|
JERUTON HOTEL JERUDONG 14 JULAI 2009 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) dicipta dan dilahrikan bukan dengan sentuhan tongkat sakti atau ala cerita rakyat 'Bujang Si Gandam'.
NDP dicipta dan dilahirkan dengan penuh susah payah yang senghaja ditimpakan oleh golongan aparatchik kepada pengasas-pengasas parti yang sebilanagn besar terdiri dari bekas pejuang-pejuang kemerdekaan yang telah disenarai hitamkan sebagai bekas pemberontak.
Namun berkat kesedaran yang tulus, niat yang ikhlas dan semangat yang tidak goyah untuk membawa rakyat untuk bersama menyokong dan mendokong hasrat KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan yang Dipertuan melaksanakan tarnsformasi politik demi masa depan survival bangsa dan negara, NDP akhirnya berjaya ditubuhkan.
Paling penting, NDP tidak mungkin dapat ditubuhkan jika tidak kerana semangat rekonsiliasi dan kebijkansanaan serta ketulusan dan keikhlasan Baginda Sultan sendiri untuk memberikan ruang kepada rakyat membina keupayaan dan kematangan dalam berpolitik melalui pelantar politik rakyat yang serious dan bukan untuk saja-saja seperti yang dihasratkan baginda di awal-awal era kemerdekaan negara 25 tahun yang lalu.
Justeru barisan kepimpinan dan ahli-ahli NDP diseru agar menjaga dan memlihara wadah politik rakyat ini dengan baiknya, dengan mempastikan perjalanan parti di fasa era kemerdekaan ini tidak tersasar dari visi, misi dan objektif serta dasar parti yang telah termaktub dalam perlembagaan NDP.
Demikinalah antaranya pesanan-pesanan penting yang disampaikan oleh Mantan Timbalan Presiden NDP, sdra Mahmud Morshidi Othman dalam ucapan beliau di majlis penyerahan tugas yang berlangsung di Jeruton Hotel Jerudong kelmarin.
Ikutilah selanjutnya teks ucapan beliau berikut:
Saudara Pengerusi Majlis,
Terlebih dahulu saya mengalu-alukan kehadiran ayahanda Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Kanda Setiausaha Agung dan saf kepimpinan baru dan lama NDP, serta saudara-saudari yang hadir pada petang ini.
Saya berterima kasih kepada Setiausaha Agung dan bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya saya diberi kesempatan untuk menyampaikan sepatah dua kata pada majlis rasmi penyerahan tugas dari kepimpinan yang lalu kepada saf kepimpinan baru yang dipilih pada Kongres Agung Tahunan NDP baru-baru ini. Sekali lagi ucapan setinggi-tinggi tahniah dan kalungan bunga dari saya kepada seluruh saf pimpinan baru NDP di semua peringkat.
Izinkan saya bersama-sama mengingati kata-kata ayahanda Presiden, “bahawa saudara saudari yang telah dipilih oleh ahli untuk menerajui parti bagi penggal 2009-2012 adalah bertanggungjawab pada setiap masa menjunjung visi, misi dan objektif utama parti”.
Saudara saudari adalah dipertanggungjawabkan untuk memikul amanah kepimpinan parti seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan Parti khususnya pada Artikel 18.
Antara lain semangat Artikel 18 menekankan tanggungjawab setiap pemimpin untuk merangka, menyusun, mengatur strategi, mengambil langkah dan tindakan yang perlu bagi melaksanakan apa jua program selagi ianya tidak bertentangan dengan perlembagaan parti.
Ahli-ahli MT juga dituntut oleh perlembagaan parti supaya sentiasa memantau, menyelaras dan memperkemas pentadbiran serta pengurusan organisasi di peringkat cabang dan ranting di seluruh negara.
Artikel 18 juga meletakkan tanggungjawab fundamental sdra-sdri untuk memberikan dan mengambil perhatian terhadap apa jua Titah Kebawah DYMM, kegiatan Kerajaan Kebawah DYMM dan institusi-institusi di bawahnya termasuk Badan-Badan separuh dan bukan kerajaan, dan memberikan pandangan, pendapat serta menyeragamkan sikap dan pendirian kita mengenainya.
Perlembagaan parti juga menuntut agar sdra-sdri yang bernama pemimpin ini sentiasa bersedia untuk menyelesaikan sebarang salah faham dan perselisihan yang berlaku di dalam parti atau di kalangan ahli serta mengambil apa jua langkah dan tindakan yang perlu bagi menjamin perpaduan dan persefahaman di kalangan ahli parti, dan bukannya beraksi sebaliknya umpama menyimbah minyak ke dalam api.
