LIMBARUH HIJAU 25 JUN 2008 - HAMPIR separuh penduduk Negara Brunei Darussalam terdiri dari golongan belia dan remaja. Mereka juga merupakan aset negara justeru faktor belia mesti diambil kira dalam perencanaan pembangunan negara sebagai satu teras utama perancangan.
"Kalau kita alpa dengan faktor ini, adalah dikhuatiri bahawa negara tidak akan mampu untuk melangsungkan tuntutan kemajuan", tegas sdr Mahmud Morshidi Othman dalam ucapan beliau di majlis perasmian Himpunan Tahunan Non-Muslim, Pemuda dan Wanita yang berlangsung di Dewan Utama PGGMB pada 20 Jun lalu.
"Masyarakat belia adalah khazanah dan harta negara yang perlu diserlahkan potensinya ke arah kecemerlangan, berlandaskan nilai-nilai murni sejagat".
"Gesaan ini bukan satu perkara yang baru, tetapi ianya perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak kerana golongan belia adalah anggota masyarakat yang banyak terdedah kepada ancaman dalam menghadapi cabaran kemajuan", kata sdr Morshidi.
Kajian global, tambahnya, menunjukkan apabila berlaku modenisasi dalam sesebuah negara, secara lazimnya ia akan turut membawa kesan-kesan negatif terhadap pegangan nilai di kalangan belia.
"Kesan-kesan ini boleh dirumuskan sebagai kekeliruan tentang nilai yang unggul, putusnya pegangan dan keyakinan, aspirasi yang mendadak, dan sindrom kebendaan".
"Sebagai pewaris negara, adalah tidak memadai bagi para belia untuk sekadar menikmati hasil kemajuan yang dirancang oleh generasi terdahulu tanpa penglibatan yang berkesan".
"Sebaliknya mereka harus bersedia dan berupaya untuk memikul tanggungjawab bagi meneruskan tugasan memajukan negara tanpa menggadai nilai-nilai moral dan maruah", tambahnya lagi.
Potensi, Peranan Dan Penglibatan
Menurut pandangan sdr Morshidi golongan belia sebenarnya mempunyai potensi yang besar tetapi potensi tersebut kurang menyerlah kerana kurangnya bimbingan yang beterusan dan konsisten ke arah penyerlahan potensi diri itu.
"Proses pembinaan sahsiah belia berkait rapat dengan proses sosialisasi yang bermula dari rumah, kemudian di sekolah dan di luar sekolah dan seterusnya di tempat kerja dan di luar tempat kerja".
"Pengisian di dalam proses sosialisasi inilah yang mencorakkan pandangan dan matlamat hidup, pegangan, nilai dan amalan individu belia".
"Kita sedar bahawa ibu bapa, guru, rakan sebaya dan para pemimpin adalah terlibat dan bertanggungjawab melahirkan generasi belia yang bermoral, bermaruah dan cemerlang".
"Mungkin disini ada ruang yang boleh diambil bahagian oleh NDP', ujar sdr Morshidi.
Menuru sdr Morshidi lagi statistik terkini menunjukkan bilangan belia di negara adalah begitu besar merangkumi 47 peratus daripada seluruh penduduk negara. (Sumber: Ucapan Menteri Kebudayaan, Belia Dan Sukan pada Kongres Belia Kebangsaan 2008)
"Jumlah yang besar ini menunjukkan bahawa hampir separuh bilangan rakyat di negara ini adalah para belia".
Ini bermakna, kata sdr Morshidi, golongan ini merupakan sumber tenaga yang penting bagi negara.
"Sumber tenaga yang menjadi tunggak negara ini mestilah dibangunkan dan digembleng sebagai rakan pembangunan".
"Oleh yang demikian, apa jua perencanaan pembangunan negara hendaklah mengambil kira faktor belia ini sebagai satu teras utama perancangan".
Kalau kita alpa dengan faktor ini, tambah sdr Morshidi, adalah dikhuatiri bahawa negara tidak akan mampu untuk melangsungkan tuntutan kemajuan.
Menurut sdr Morshidi atas kesedaran inilah, NDP memberi perhatian yang serius ke atas penglibatan pemuda dan puteri dalam pembangunan dan gerak kerja parti.
Namun demikian, kata sdr Morshidi, sehingga kini respons para belia untuk menyertai NDP adalah kurang menggalakkan.
Sdr Morshidi berpandangan terdapat banyak sebab mengapa hal ini terjadi. Walau bagaimanapun kita tidak ada pilihan melainkan meneruskan usaha bagi menarik seramai mungkin para belia menganggotai NDP", ujar sdr Morshidi lagi.
"Hanya dengan cara ini sahaja, kita dapat berperanan sebagai pelengkap kepada segala usaha Kerajaan untuk mendedahkan para belia dengan unsur-unsur perjuangan dan nilai-nilai kepimpinan yang amat berguna kapada mereka sebagai pelapis pimpinan masa depan negara".
Kepimpinan Dan Pembangunan Belia
Sdr Morshidi juga menekankan pentingnya memberikan pendedahan yang sewajarnya kepada para belia bagi tujuan melahirkan lapisan pimpinan yang berwibawa dan berwawasan.
