LIMBARUH HIJAU 25 JUN 2008 - HAMPIR 50 peratus dari lebih 380,000 jumlah penduduk Negara Brunei Darussalam adalah wanita, justeru adalah wajar sebuah Kementerian Hal Ehwal Wanita dan Keluarga di tubuhkan khusus bagi menagani hal-hal yang bersangkut-paut dengan wanita dan kekeluargaan.
 |
Perkara ini di cadangkan oleh sdr Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden NDP dalam ucapan beliau di majlis perasmian Himpunan Tahunan Non-Muslim, Pemuda dan Wanita yang berlangsung di Dewan Utama Bangunan Persatuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) pada 20 Jun lalu.
Katanya cadangan ini tidaklah keterlaluan dan bercanggah dengan mana-mana nilai atau norma yang diamalkan di negara ini.
"Saya yakin terdapat ramai daripada golongan wanita yang terpelajar dan berpengalaman yang berupaya untuk mengendalikan hal-hal kewanitaan dan kekeluargaan dengan lebih berkesan", ujar sdr Morshidi.
|
Sebelum itu beliau, dalam ucapannya, menyentuh mengenai penglibatan wanita dalam politik, peranan dan pengaruh besar mereka sebagai penentu dalam mana-mana pilihanraya umum.
Beliau juga menyentuh mengenai peranan dan pengaruh, kuasa dan pengaruh wanita dalam proses membangun sesebuah bangsa yang bermula dari rumah.
"Dalam pengamatan yang saya lakukan ketika pilihanraya-pilihanraya umum di Malaysia, saya dapati bahawa kaum wanita mempunyai pengaruh yang besar dalam menarik dan merayu undi untuk sesuatu parti".
"Justeru itu pihak NDP telah menghantar sekumpulan ahli parti wanita untuk melihat secara praktikal gerak kerja kempen pilihanraya umum PRU 12 Malaysia baru-baru ini".
"Adalah diharapkan apa jua pengalaman yang mereka timba sepanjang tempoh tersebut akan dapat dimanfaatkan bukan hanya untuk kepentingan NDP tetapi juga untuk dikongsikan dengan golongan wanita lain di negara ini", jelas sdr Morshidi.
Belaiu turut menaruh harapan kumpulan tersebut akan mempraktikkan segala pengalaman khususnya stategi merekrut ahli untuk menarik lebih ramai kaum wanita menyertai NDP.
Katanya mengikut statistik, jumlah kaum wanita keseluruhannya di negara ini ialah hampir 190,000 orang atau 49.6 peratus dari jumlah keseluruhan penduduk negara. (Sumber: The World Fact Book 2008, CIA)
"Jumlah ini memberi makna bahawa kaum wanita juga merupakan satu blok kuasa yang besar dalam negara ini dan tidak seharusnya diabaikan", tegas sdr Morshidi.
Peranan, Kuasa Dan Pengaruh Wanita
Menyentuh mengenai peranan, kuasa dan pengaruh wanita, sdr Morshidi merujuk sajak yang begitu masyhur oleh William Ross Wallace, yang bertajuk The Hand That Rocks The Cradle Is The Hand That Rules The World.
Katanya sajak tersebut jelas menggambarkan betapa besarnya peranan, kuasa dan pengaruh kaum ibu dalam membentuk dan mendidik anak-anak sebagai ahli masyarakat".
"Saya menyeru kepada semua ahli parti wanita yang berada di dalam dewan ini dan yang berada di luar sana supaya mengambil iktibar dari maksud sajak ini dan seterusnya merealisasikan peranan dan kuasa yang ada di tangan mereka".
"Ajaklah seramai mungkin wanita yang belum menjadi ahli supaya mereka menyertai NDP dan turut berganding bahu dalam memperkasakan sayap wanita parti".
"Gunakanlah dengan sebaik mungkin segala potensi yang ada dalam diri masing-masing beserta dengan ilmu dan pengalaman yang ditimba untuk menggerakkan sayap wanita sehingga menjadi pemacu yang akan membawa NDP ke tahap yang lebih tinggi dan cemerlang", ujar sdr Morshidi.
Dengan suara dan kuasa yang begitu besar, tambah sdr Morshidi, kaum wanita tidak perlu berasa takut untuk menyuarakan hak dan kepentingan mereka.