Saudara saudari sekalian,
Majlis penyerahan tugas yang kita saksikan pada hari ini adalah julung kali diadakan kerana inilah pertama kalinya berlaku perubahan kepimpinan dalam parti.
Pada pandangan saya, majlis penyerahan tugas secara rasmi ini adalah penting kerana dari sudut pengurusan, ia bertujuan untuk menggariskan apa jua aktiviti parti yang perlu diambil alih oleh kepimpinan baru, bagi menjamin kelicinan proses peralihan kuasa tersebut.
Melalui penyerahan tugas ini lazimnya akan digariskan sasaran dan tahap pencapaian pimpinan yang terdahulu untuk memberi gambaran kepada pimpinan baru tentang kedudukan semasa institusi berkenaan. Ia boleh diibaratkan sebagai bacaan koordinat yang menentukan kedudukan semasa NDP supaya pimpinan baru itu tidaklah tercari-cari di mana dan ke mana arah tuju parti yang mereka pimpin.
Lazimnya mana-mana penjawat dalam pimpinan parti yang terlibat dengan proses peralihan kuasa akan menyediakan apa yang dikenali sebagai nota serah tugas. Secara ringkas, nota tersebut antara lain, merangkumi butir-butir berikut:
- Senarai tanggungjawab dan kegiatan lengkap bagi satu-satu jawatan.
- Pernyataan sasaran yang hendak dicapai.
- Tindakan-tindakan dan pelaksanaan yang telah diambil bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.
- Status pencapaian sasaran sehingga ke tarikh peralihan kuasa.
- Sebab-sebab dan halangan ketidakcapaian sasaran dan cadangan untuk mengatasinya.Dengan adanya nota serah tugas yang demikian rupa, saya percaya siapa saja yang mengambil alih sesuatu tugas tidak perlu melalui proses understudy. Sebaliknya beliau boleh mendapat maklumat yang terkini mengenai bidang tugas dan tanggungjawab serta kedudukan semasa dengan meneliti nota serah tugas yang telah disediakan oleh penjawat terdahulu.
Dengan meneliti nota serah tugas yang berkenaan, penjawat jawatan yang baru boleh meneruskan program yang telah dirancang atau merangka strategi-strategi yang baru untuk mengatasi apa jua hambatan yang dihadapi oleh kepimpinan yang terdahulu, atau mengubah sasaran yang ditetapkan supaya dapat disesuaikan dengan realiti semasa dalam parti atau masyarakat.
Mungkin sahaja terdapat perbezaan pendekatan, sasaran dan strategi di antara seorang pemimpin dengan seorang pemimpin yang lain.
Saudara saudari sekalian,
Dalam konteks ini, saya sebagai Timbalan Presiden sebelum ini telah meletakkan sasaran dan gerak kerja parti yang begitu tinggi, tetapi di akhir tempoh perkhidmatan saya, saya dapati sebahagian besar sasaran dan piawaian tersebut tidak tercapai.
Keadaan ini menyebabkan saya amat kecewa di atas prestasi saya sendiri, kerana cetusan dan manifestasi dari visi, misi dan objektif utama dalam Perlembagaan Parti dan Manifesto Parti 2006 - 2016 seperti tidak mencapai apa-apa kemajuan. Ini adalah disebabkan kegagalan saya menterjemahkannya dalam bentuk gerak kerja parti yang proaktif, cekap dan berkesan.
Empat tahun dahulu, saya begitu teruja dengan harapan yang menggunung supaya rakyat juga dapat melihat dari perspektif yang sama seperti apa yang di rakamkan di dalam perlembagaan dan manifesto NDP, lalu menjadikannya laluan untuk diselusuri oleh rakyat melalui penglibatan di dalam pergerakan politik NDP. Tetapi pada penilaian saya, sasaran ini tidak kecapaian, sebaliknya hanya kegagalan yang saya temui.
Empat tahun dulu, saya mensasarkan, menjelang Kongres Ke-4 yang lalu, kita sepatutnya sudah mempunyai keahlian seramai 5,000 orang. 50 Ranting dan empat Cabang. Namun, pada hakikatnya saya telah gagal mencapai sasaran tersebut. Keahlian kita setakat ini baru saja mencecah 2,000 orang, 20 Ranting dan belum ada satu pun cabang yang berjaya ditubuhkan.
