya ianya tidak berlarutan", kata sdr Morshidi.