PERJALANAN KONGRES AGUNG TAHUNAN NDP KALI KE 3

Harapan Pemuda NDP

 
 

LIMBARUH HIJAU 25 JUN 2008 - AHLI-AHLI dan kepimpinan Himpunan Pemuda NDP telah membaharui tekad untuk terus menyokong dan mendokong sebarang usaha kearah merealisasikan aspirasi negara untuk memperkasa golongan belia yang merupakan tunas bangsa yang akan mewarisi negara kelak.

Sehubunan dengan itu, warga Himpunan Pemuda NDP juga menaruh harapan agar ruang yang cukup di berikan kepada mereka bagi memudahkan mereka melaksanakan tekad tersebut.

Mereka juga berharap aspirasi negara yang di war-warkan melalui slogan, contohnya 'Tunas Bangsa' slogan yang di gembar-gemburkan pada masa ini, benar-benar di hayati bukan hanya untuk bahan kempen.

Perkara ini di tekankan oleh Mohd Yasde bin Yahya, Ketua Himpunan Pemuda di majlis perasmian Himpunan Tahunan Non-Muslim, Pemuda dan Wanita yang berlangsung di Dewan Utama Bangunan PGGMB di Bandar Seri Begawan pada 20 Jun baru lalu.


"Selalu di perkatakan belia dan pemuda adalah aset negara; Belia dan pemuda teras pembangunan bangsa dan negara, dan baru-baru ini pemuda dan belia di war-warkan lagi sebagai tunas bangsa".

"Semua slogan-slogan ini setentunya sangat membanggakan kerana ianya memberikan pengiktirafan betapa pentingnya golongan belia, remaja, pemuda dan pemudi di negara ini yang sekarang berjumlah hampir separuh atau 47 peratus dari 380,000 lebih penduduk Negara Brunei Darussalam, kepada kesinambungan kemajuan dan survival bangsa dan negara", ujar Awang Mohd Yasde. 

Katanya lagi slogan-slogan ini juga bermaksud untuk menanamkan kesedaran di kalangan tua dan muda betapa masa depan negara dan survival bangsa terletak di tangan belia-belia sekarang sebagai pewaris usaha membangun bangsa dan negara.

"Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan sendiri dalam titah buku Wawasan Brunei 2035 menekankan perencanaan kemajuan negara masa panjang senghaja di lakar dan di bentuk begitu rupa untuk mempastikan kepentingan generasi muda sebagai pewaris kemajuan dan perkembangan negara masa depan terjamin" 

Sehubungan dengan itu, tambanya, adalah wajar bagi kita semua terutama sekali ahli-ahli Himpunan Pemuda NDP untuk memberikan sokongan dan kerjasama yang padu bagi mempastikan slogan-slogan tersebut tidak tinggal jadi ungkapan di bibir sahaja.

"Wajar bagi kita golongan muda memberikan sokongan agar hasrat murni KDYMM tercapai", ujar Awang Mohd Yasde.

Katanya kita tidak mahu slogan-slogan itu tinggal jadi bahan kempen sahaja

"Kita menyedari cabaran-cabaran membina bangsa terutama sekali dalam usaha mempersiapkan golongan belia di negara ini untuk mewarisi amanah dan tanggungjawab bagi memastikan Negara Brunei Darussalam berterusan menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja, yang maju, aman dan sejahtera serta sentiasa mendapat keampunan Allah, semakin hebat di era globalisasi dan di era teknologi Info Komunikasi ini".

"Cabaran-cabaran hebat ini, mahu tidak mahu, memaksa kita untuk mengubah cara kita berfikir dan bertindak sesuai dengan peubahan yang di bawa oleh arus dan gelombang globalisasi dan ICT ini", tegasnya lagi.

Tambahnya cabaran-cabaran ini perlu di tangani dengan penuh bijaksana kerana jika kita gagal ianya akan boleh membawa kerusakkan kepada kita terutama golongan belia-belia.

"Persoalannya sekarang apakah sudah cukup usaha yang bijaksana di laksanakan untuk mempastikan golongan belia dan remaja di negara ini berhadapan dengan cabaran-cabaran yang hebat itu?", kata Awang Mohd Yasde

"Kita menyedari setelah hampir 25 tahun kita merdeka berbagai program dan perancangan telah di laksanakan untuk membangun belia-belia di negara ini".

"Akan tetapi dalam masa sama kita juga menyaksikan tahap pengangguran di kalangan belia-belia dan graduan-graduan semakin meningkat". 

"Kita juga menyaksikan kes-kes jenayah seperti penyalah gunaan dadah, rompak dan curi yang melibatkan belia, seperti yang pernah di sentuh oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan, semakin meningkat".

"Kita juga menyaksikan kes keciciran sekolah di kalangan muda remaja yang semakin meningkat di peringkat sekolah menengah rendah dan atas di negara ini", ujar Awang Mohd Yasde.

Katanya lagi kita juga sering mendengar belia-belia selalu di persalahkan apabila elit-elit pentadbir cuba menjelaskan kenapa dan mengapa pengganguran di kalangan belia semakin meningkat, kenapa ramai belia terlibat dalam kes jenayah dan macam-macam lagi.

"Kami golongan belia terkadang rasa kecewa apabila kami selalu dipersalahkan sedangkan kita semua menyedari belia-belia di negara ini di bentuk oleh sistem yang ada yang di perkenalkan dan di amalkan oleh generasi awal dari kami", jelas Awang Mohd Yasde.

"Kami tidak terlibat dalam proses pembentukkan sistem ini akan tetapi kami yang menerima padahnya sama ada yang baik atau yang kurang baik".

"Alhamdullilah dengan adanya NDP kekecewaan yang kami kadang-kadang rasakan sedikit berkurangan kerana dengan adanya NDP kami terasa martabat kami terangkat dan kami mempunyai pelantar suara untuk mengenegahkan harapan dan pandangan kami kepada pihak-pihak berwajib dan berkuasa agar mereka lebih bijaksana dalam usaha mempersiapkan kami mengahadap cabaran berbangsa dan bernegara", jelasnya lagi.

Menurut Awang Mohd Yasde golongan belia khusunya pemuda menaruh harapan agar diberikan peluang dan ruang secukupnya untuk mereka sama-sama berpartisipasi dalam proses membuat keputusan dan dalam proses pembaharuan politik seperti yang di hasratkan oleh KDYMM

"Wujudkan lah suasana yang sihat untuk kami bangkit dengan semangat nasionalisma dan patriotisma agar kami dapat menanamkan jati diri yang kukuh untuk bekalan kami sebagai pewaris kemajuan dan pembangunan bangsa dan negara", seru Awang Mohd Yasde.

"Janganlah kami di kelirukan dengan slogan-slogan yang indah-indah sedangkan pada hakikatnya ia umpama cakap tidak serupa bikin".

Sementara itu Awang Mohd Yasde juga mengajak belia-belia khusunya ahli-ahli Himpunan Pemuda agar tidak takut-takut untuk melibatkan diri dalam perjuangan memantapkan diri dan memertabatkan diri kita sebagai belia tunas bangsa yang bermaruah dan berdaulat.

"Marilah kita memerdekakan diri kita dari fikiran dan perasaan takut dan dari  konsep ‘awar galat’ yang di salah ertikan dan di salah gunakan untuk menekan perkembangan minda kita untuk lebih kreatif dan untuk lebih berani memperjuangkan hak-hak kita selaku generasi muda yang bakal menjadi pemimpin di masa hadapan", seru Awang Mohd Yasde

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.