Saya melihat kegagalan saya sebagai seorang Timbalan Presiden yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk membantu presiden melaksankan kerja-kerja Presiden menangani isu-isu pokok seperti ini, dan menggerakkan kegiatan biro-biro parti, ada kaitannya dengan ketidakupayaan saya untuk berada sepanjang masa di dalam negara bagi membolehkan saya sentiasa dapat bersama-sama dengan Ayahanda Presiden dan pimpinan yang lain mendampingi rakyat dan memantau perjalanan biro-biro parti.
Saudara saudari sekalian,
Bertolak dari sini, mungkin pucuk kepimpinan baru boleh membuat sasaran baru dan mengambil pendekatan baru untuk memperkasakan parti dengan mengambil kira realiti yang mesti diterima iaitu, kewujudan dan peranan parti politik di negara ini hanya lebih sedikit dari sebuah pergerakan sivil.
Justeru itu, NDP dan barisan pimpinannya tidak boleh memisahkan diri dari masyarakat sekeliling dan menunaikan tanggungjawab sosial di lapangan sana. Masyarakat di sekeliling kita adalah stake holder terbesar sama ada di dalam pergerakan sivil apatah lagi di dalam pergerakan politik.
Saya percaya hanya dengan mendampingi masyarakat, mendengar dan melayani aduan dan permasalahan mereka secara berterusan sahaja kita berupaya membina keyakinan mereka untuk menerima NDP sebagai wadah penyambung lidah rakyat.
Saudara saudari sekalian,
Justeru kerana sayangkan NDP yang saya bertanggungjawab secara peribadi di dalam kelahirannya, dan saya dakapi sebagai anak damit atau “baby”, dan saya tanai bak menatang minyak yang penuh, makanya saya terpaksa mengambil keputusan untuk mengundur diri dan menyerahkan semula kepada seluruh ahli untuk memilih pemimpin nombor dua yang baru yang lebih berkeupayaan dan bertenaga bagi membantu Ayahanda Presiden menggalas tugas dan tanggungjawab ini pada sepanjang masa.
Saudara saudari sekalian,
Izinkan saya menoleh sejenak kebelakang, dengan penuh insaf, saya mengambil iktibar dari tragedi pemberontakan 1962 dan kaitannya dengan pemimpin tertinggi Parti Rakyat Brunei (PRB) yang pada pengamatan saya, antara sebab utama tercetusnya peristiwa tersebut, ialah disebabkan oleh pemimpin tertinggi PRB tidak mempunyai banyak masa berada di dalam negeri justeru Presiden PRB ketika itu telah hilang tumpuan dan kemampuan untuk mengawal dan membendung emosi massa yang meluap-luap.
Saya tidak mahu kesilapan seperti ini berulang dan NDP akan dipalitkan dengan apa jua imej yang memudaratkan. Terus terang saya akui bahawa saya secara fizikal tidak berkeupayaan untuk berada di dalam negara sepanjang masa, kerana itu saya pastinya tidak mampu untuk memacu ke hadapan dan mengawal ahli-ahli parti hanya dengan menggunakan “remote control” dari kejauhan.
Nanti ada yang bertanya, kalau begitu halnya, mengapa perlunya saya berada di luar negara? Jawapannya mudah. Saya terhumban keluar negara kerana terlibat dengan perjuangan untuk memerdeka dan mendaulatkan negara dan megisinya dengan roh Baldatun Thayiibatun Warabbun Ghafur. Dan kerana perjuangan yang satu ini jualah saya terpaksa terus berkelana di luar sana bak seperti orang tidak bernegara.
Kalau saudara bertanya, adakah ini pilihan saya? Saya katakan, saya tidak ada pilihan. Saya mesti menerima keadaan ini dengan penuh redha, insyaallah saya akan menemui kemanisan dalam kepahitan itu.
Kalau saudara bertanya apakah saya tidak menyesali keadaan yang menimpa diri saya ini? Saya katakan, tiada sesalan dalam perjuangan yang murni. Perjuangan untuk Islam dan kemanusiaan tidak ada batas daerah dan waktunya. Yang kita tuju itu ialah redha Allah justeru cukuplah Allah bagi kita dan menjadi pelindung kita.