Akan tetapi dalam hubungan ini statistik turut menunjukkan sambutan para belia terhadap usaha membina keupayaan mereka sangat rendah.
"Walaupun belia merupakan 47 peratus daripada penduduk negara, cuma 20,000 sahaja yang terlibat secara berterusan di dalam aktiviti kelab-kelab dan persatuan. (Sumber: Ucapan Menteri Kebudayaan, Belia Dan Sukan pada Kongres Belia Kebangsaan 2008)", tegas sdr Morshidi.
Dari jumlah ini, tegas sdr Morshidi, kita tidak tahu berapa ramaikah sebenarnya bilangan yang benar-benar aktif dan berjaya dipupuk dengan ciri-ciri kepimpinan seperti yang diprogramkan oleh pihak-pihak yang berkenaan.
"Dalam konteks parti, NDP terpanggil untuk sama-sama memikul tanggungjawab membangunkan pemuda dan puterinya melalui platform parti".
"Sebagaimana dengan konsep penglibatan yang saya sebutkan berhubung dengan golongan non-muslim dan kaum wanita, maka konsep dan pendekatan yang sama jugalah sewajarnya dipraktikkan terhadap golongan pemuda di dalam parti ini".
"Ini bermakna seperti juga golongan non-muslim dan kaum wanita, para pemuda NDP mempunyai kedudukan yang penting dalam parti dan sewajarnya turut terlibat dalam membuat keputusan, dalam perlaksanaan dan juga menikmati manfaat yang diperolehi".
"Bagi memungkinkan sayap pemuda memainkan peranan yang efektif, sayap ini perlu mempunyai bilangan ahli yang ramai", kata sdr Morshidi.
"Kita tentunya sedar bahawa di dalam sesebuah organisasi, bilangan adalah salah satu ciri kekuatan. Kalau bilangan para pemuda adalah kecil, kemampuannya adalah terhad. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama, khususnya sayap pemuda untuk menarik seramai-ramainya para belia menyertai NDP", tegas sdr Morshidi lagi.
Katanya kita mestilah menampilkan NDP sebagai wadah yang mampu melonjakkan penglibatan belia dalam proses pembangunan masyarakat dan negara.
"Adalah menjadi hasrat kita supaya para belia yang terdidik dan ditarbiyah melalui pengalaman dan penglibatan mereka dalam NDP akan lahir sebagai pemimpin masa depan yang berwibawa, berintegriti, bermaruah dan cemerlang".
Masalah Sosial
Dalam masa sama Timbalan Presiden menaruh harapan kepada belia, beliau juga menyentuh mengenai kemelut penyakit sosial yang menghinggapi para belia khususnya.
Katanya di antara penyakit sosial yang membimbangkan itu ialah penyalahgunaan dadah, jenayah seks, lepak dan pengangguran.
"Penyakit-penyakit sosial ini jika tidak dibendung dan ditangani secara berkesan akan merugikan negara, malah boleh membawa kehancuran".
"Walaupun negara mempunyai aset yang banyak, iaitu para belia, tetapi jika aset tersebut tidak berkualiti, ianya tidak memberi apa-apa makna. Lebih malang lagi sekiranya aset tersebut menjadi liabiliti dan barah dalam masyarakat", ujar sdr Morshidi.
Beliau seterusnya menaruh harapan melalui proses pembelajaran dan tarbiyah, suatu hari nanti Insyaallah, para pemuda NDP akan berupaya menjadi rakan sebaya dan pembimbing kepada ahli dan bukan ahli, dan menjadi komponen di dalam benteng untuk menghalang para belia negara dari terjebak dengan masalah-masalah sosial yang membimbangkan itu.
Belia Dan Pembangunan Ekonomi
Juga turut di sentuh sdr Morshidi dalam ucapannya ialah potensi belia di bidang ekonomi.
Katanya akhir-akhir ini, hampir semua negara di dunia menghadapi krisis makanan dan kenaikan kos sara hidup.
"Bahang ini turut juga dirasai di negara kita, lebih-lebih lagi kita begitu bergantung kepada import bahan makanan. Pihak PBB memberi amaran bahawa krisis makanan ini boleh bertukar menjadi bencana kalau tidak ditangani dengan bijaksana".
"Kita melihat soal krisis makanan ini sebagai satu peluang kepada para belia untuk tampil ke hadapan bagi membangunkan pengeluaran makan tempatan".
"Kalau di sebahagian negara, rakyat dan pemuda mereka bangun berdemonstrasi di jalanan, saya juga mengambil kesempatan ini untuk mencabar para belia supaya turut bangun. Tetapi bukan di jalanan, sebaliknya bangkit untuk mendemonstrasikan kepekaan mereka dengan situasi ini, bangkit mendemonstrasikan iltzam dan komitmen, dan bangkit mendemonstrasikan kesediaan dan kemampuan, untuk membantu negara menghasilkan bahan makanan sara diri yang mencukupi dan keluar daripada kepompong kebergantungan ke atas bahan makanan yang diimpot", tegas sdr Morshidi.
