LIMBARUH HIJAU 23 JUN 2008 - AYAHNDA Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP) menyifatkan Kongres Agung Tahunan parti sebagai wadah bagi ahli-ahli dan kepimpinan parti membaharui ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi dan kecintaan yang setulusnya Kehadapan Majlis Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di Pertuan dan Ulil Amri bagi Negara Brunei Darussalam.
Katanya, "Kongres ini juga adalah wadah bagi kita membaharui ikrar yang dimaktubkan di dalam Perlembagaan Parti iaitu untuk menyokong dan membantu Baginda dan Kerajaan Baginda".
Ayahnda Yasin Affandy berkata demikian dalam ucapan dasarnya di majlis perasmian Kongres Agung Tahunan NDP kali ke 3 yang berlangsung di Dewan Utama Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Berakas pada 21 Jun 2008.
Dalam ucapan dasarnya, Ayahnda Yasin Affandy juga turut mengingatkan ahli-ahli dan kepimpinan parti akan komitmen seluruh anggota parti bahawa "kita berpolitik untuk berdakwah dan berdakwah melalui parti politik".
"Oleh yang demikian tidak terlintas dalam hati kita walau sebesar zarah sekalipun sebarang cita-cita untuk menumbangkan kerajaaan apatah lagi berangan-angan untuk menjadi kerajaan menunggu", tegas Ayahnda Yasin Affandy.
Tegasnya lagi, "Kita adalah penyokong dan pendokong Kebawah DYMM yang setia, istiqamah dan penuh iltizam untuk membawa Negara Brunei Darussalam ke matlamat negara aman makmur dan mendapat keampunan Allah SWT".
Menyentuh mengenai Kongres Agung Tahunan kali ke 3 itu, katanya ia menandakan kita telah melangkah setahun lagi ke hadapan, bersama-sama pengalaman baru yang menjadikan kita lebih bijaksana dan matang dalam mengemudi perjuangan NDP.
"Harapan saya ialah dengan pengalaman, kebijaksanaan dan kematangan ini, kita menjadi rakyat yang lebih komited, insaf dengan amanah dan tanggungjawab yang dipikul, dan sedar dengan segala bentuk cabaran dan kekangan dalam fitrah perjuangan", tegas beliau lagi.
Dalam hubungan ini Ayahn da Yasin Affandy menaruh harapan agar para perwakilan akan menggunakan kesempatan kongres ini bagi membahas dan mengajukan pandangan yang bernas, relevan dan bertanggungjawab.
"Janganlah hendaknya kesempatan ini kita jadikan pelantar bagi melepaskan geram dan dendam yang boleh menyinggung perasaan pihak-pihak yang kurang kita senangi. Agama dan budaya kita menuntut supaya sentiasa memelihara adab dan tata-susila, nasihat Ayahnda Yasin Affandy.