Dalam senario yang lain, nun jauh di perantauan, tergamakkah saya untuk melupa dan meninggalkan rakan-rakan seperjuangan saya yang lebih dua dekad lamanya berkongsi sesuap nasi dan seketul ubi ketika kami berkayuh di jumpung perjuangan yang sama dengan mereka, sedangkan hati nurani dan doa mereka yang tidak berkeputusan tetap mendukung misi dan visi perjuangan yang kita nukilkan di dalam perlembagaan NDP ini?
Barangkali Allah SWT telah mentakdirkan, hanya di sinilah takat kerjaya politik saya di negara tercinta ini. Wallah a’alam
Saudara saudari sekalian,
Saya berseru, dalam keadaan apa jua sekali pun teruskanlah bengkalai perjuangan ini. Peliharalah amanah yang diserahkan oleh ahli dengan penuh rasa tanggungjawab. Jika saudara-saudari gagal menanai amanah kepimpinan ini, pastinya saya akan bertambah kecewa.
Saudara-saudari tolong bayangkan betapa letihnya untuk menyiapkan sebuah perlembagaan dan manifesto parti yang boleh diterima oleh kerajaan dalam senario politik yang masih belum kondusif yang dibayangi dengan sejarah pemeberontakan yang berlaku lebih empat puluh tahun dahulu.
Izinkan saya sekali lagi mengongsikan sedikit pengalaman saya mengenai idealisme perjuangan ini. Dari tahun 1982 lagi ketika saya menjadi ketua Department Pemuda PRB dalam buangan, saya memvisikan kelahiran “Kerajaan Brunei yang merdeka dan berdaulat yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah SWT” dan merakamkan idealisme tersebut ke dalam sebuah dokumen dikenali “Program Politik Departmen Pemuda PRB”. Allahyarham Dr Mahmud Saedon adalah mentor kami ketika itu.
Untuk menjelmakan idealime tersebut saya kembali ke tanah air pada tahun 1995 setelah 22 tahun berada dalam buangan. Saya disambut dengan kenderaan pacuan empat roda dan terus disumbatkan ke dalam tahanan.
I996 saya dibebaskan dan dikenakan setahun sekatan pergerakan. Pada tahun berikutnya saya menyambung pelajaran di UPM dan memperolehi sarjana MSs dalam bidang Komunikasi Korporat. Seterusnya saya belajar lagi dan beroleh satu lagi ijazah MA Kajian Strategik dan Pertahananan di UM dalam bidang Keselamatan Dalam Negeri, dan diikuti dengan Diploma Islamic Studies di UIA. Hari ini saya masih bergelut untuk menyiapkan kertas “proposal” untuk mengambil PHD disalah sebuah Universiti di Malaysia.
Saya bergelut di alam persekolahan ini semata-mata untuk menimba ilmu pengetahuan sebelum jejari ini menukilkan sebuah perlembagaan dan manifesto dan menterjemahkannya melalui pergerakan parti politik - NDP.
Saya perlu dan mesti mempunyai autoriti untuk bercakap mengenai disiplin ilmu yang pelbagai. Ini adalah proses pembinaan keupayaan, keyakinan dan intergeriti yang mesti saya lalui demi untuk menjelmakan idealisme perjuangan yang saya pegang.
Untuk menubuhkan sebuah parti politik, apalagi oleh bekas orang-orang tahanan seperti kami, tidaklah semudah dan seindah seperti yang dibayangkan oleh kebanyakan orang. Penubuhan NDP adalah berlatarbelakangkan kegiatan politik yang kaku beku selama lebih empat dekad.
Memburukkan keadaan, dalam periode itulah wujud dan suburnya segala macam legasi penjajahan yang menghambat kemajuan politik dan kemajuan negara.
Saudara saudari sekalian,
Sekadar mengongsikan pengalaman manis… di awal-awal penubuhan NDP empat tahun dulu, setiap kali saya memasuki pintu lapangan terbang negara bertuah ini saya di harrass, diekori hingga keluar pintu.. Beg pakaian, hatta kotak keropok yang dibawa pun akan digelidah satu demi satu hingga kekadang dompet duit pun diperiksa rapi. Kekadang saya terasa malu diperhatikan orang, seolah-olah saya ini seorang penjenayah rentas sempadan
Harrassment ini berlarutan lebih setahun lamanya. Tidak tahan dengan perangai para apparatchik ini, saya adukan ketidakselesaan saya itu kepada ROS. Alhamdulillah, selepas itu, saya dilayani seperti penumpang yang lain. Terima Kasih ROS!
