PERJALANAN KONGRES AGUNG TAHUNAN NDP KALI KE-3

Kuota 50 Peratus Untuk Melayu

 
 

LIMBARUH HIJAU 26 JUN 2008 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) menaruh harapan agar Kerajaan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Daussalam mengambil langkah segera dalam menetapkan kouta sebanyak 50 peratus dikhaskan kepada orang Melayu daripada sebarang peluang di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN).

Setelah hampir 25 tahun merdeka dan setelah melalui lapan RKN, negara bukan sahaja masih belum dapat mencapai sepenuhnya hasrat mempelbagai ekonomi bukan minyak dan gas, bahkan usaha untuk memperkasa ketuanan Melayu dalam bidang ekonomi juga pun belum tercapai.

Hingga ke hari ini bangsa Melayu masih jauh ketinggalan dalam bidang industri dan perniagaan.

"Berdasarkan fakta di dalam Buku Perencanaan Kemajuan Jangka Panjang Negara Brunei Darussalam, walaupun usaha-usaha pembangunan telah dilaksanakan sejak lebih 20 tahun yang lalu melalui lapan Rancangan Kemajuan Negara, namun kemajuan dalam mengembangkan industri selain minyak dan gas masih rendah", tegas Ayahnda Yasin Affandy, Presiden NDP dalam Ucapan Dasar yang di sampaikan oleh sdr Mahmud Morshidi Othman Timbalan Presiden NDP, di majlis perasmian Kongres Agung Tahunan NDP kali ke-3 yang berlangsung di Dewan Utama ICC, Berakas pada 21 Jun baru lalu.

Katanya Negara masih terlalu bergantung kepada hasil minyak dan gas, dan ini menyebabkan Brunei sentiasa terdedah kepada pelbagai kemungkinan dan ancaman kekurangan rizab minyak dan gas, serta ketidakstabilan pasaran dunia yang boleh menggugat kestabilan dan kemakmuran negara.

Kuota 50 Peratus Untuk Melayu

Dalam pada itu, tambahnya, masyarakat Melayu selaku bangsa pewaris masih jauh ketinggalan dalam bidang industri dan perniagaan.

"Banyak usaha telah dibuat untuk menjadikan masyarakat Melayu sebagai pemimpin dalam bidang tersebut tetapi hasilnya kurang memberangsangkan", keluh Presiden NDP.

Justeru tambahnya,"bagi menjamin kedudukan ekonomi  bangsa Melayu dimasa depan, kerajaan hendaklah mengambil langkah untuk menetapkan kuota sebanyak 50 peratus  dikhaskan kepada orang Melayu daripada sebarang peluang  di bawah RKN untuk mereka".

Menurut pandangan Presiden NDP keperluan ini menjadi lebih kritikal untuk mempastikan bangsa Melayu tidak terus tercicir dari segi ekonomi apabila negara mencapai status sepuluh negara teratas di dunia menjelang pencapaian Wawasan 2035. Ini menuntut kepada usaha yang lebih serius dan perancangan yang bersepadu.

"Meskipun pendapatan per kapita KDNK adalah hampir BND 48,000 dan berada di kalangan tertinggi di dunia, akan tetapi rencana kemajuan yang komprehensif masih diperlukan".

"Kerajaan perlu mengambil langkah-langkah proaktif bagi membantu rakyat dan penduduk demi menghadapi cabaran dunia moden dan membina keyakinan terhadap masa hadapan keluarga dan masyarakat seluruhnya", tegas Presiden NDP lagi.


SISTEM PENYAMPAIAN (DELIVERY SYSTEM)

Presiden NDP dalam Ucapan Dasar tersebut juga turut menyentuh sistem penyampaian atau delivery system negara.

Katanya kecekapan sistem penyampaian mempunyai impak yang besar dan langsung terhadap keupayaan perlaksanaan dasar-dasar dan projek kemajuan negara. Kita mungkin mampu menggubal dan merancang dasar dan projek pembangunan yang kelihatan rapi.

"Namun ini tidak akan memberi makna sekiranya agensi pelaksana tidak mampu menterjemahkannya kepada pencapaian sebenar. Ini bermakna perkhidmatan awam dan sistem penyampaian yang cekap adalah prasyarat utama kepada kejayaan perancangan dan pelaksanaan projek-projek pembangunan", ujar Presiden NDP.

