PERJALANAN KONGRES AGUNG TAHUNAN KALI KE 3

Diskriminasi terhadap wanita masih wujud di Brunei

 
 

LIMBARUH HIJAU 25 JUN 2008 - DISKRIMINASI terhadap golongan kaum wanita di Negara Brunei Darussalam masih wujud dan di tahap yang masih agak tinggi walaupun pada hakikatnya hampir 50 peratus jumlah penduduk Brunei terdiri dari kaum wanita dan peranan serta penglibatan kaum hawa dalam proses pembangunan bangsa dan negara semakin terserlah.

Dalam perkataan lain hak wanita di Brunei dan kesejahteraan mereka belum begitu terjamin di negara ini walaupun jumlah mereka ramai dan peranan mereka semakin terserlah dan semakin mendapat pengiktirafan.

Ketua Himpunan Wanita NDP Dayang Hajjah Saemah Kefli mendedahkan perkara ini dalam ucapan beliau di majlis perasmian Himpunan Tahunan Non-Muslim, Pemuda dan Wanita NDP yang berlangsung di Dewan Utama Bangunan Persatuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) pada 20 Jun lalu.

Katanya wanita di Brunei sudah mampu mencapai kejayaan dalam berbagai bidang termasuk dalam bidang pendidikan.

"Wanita yang berpendidikan tinggi telah di catatkan sebagai jumlah yang lebih tinggi daripada lelaki sejak akhir tahun 90an lagi sehinggalah ke zaman Milinium ini"

"Bukan itu saja penglibatan wanita dalam tenaga kerja juga

telah meningkat dengan pesatnya sehingga menjangkau kepada sejumlah 68.8 peratus pada tahun 2007 dan Jabatan Pembangunan Kemajuan Ekonomi juga telah mencatatkan sejumlah lebih 40 peratus tenaga kerja yang ada di negara ini adalah terdiri di kalangan kaum wanita" jelas Dayang Hajjah Saemah.

Seterusnya beliau menjelaskan dalam buku Rancangan Kemajuan Negara terdapat fakta menunjukkan bahawa kaum wanita adalah elemen yang paling penting dalam progres pembangunan, seperti di bidang ekonomi dan pembangunan sosial.

Akan tetapi, tambahnya, apa yang menyedihkan sekali sebagai kaum yang lemah, wanita juga tidak terkecuali daripada menghadapi masalah perbuatan diskriminasi daripada berbagai pihak.

"Kaum wanita sentiasa terdedah kepada masalah-masalah penderaan, penganiyaan dan pengabaian, tidak kurang juga berlakunya terhadap sebilangan wanita yang dijadikan sebagai Bread Winner atau pencari rezeki".

Kes perceraian umpamanya juga semakin meningkat dan ini menyebabkan semakin bertambahlah lagi wanita-wanita yang menjadi ibu tunggal, katanya sambil menambah, bukan itu saja terdapat di kalangan mereka itu ada juga yang terpaksa menanggung anak-anak di bawah penjagaan mereka.

"Sebagai wanita Negara Brunei Darussalam kita turut berbangga apabila beberapa institusi kerajaan dan sektor swasta telah mengatur strategi dan langkah tertentu dalam menangani senario penderaan wanita yang semakin meleluasa di negara ini".

Katanya antara institusi yang ditubuhkan termasuklah Unit Keganasan Rumah Tangga dan Penganiayaan Kanak-kanak di Ibu Pejabat Polis Diraja Brunei, selain itu ada juga Unit Kebajikan Perubatan di Rumah Sakit RIPAS Bandar Seri Begawan, bahagian Khidmat Nasihat Keluarga di Jabatan Hal Ehwal Syariah, Pejabat Kehakiman di Jabatan Perdana Menteri  dan Jabatan Penjara di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Bagaimanapun, jelas Hajjah Saemah, tidak semua kes-kes yang dihadapi oleh kaum wanita yang mengalami masalah itu dapat di atasi segera apatah lagi jika ianya terpaksa melibatkan perbicaraan di mahkamah.

Dalam perkataan lain, tegas Ketua HAWA, tidak ramai di kalangan mereka yang mampu mempertahankan diri atau memenangi kes-kes yang di failkan kerana tidak mampu membayar upah khidmat guaman untuk memperjuangkan kebenaran mereka.

"Malahan proses prosedur menuntut perceraian seorang isteri yang menderita dalam rumahtangganya kepada bahagian Khidmat Nasihat Keluarga sahaja terpaksa melalui sekurang-kurangnya 16 peringkat pemprosesan menangani kes tersebut,  daripada peringkat awal membuat aduan, kemudian memfailkan aduan, seterusnya jabatan itu mengedarkan fail kepada Ketua Bahagian khidmat nasihat keluarga, proses meneliti fail sebelum  dikeluarkan arahan pegawai penesihat untuk menetapkan tarikh kaunseling".

"Proses seterusnya pula adalah bagi mempastikan kehadiran suami pengadu. Dalam proses ini terdapat sebilangan suami meneruskan penderaan emosi dan penganiayaan terhadap isterinya dengan tidak mahu menghadirkan diri dan sebagainya sehinggalah kepada peringkat yang mahu meneruskan perceraian dihadapkan ke mahkamah".

"Akhirnya bagi yang tidak mahu meneruskan, fail akan disimpan untuk rujukan di kemudian hari", keluh Ketua HAWA sambil menambah, "tidak keterlaluan saya mengatakan daripada proses-proses tadi ada yang memakan tahun pun masih tidak selesai".

"Maka dengan itu pada kongres agung tahun ini Himpunan Wanita NDP (HAWA) akan membawakan satu usul yang meminta supaya diskriminasi ke atas wanita perlu dihentikan dan dalam memastikan hak wanita diberikan sepenuhnya perlu diambil kira dengan lebih serius oleh pihak-pihak tertentu", jelas Hajjah Saemah.

Keta HAWA juga menarankan agar langkah-langkah dalam mengatasi masalah wanita harus dipercepatkan.

Katanya jangan sampai wanita yang bernama isteri terpaksa menjadi korban mangsa deraan sehingga mati.

Dalam hal ini beliau merujuk satu kes yang pernah difailkan di negara kita ini di mana isteri yang dinasihatkan supaya balik ke rumah oleh unit tertentu terpaksa terus menderita mengalami penderaan sehingga mengakhiri hayatnya.

Ketua HAWA dalam ucapannya juga mejelaskan bahawa HAWA Pusat telah menubuhkan Unit Kaunseling Masalah Wanita yang kini sedang rancak merangka pembentukkan jawatankuasa-jawatankuasanya.

Tambahnya unit ini akan mengedarkan borang-borang aduan dan penyelidikan untuk mereka-mereka yang mempunyai masalah samada yang terpendam atau yang tak tertahan-tahan untuk menyuarakannya kepada unit tersebut akan permasalahan mereka.

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.