Ayahanda Presiden juga tidak terlepas dari harrassment oleh para apparatchik ini hingga pernah ditahan beberapa jam semata-mata untuk menakut-nakutkan dan mengintimedasi beliau. Beliau diperkecil dan dihina dengan segala macam kata nesta, dan mengaitkan hasrat untuk menubuhkan NDP ini dengan imej negatif yang terpalit pada PRB bagi melemahkan semangat beliau.
Dari sedikit kisah yang saya kongsikan ini, bolehkah saudara saudari bayangkan betapa sukarnya untuk menubuhkan NDP ini? Mampukah saudara-saudari gambarkan betapa sukar dan sulitnya untuk kita membina sebuah keyakinan yang boleh menolak segala tohmahan dan buruk sangka yang berakar umbi selama ini sehinggalah parti ini berjaya didaftarkan?
Saudara saudari sekalian,
Alhamdulillah kita berjaya melepasi tanjakan pertama ini. Perlembagaan NDP siap untuk dihadapkan kepada ROS, tetapi ia belum cukup untuk memenuhi syarat pendaftaran sebagai pertubuhan politik yang sah kerana tidak mempunyai Jawatankuasa Protem yang lengkap. Kita sudah mempunyai barisan pimpinan tertingginya, namun masih belum mencukupi bilangan. Lalu berjajalah kawan teman mencari calon yang sudi tampil ke hadapan untuk menjadi ahli JK Protem.
Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Ilahi, kita rakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada individu-individu yang sanggup menawarkan diri mereka sebaga ahli JK Protem sehingga kita berjaya mendaftarkan Parti Pembangunan Bangsa yang sah di sisi undang-undang Negara pada 31 Ogos 2005.
Izinkan saya merakamkan nama-nama mereka. Selain Ayahanda Presiden dan saya sendiri, individu-individu yang menawarkan diri sebagai ahli JK Protem ialah Ayahanda Hj Omar Tamin, Kekanda Cikgu Sulaiman Metarsad, Ayahanda Hj Hanafi Mod Daud, Adinda Hj Aminorrashid Hj Ghazali, Adinda Hajjah Saemah Kepli, Kekanda Hj Mohd Yusof Ali, Kekanda Hj Wahab Tengah, Kekanda Ali Nordin, Kekanda Hj Abd Majid Hj Abd Hamid, Kekanda Hj Adinin Myalin, Adinda Pg. Kamarruzaman Pg Salleh, Kekanda Hj Ibrahim Hj Jumat, Adinda Pg Hj Abu Bakar bin Pg Dato Hj Mohamad, Adinda Awang Aji Omar Ali, Kekanda Haji Samad Jamaluddin dan Adinda Hj Said Md Nor. Sila berikan tepukan gemuruh kepada mereka………
Dan petugas atau runner yang sentiasa siap siaga menerima arahan ke hulu ke hilir menjadi messenger, yang tanpa komitmen mereka ini kerja-kerja penubuhan NDP akan bertambah sulit. Mereka terdiri dari Adinda Pg. Hamzah Pg. Salleh, Kekanda Mahmud Basiuni Othman@Bung Asnan, Sdra Ahmad Hj Timpus dan Adinda Hj Yunos Hj Momin. Sila berikan tepukan gemuruh kepada mereka………
Saudara saudari sekalian,
Alhamdulillah, berkat dari kesabaran semua, terlepaslah kita dari segala ujian awal ini. Dengan perkenan Kebawah DYMM juga, dalam masa yang singkat terdaftarlah Parti Pembangunan Bangsa(NDP) pada 31 Ogos 2005.
Saudara saudari sekalian,
Demikianlah cabaran demi cabaran yang kita lalui….Oleh itu saya sama sekali tidak boleh menerima sebarang perlakuan tidak serius, main-main atau suka-suka di dalam barisan kepimpinan NDP apa lagi jika ada mana-mana pimpinan parti yang cuba-cuba membelakangkan perlembagaan parti dan juga manifesto parti yang telah diterima.
Bagi saya jika ada perlakuan sedemikian rupa tentulah ia merupakan satu pengkhianatan kepada ahli dan parti, malah kepada Kebawah DYMM yang telah memberi perkenan Baginda untuk kita berpolitik secara sah.