Katanya lagi jika diteliti daripada titah-titah Kebawah DYMM sejak tahun 2000 lagi, persoalan pemantapan perkidmatan awam telah dibangkitkan saban tahun. Di antara penambahbaikan yang diperkenalkan melalui titah-titah tersebut bolehlah saya ringkaskan seperti berikut:

 

TAHUN

 

PENAMBAHBAIKAN YANG DIPERKENALKAN

 

2000

2001

 

2002

 

 

2003

 

2006

 

  • Wawasan Perkhidmatan Awam Abad ke-21.
  • Memperkenalkan e-government dalam usaha mewujudkan perkhidmatan yang lebih customer-focused.
  • Tekad Pemedulian Orang Ramai.
  • Manual Prosedur Kerja.
  • Rukun Akhlak Dan Etika Kerja.
  • Pengenalan dan Pengunaaan ICT.
  • Pengauditan dan Pemantauan Tekad Pemedulian Orang Ramai.
  • Perancangan Strategi Organisasi.
  • Memudahcara pembangunan. termasuk juga perlaksanaan dasar-dasar berkaitan.
  • Menilai dan mempertingkatkan tahap koordinasi.
   

Menurut Presiden NDP semua penambahbaikan yang diperkenalkan ini adalah untuk mempastikan perkhidmatan awam di negara kita benar-benar cekap dan berkesan dan mampu melaksanakan segala dasar dan perancangan yang dibuat oleh kerajaan.

Prestasi Perlaksaan Kemajuan

Katanya lagi dalam konteks yang yang lebih fokus, adakah perkhidmatan awam dan sistem penyampaian yang sedia ada ini benar-benar memenuhi sasaran dan jangkaan yang diharapkan. Saudara-saudari boleh menilai secara objektif perkara ini melalui statistik yang disebutkan di bawah ini:

RKN 8  (2001 - 2005)


Sektor

Peruntukan

Perbelanjaan

Perindustrian dan Perdagangan

1,074 juta

121 juta  (11 %)

Pengangkutan dan Perhubungan

838 juta

467 juta  (56 %)

Perkhidmatan Sosial

2 bilion

380 juta  (19 %)

Penggunaan Awam

1,172 juta

488 juta  (41 %)

Bangunan Awam

632 juta

169 juta  (27 %)

ICT

1,119 juta

96 juta  (9 %)

Keselamatan

350 juta

100 juta  (29 %)

Rampaian

143 juta

24 juta  (17 %)

RKN 8  (2001 - 2005)


Sektor

Projek Dirancang

Projek Siap

Perindustrian dan Perdagangan

80

19  (25 %)

Pengangkutan dan Perhubungan

139

89  (64 %)

Perkhidmatan Sosial

319

92  (28.8 %)

Perumahan Negara

146 (9,000 unit)

33 (969 unit siap)
(10.8 %)

Penggunaan Awam

103

30  (30 %)

Bangunan Awam

83

35  (42 %)

ICT

27

0 (0 %)

Keselamatan

15

6  (40 %)

Rampaian

41

12  (29 %)

Untuk mendapatkan gambaran menyeluruh bagi empat siri RKN yang lalu (1986 – 2005), Presiden NDP memetik penilaian yang dibuat oleh Badan Perencana Kemajuan Jangka Panjang. Bagi tempoh tersebut, objektif pembangunan adalah seperti berikut:

(i) Memperbaiki kualiti kehidupan rakyat

(ii) Memaksimumkan penggunaan sumber negara

(iii) Mempermajukan perusahaan bukan minyak

(iv) Mempercepatkan kemajuan sumber manusia

(v) Mempertahankan gunatenaga penuh

(vi) Mempertahankan inflasi pada kadar rendah

(vii) Memupuk masyarakat yang berdisiplin

(viii) Menggalak rakyat Melayu menjadi pemimpin dalam bidang industri

(ix) Alam sekitar yang bersih dan sihat

Objektif memperbaiki kehidupan rakyat, mempertahankan inflasi pada kadar rendah dan alam sekitar yang bersih dikatakan memperolehi pencapaian ketara.