"Saranan kita di sini ialah supaya para belia mengusahakan pertanian dan penternakan secara komersil dengan memanfaatkan bidang tanah yang terhad".
"Ini berhajat kepada sokongan dan bantuan pihak-pihak berkenaan secara menyeluruh sehinggalah kita berjaya melahirkan petani, pesawah, penternak dan peladang yang mengamalkan teknologi pertanian moden seperti yang diamalkan di negara-negara pertanian dunia yang maju seperti Belanda sebagai contohnya".
Tegasnya cadangan ini bersifat serampang dua mata, yakni selain menghasilkan makanan sara diri dan ekspot, ianya juga mampu membantu menangani sebahagian daripada masalah sosial seperti pengangguran dan melepak.
Program Putra Putri Tani ini juga, kata sdr Morshidi lagi, boleh dijadikan landasan bukan hanya untuk belia, beliawanis yang menggangur, tetapi juga bagi belia-belia yang bermasalah yang Insyaallah boleh kita bimbing sehingga mereka mampu berperanan sepenuhnya dalam usaha pembangunan sahsiah diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Ke arah itu sdr Morshidi mencadangkan kepada pihak-pihak yang berkenaan agar membuka ruang seluas-luasnya buat mereka melalui pembukaan tanah rancangan di bawah Skim Perkampungan Pertanian yang terancang dengan membantu mereka dari peringkat pembukaan tanah, menyediakan modal dan mentor, hingga kepada bantuan pemasaran dan pembangunan industri-industri huluan dan hiliran (upstream and downstream) berasaskan pertanian.
Wawasan 2035 Dan Penglibatan Rakyat
Soal penglibatan rakyat terutama golongan belia dalam perencanaan kemajuan negara masa panjang juga turut di sentuh oleh sdr Morshidi dalam ucapannya itu.
Katanya bermula tahun 2007 yang lalu, kerajaan Brunei telah melancarkan Perencanaan Kemajuan Jangka Panjang yang terkandung di dalamnya Wawasan Brunei 2035, Rangka Strategi dan Dasar Bagi Pembangunan (OSPD) 2007-2017 dan Rancangan Kemajuan Negara (RKN) 2007-2012. Apa yang ingin saya tarik perhatian saudara saudari sekalian ialah berhubung dengan matlamat Wawasan 2035, iaitu:
Pertama, rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.
Kedua, kehidupan rakyat yang berkualiti tinggi.
Ketiga, ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
"Dikatakan jika matlamat ini dicapai, Brunei akan berada di kalangan 10 negara teratas dunia dari segi kualiti kehidupan dan pendapatan per kapita. Kita sememangnya berdoa dan berharap matlamat murni ini mampu dicapai menjelang 2035 itu. Untuk mencapai tiga matlamat tersebut, kerajaan telah merangka lapan strategi pembangunan iaitu strategi pendidikan, strategi ekonomi, strategi keselamatan, strategi pembangunan institusi, strategi pembangunan perniagaan tempatan, strategi pembangunan infrastruktur, strategi jaminan sosial, dan strategi alam sekitar".
"Selaras dengan pelancaran Wawasan 2035 dan OSPD pertama, RKN 2007-2012 menandakan peralihan strategik dalam perancangan dan perlaksanaan program pembangunan negara".
"Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah soal penglibatan rakyat dalam pembangunan", jelas sdr Morshidi.
"Pembangunan negara tidak membawa apa-apa erti sekiranya tiada penglibatan rakyat secara langsung dan berkesan".
"Sebab itulah dalam dalam ucapan saya sebelum ini banyak saya tekankan konsep penglibatan".
"Konsep ini adalah dicirikan dengan penglibatan rakyat dalam membuat keputusan, dalam perlaksanaan dan juga menikmati manfaat yang diperolehi".
Sehubungan dengan itu beliau menyeru kepada semua ahli parti di semua peringkat supaya merebut apa jua peluang yang ada untuk terlibat dengan berkesan dan aktif dalam semua aspek pembangunan negara ke arah menuju pencapaian matlamat Wawasan 2035.
Katanya bagi memungkinkan perkara ini berlaku, NDP hendaklah wujud sebagai sebuah organisasi yang benar-benar berwibawa dan diterima oleh rakyat seluruhnya sebagai wadah perjuangan dan saluran aspirasi mereka.
"Sekiranya kita gagal berbuat demikian, maka kita dengan sendirinya tidak lagi layak mendakwa diri kita sebagai rakan pembangunan dan strategik kerajaan".
"Ini bermakna kita juga harus mempunyai wawasan yang jauh jangkauannya supaya setiap rakyat tertarik dan terpaut dengan matlamat dan perjuangan yang kita dokongi ini".
"Ini menuntut kepada usaha yang gigih dan komitmen yang berterusan di kalangan para ahli untuk memperkasakan organisasi, menggiat dan melebarkan aktiviti gerak kerja, mengukuhkan perpaduan dan seterusnya meningkatkan bilangan ahli NDP', kata sdr Morshidi, Timbalan Presiden NDP itu.