Saudara saudari sekalian,
Saya mengulangi seruan Ayahanda Presiden agar saf pimpinan baru NDP membuat anjakan paradigma dengan melakukan transformasi yang meyeluruh di dalam gaya, bawaan dan komitmen di dalam parti, kerana kewujudan matlamat yang kita visikan ini adalah masih terlalu jauh.
Kita hendaklah sentiasa sedar bahawa, untuk menterjemahkan visi, misi dan objektif utama parti menjadi begitu rumit dan sukar, kerana kita adalah sebuah organisasi yang kecil, kekurangan sumber tenaga yang ahli dan kewangan, dan tidak mempunyai pengaruh apa-apa didalam kerajaan.
Namun demikian, saya yakin ia bukanlah alasan yang boleh diterima sebagai halangan bagi kita terus mengutarakan cadangan, pandangan dan kritikan yang membina kepada pihak-pihak berkenaan. Selama empat tahun ini pun, suara kita didengari dan diambil kira.
Berbagai isu besar menyangkut kepentingan rakyat dan Negara yang telah kita war-warkan telah disambut sebaiknya oleh Kerajaan Kebvawah DYMM umpamannya isu perumahan, isu kemiskinan, sekuriti permakanan dan banyak lagi.
Insyaallah melalui mekanisme baru penubuhan Institut Pemikiran Strategik dan Pengembangan MIB (Pemikir NDP), yang ditubuhkan oleh Ayahanda Presiden dibawah seliaan Jabatan Presiden sendiri, sebarang cadangan, pandangan dan kritikan membina bersangkutan kemaslahatan rakyat dan negara akan dapat disampaikan secara lebih formal dan langsung ke hadapan Majlis Kebawah DYMM sesuai dengan komitmen kita pada Misi ke (6) perlembagaan parti untuk “Menyukong dan membantu Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu”izzaddin Waddaulah dan zuriat Baginda membangunkan Negara Brunei Darussalam dalam semua sector, termasuk ekonomi, social, budaya dan pendidikan sehingga menjadi dan berterusan berkekalan sebagai sebuah Negara Melayu Islam yang progressif, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain dan Negara yang merdeka diarena antarabangsa”.
Dan kita lahirkan lagi komitmen kita pada Objektif Utama parti ke (3) perlembagaan parti untuk “ Berusaha membantu Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam mewujudkan sistem pemerintahan, pentadbiran dan pengurusan yang adil dan saksama, telus, bersih, cekap, amanah, penuh ihsan dan kebajikan”
Saudara saudari sekalian,
Kita telah banyak bercakap mengenai konsep dan amalan syura dan dalam masa yang sama kita juga bercakap mengenai demokrasi
Saya sedar terdapat pihak yang melihat kenyataan ini sebagai bercanggah dan tidak konsisten. Suka saya jelaskan bahawa tidak timbul sebarang percanggahan. Ini adalah pendirian parti dan pendirian peribadi saya.
Dalam konteks yang lebih luas, saya percaya bahawa konsep penyertaan rakyat dalam pemerintahan negara tidak semestinya melalui pilihan raya. Amalan mesyuarah dan syura yang dianjurkan Islam tidak meletakkan pilihan raya sebagi satu-satunya kaedah yang membolehkan rakyat menyertai pemerintahan negara.
Soalnya di sini ialah bagaimana kita berupaya menerokai ruang-ruang yang disediakan melalui konsep dan amalan syura itu untuk membolehkan rakyat secara berperwakilan terlibat dalam proses membuat keputusan. Lagi banyak ruang yang ditemui dan digunapakai maka semakin luas dan suburlah amalan syura itu berfungsi dalam masyarakat, dan Insyaallah, Negara akan beroleh barakah.
Namun begitu, jika sistem berpilihan raya yang terhad menjadi pilihan Kebawah DYMM sebagai tambahan kepada ruang syura sedia ada, Insyaallah NDP pastinya akan turut menyambutnya dengan segala rendah diri dan berhemah.
Sebagai sebuah parti yang mahu menjadi rakan strategik pembangunan kepada kerajaan dan dalam masa yang sama menjadi wadah perjuangan rakyat, maka wajarlah setiap pimpinan parti di mana peringkat jua pun menyusuri setiap ruang mesyuarah, muqabalah dan muzakarah yang terbuka.
Di peringkat nasional misalnya, kita harus melaksanakan constructive engagement yang lebih intim dengan semua agensi kerajaan termasuk ROS yang menjadi mentor kepada NDP.