NDP sebagai pelantar politik, katanya lagi, sentiasa bersedia untuk menyediakan ruang dan wadah bagi kaum wanita untuk tampil ke hadapan dan memperjuangkan aspirasi mereka. Suara wanita sewajarnya diambil perhatian khusunya dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan mereka sendiri selagi ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam.
Penglibatan Dan Kebajikan
Sdr Morshidi dalam ucapannya juga menekankan pentingnya penglibatan wanita dalam proses membuat keputusan di realisasikan bagi membela hak-hak dan kepentingan kaum wanita.
"Maknanya kaum wanita mestilah terlibat sama dalam membuat keputusan, terlibat sama dalam perlaksanaan dan akhir sekali terlibat sama menikmati manfaat yang diperolehi".
"Jelasnya, kedudukan wanita dalam organisasi NDP bukanlah sekadar mencukupkan kuota, tetapi memikul tanggungjawab dan peranan yang begitu besar untuk sama-sama mengungkayahkan pembangunan negara melalui pelantar parti politik sesuai dengan hasrat NDP sebagai rakan pembangunan dan rakan strategik kerajaan", tegas sdr Morshidi.
Sejak tiga tahun yang lalu, ambahnya, kita dapati beberapa isu yang menyentuh kebajikan kaum wanita dibangkitkan sama ada di peringkat kongres atau di peringkat cabang dan ranting.
"Akan tetapi bagi saya satu isu pokok yang mesti diberi perhatian khas ialah kebajikan ibu tunggal kerana isu tersebut mempunyai implikasi yang amat luas dan menyangkuti isu-isu sampingan yang lain".
"Antara yang boleh saya sebutkan di sini ialah soal pembiayaan keluarga, tempat tinggal yang selesa dan pendidikan anak-anak".
"Adalah menjadi harapan NDP bahawa pihak-pihak yang berwajib melakukan kajian terperinci mengenai isu ibu tunggal ini dan merangka satu program bantuan yang komprehensif dalam usaha menanganinya", tegas sdr Morshidi lagi.
Tambahnya, NDP mahupun negara tentulah tidak rela melihat sebahagian dari rakyatnya hidup melarat dengan kekurangan makanan yang berzat, tempat tinggal yang tidak kondusif untuk pembangunan keluarga yang sihat, keciciran pendidikan dan masalah-masalah sosial yang bersangkutan. Lebih-lebih lagi dalam suasana dunia menghadapi ancaman kekurangan makanan dan kos kehidupan yang meningkat, golongan yang kekurangan ini seharusnya mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Menurut sdr Morshidi dari maklumat yang dikutip sepanjang setahun yang lalu, NDP mendapat maklum tentang banyak berlakunya kes-kes penganiayaan rumah tangga.
"Sebahagian besar daripada mangsa penganiayaan tersebut menghadapi masalah untuk mendapatkan keadilan dan pembelaan sewajarnya kerana ketidakmampuan mereka dari segi pembiayaan khidmat guaman, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak faham akan hak-hak mereka di bawah peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa".
Dalam hubungan sdr Morshidi menyeru supaya pihak kerajaan menubuhkan sebuah Agensi Bantuan Guaman Awam.
"Agensi tersebut adalah bertanggunjawab untuk memberi nasihat guaman dan membela hak-hak wanita yang teraniaya dan tidak berkemampuan dari segi kewangan untuk mendapatkan khidmat guaman percuma", jelas sdr Morshidi.
Wanita Dan Pembangunan Ekonomi
Satu lagi persoalan penting yang di sentuh ialah usaha untuk mentransformasikan tenaga wanita kepada kuasa ekonomi terutamanya di peringkat akar umbi.
Menurut pandangan sdr Morshidi dengan kemahiran dan tenaga kerja yang begitu besar yang sedia ada, beliau yakin golongan wanita boleh dibangunkan sebagai penggerak ekonomi desa melalui perusahaan-perusahan kecil dan sederhana (PKS).
"PKS seperti kraftangan, pembuatan dan pemerosesan makanan ringan, adalah antara kegiatan yang boleh digiatkan dan dikembangkan mengikut konsep Satu Desa Satu Industr".
"Penglibatan kaum wanita boleh secara sepenuh masa atau separuh masa mengikut keperluan dan kesesuaian masing-masing dan ini secara langsung akan menyumbang kepada pendapatan keluarga dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara", menurut pandangan sdr Morshidi.