Objektif penggunaan sumber negara, kemajuan sumber manusia dan gunatenaga penuh, dikatakan memperolehi pencapaian sederhana.

Objektif memajukan perusahaan bukan minyak, memupuk masyarakat yang berdisiplin, memajukan rakyat Melayu dalam industri memperolehi pencapaian rendah.

Perbelanjaan & Pertumbuhan Ekonomi

Merujuk paparan statistik dan penilaian terebut, tambah Presiden NDP, memperlihatkan satu tahap prestasi yang membimbangkan.

"Kita percaya bahawa melalui dasar fiskal dan perbelanjaan kerajaan, pertumbuhan ekonomi dapat dirangsang".

"Tetapi jika sekiranya sebahagian besar projek-projek yang dirancang gagal dilaksanakan dan berlaku kurang belanja (shortfall) yang tinggi, pertumbuhan ekonomi akan turut terjejas".

"Ketidakupayaan untuk berbelanja merupakan satu simptom kepada sistem pengurusan yang tidak cekap", tegas Presiden NDP.

Tambahnya lazimnya di kebanyakan negara mereka bergelut dengan masalah tidak cukup peruntukan untuk dibelanjakan. Anehnya, di Brunei pula kita bergelut dengan isu ketidakupayaan untuk membelanjakan peruntukan yang disediakan.

"Dari satu aspek lagi, lazimnya pihak swasta hanya akan turut berbelanja sekiranya kerajaan mengambil langkah awal memulakan perbelanjaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi".

"Sebaliknya apabila berlaku kurang belanja yang tinggi oleh pihak kerajaan, pihak swasta akan teragak-agak untuk melakukan pelaburan. Ini akan memberikan impak negatif yang berganda kepada pertumbuhan ekonomi", ujar Preside NDP.

Gambaran ini, menurut Presiden NDP, memberi kita isyarat yang jelas bahawa mutu perkhidmatan awam dan sistem penyampaian hendaklah sentiasa mantap dan dikemaskini. Kita perlu kepada satu perubahan sikap dan anjakan paradigma yang nyata untuk mempastikan perkhidmatan awam benar-benar cekap dan berkesan.

Pemantauan Projek

Presiden NDP juga menyentuh aspek pemantauan projek.

"Saya percaya sebahagian besar projek-projek yang gagal dilaksanakan atau terbengkalai adalah disebabkan ketiadaan sistem pemantauan projek yang berkesan", tegas Presiden NDP.

Sehubungan dengan itu Presiden NDP mencadangkan  kepada kerajaan  supaya membentuk sebuah Badan Pemantauan yang mempunyai kuasa pemutus, “over riding power” merentasi semua agensi pelaksana, jika sekiranya badan yang dimaksudkan ini belum diwujudkan lagi.

"Andainya  Badan Pemantauan ini telah  sedia wujud, maka adalah dicadangkan supaya Badan ini diperkasakan dengan kuasa-kuasa yang lebih besar lagi. Izinkan saya di sini mencadang agar Jawatankuasa Pemantau ini diwujudkan di bawah Jabatan Perdana Menteri", tegas Presiden NDP.

Cadangna lagi semua projek pembangunan dalam pelaksanaan hendaklah dikategorikan sebagai projek yang mengikut jadual, lewat jadual atau projek sakit.

"Mana-mana projek yang melampaui 30 peratus kelewatan jadual hendaklah dikategorikan sebagai projek sakit. Semua projek yang dikategorikan sebagai projek sakit hendaklah  serta-merta diambil alih pengurusannya  oleh Badan Pemantauan", syor Presiden NDP.

Beliau yakin melalui pendekatan ini, kerajaan boleh merangka satu rating system untuk menggred prestasi setiap agensi pelaksana. Agensi-agensi yang mendapat gred yang rendah hendaklah melalui proses penambaikan.

Antara langkah-langkah yang disyorkan Presiden NDP ialah:

Pertama:   Pengauditan pengurusan dan kajian semula untuk mengenalpasti kelemahan sebenar
Kedua:    Latihan semula kakitangan khususnya dalam perancangan dan pelaksanaan projek
Ketiga:   Penstrukturan semula organisasi

          

 

 
 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.