Bagi agensi-agensi yang telah berjaya kita jalinkan hubungan, maka langkah seterusnya ialah untuk mempertingkatkan keakraban melalui hubungan dua hala yang lebih kerap. Di peringkat daerah dan kampung pula, pendekatan yang sama perlu dibuat dengan menjalinkan hubungan dengan pejabat daerah, penghulu dan ketua kampung dan ketua-ketua masyarakat tempatan.
Dengan wujudnya jaringan hubungan yang kompak, maka dengan sendirinya seluruh permasalahan rakyat mampu disalurkan kepada pihak berkuasa dan tentuya dibawah pemantauan kita. Dan dalam masa yang sama juga rakyat berpeluang mengemukakan pandangan mereka melalui NDP untuk dipanjangkan kepada pihak berkuasa melalui jaringan mesyuarah dan muzakarah itu.
Saudara saudari sekalian,
Dalam keadaan yang lain, saya menyedari akan tahap kupayaan kepimpinan yang terhad. Kita amat memerlukan pembinaan keupayaan kepimpinan berkualiti. Justeru melalui Pemikir NDP, ini diharapkan akan dapat menjana dan membina keupayaan baru para pemimpin di semua peringkat sesuai dengan kehendak semasa.
Dalam pada itu, kita juga mestilah mempertingkatkan kualiti ahli dan kefahaman masyarakat dengan memberi kesedaran politik kepada golongan sasar secara proaktif melalui pendekatan berhikmah dan berhemah. Ini mesti bermula dengan mereka yang telah menjadi ahli parti.
Bagi tujuan ini, saya berharap Pemikir NDP akan dapat menggembleng kepakaran para ahli bagi merangka strategi latihan dan kepimpinan yang diperlukan oleh seluruh ahli dan parti.
Saudara saudari sekalian,
Saya sekali lagi berpesan kepada seluruh pimpinan baru NDP supaya memelihara NDP ini dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Jangan sekali-kali kita khianati perjuangan ini semata-mata kerana ingin melayani perasaan cintakan kuasa dan kedudukan, kerana dendam kesumat atau kerana masalah-masalah yang remeh-temeh.
Sokong dan dokonglah kepimpinan tertinggi parti untuk memacu NDP menjadi sebuah pelantar politik yang berintegriti – berwibawa dan diyakini untuk kita persembahkan kepada ke hadapan Majlis Kebawah DYMM sebagai aras kuasa atau power base Baginda dan Zuriat Baginda buat selama-lamanya, dan sebagai bingkisan bermakna kepada nusa dan bangsa.
Janganlah kita goyah dan bersedih di atas segala hambatan dan kekangan yang ditimpakan oleh para apparatchik kepada kita hari ini.
Sebenarnya suasana berpolitik dinegara kita ini sudah jauh lebih baik dari empat tahun dahulu seperti apa yang saya kongsikan dengan saudara saudari sebentar tadi. Negara kita sedang menuju kearah pembaharun dan keterbukaan, walaupun perlahan tetapi kita dapat merasakan sudah ada kemajuannya. Teruskanlah komitmen kita untuk menyukong dan membantu Kebawah DYMM dan Kerajaan Baginda ini dengan setulusnya kerana Allah jua.
Percayalah, apabila kita menzahirkan sesuatu dari hati dan sanubari yang penuh keikhlasan, nescaya Kebawah DYMM juga pasti akan melihat kita dengan mata hati dan kalbu Baginda.
Allah SWT berfirman:
“Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.” (Al Isra: 81)
Firman Allah lagi:
“Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan yang ragu-ragu.” (Yunus: 94)
Wahai Allah, saksikanlah iqrar kami ini.
Cinta kasih kita kepada Kebawah DYMM adalah benar!
Cinta kasih kita kepada nusa dan bangsa adalah benar!
Cinta kita kepada Islam adalah benar!
Dan cinta kita kepada Parti Pembangunan Bangsa adalah benar!
Saudara saudari sekalian,
Akhirnya, sempena dengan ulang tahun keputeraan Kebawah DYMM ke 63, kita laungkanlah kalimat keramat ini:
Daulat Kebawah Duli Tuan Patek!
Daulat Kebawah Duli Tuan Patek!
Daulat kebawah Duli Tuan Patek!
Sekianlah wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dan marilah kita sama-sama membaca tasbih kaffarah……..
Dan doa…………..……
Allahhu Akbar!
Allahhu Akbar!
Allahhu Akbar!
|