BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Mesyuarat Khas Majlis Bencana Kebangsaan (MBK) kelmarin
.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi MBK.
Di majlis tersebut baginda bertiitah meluahkan rasa kurang senang dan harapan baginda mengenai beberapa perkara. Berikut diperturunkan laporan titah dipetik dari Pelita Brunei untuk kita renungkan bersama dan mudah-mudahan ianya dapat dijadikan pedoman untuk kita memuhasabah diri. Insya Allah....

Gambar ehsan Pelita Brunei
|
Jangan membazir, menyusahkan rakyat
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 13 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah sungguhpun majlis-majlis perayaan dan sambutan Hari Keputeraan baginda terpaksa ditangguhkan, namun semangat 15 Julai tetap hangat dan berkobar-kobar.
Baginda bertitah penangguhan acara-acara perayaan itu dibuat memandangkan negara sekarang dilanda oleh pandemik Influenza A (H1N1), suatu musibah global yang menakutkan yang turut mengganggu aktiviti-aktiviti sosial.
“Kita sekarang dilanda oleh pandemik Influenza A (H1N1), suatu musibah global yang menakutkan kerananya banyaklah aktiviti sosial turut terganggu di antaranya majlis-majlis perayaan dan sambutan Hari Keputeraan beta juga terpaksa ditangguhkan, namun kita percaya semangat 15 Julai tetap hangat dan berkobar-kobar,” titah baginda semasa berangkat ke Mesyuarat Khas Majlis Bencana Kebangsaan yang dilangsungkan di Bilik Mesyuarat, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Berakas di sini hari ini.
Dalam pada itu, baginda mengingkatkan semua pihak supaya sambutan ulang tahun Hari Keputeraan baginda tidak membebankan pihak swasta dan orang ramai.
Dalam makna menyambut Hari Keputeraan itu, titah baginda, ia dijadikan alat untuk menarik dan melonggokkan derma, di mana jawatankuasa perayaan akan membuat rancangan-rancangan besar dengan melobi orang ramai supaya menderma yang sasaran utamanya ialah syarikat-syarikat besar.
Baginda bertitah, siapa yang tampil menderma akan diberikan publisiti, akan diadakan majlis-majlis bagi menerima derma-derma tersebut dan tidak habis setakat itu, tersiar pula beritanya di dalam media-media akhbar dan televisyen, di mana yang muncul menerima derma adalah menteri atau pegawai-pegawai tinggi yang lain seolah-olah Hari Keputeraan itu dijadikan medan untuk melobi.
Menurut titah baginda, adakah cara itu wajar iaitu melobi dan berkempen supaya orang berlumba menderma untuk Hari Keputeraan, dalam makna Hari Keputeraan itu dijadikan sebab dan alat untuk menarik orang ramai supaya berduyun-duyun menderma.
Baginda yakin dengan menggunakan nama Hari Keputeraan itu sememangnya akan belurih sumbangan, tetapi soalnya, adakah ia wajar atau semua orang ikhlas ataupun terpaksa, di mana perkara itu perlu dilihat dan dihalusi, bukan terus dijadikan rutin dan trend yang kekal pada setiap tahun.
Baginda bertitah menjelaskan, sambutan Hari Keputeraan bukanlah untuk membazir atau menyusahkan rakyat, apa yang penting ialah sambutan berjalan dengan sempurna dan dalam kata lain jangan sampai kita ‘berabis’ membuat rancangan secara besar-besaran.
Titah baginda, ada masanya peruntukan dibuat dan kemudian dikira, tetapi apabila projek sudah berjalan maka syarikat berkenaan menuntut bayaran sehingga ada yang tidak berbayar dan akhirnya terpaksa dibayar oleh pihak kerajaan yang baginda sifatkan sebagai bencana yang membebankan kerajaan sekali gus menyusahkan rakyat.
Terdahulu, baginda menghargai semua pihak yang terlibat termasuk kerajaan, pihak swasta dan pihak-pihak persendirian yang mengadakan persiapan-persiapan sambutan dan perayaan yang akan diadakan.
IRK perlu dijadikan mata pelajaran utama yang wajib
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 13 Julai. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah melahirkan kemusykilan mengenai baki wang zakat yang begitu banyak sehingga mencecah lebih seratus juta ringgit.
Sehubungan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mempersoalkan mengapa masih wujud asnaf fakir, miskin dan Al-Gharimin sedangkan lebihan wang zakat untuk diagihkan kepada tiga asnaf yang berhak itu masih mempunyai jumlah yang banyak iaitu BND50 juta.
Baginda bertitah, Majlis Ugama Islam baru saja meluluskan untuk melunaskan tunggakan hutang bagi seramai 190 orang Al-Gharimin saja di bawah Skim Rancangan Perumahan Negara, Skim Kurnia Rakyat Jati, Skim Perumahan Kampung Sungai Bunga dan Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sebanyak BND2,370,575.54.
Dalam pada itu, baginda juga menyentuh bidang pentadbiran dan pengurusan yang telah dibuat oleh Majlis Ugama Islam mengenai garis panduan menghantar pegawai-pegawai dan kakitangan ke luar negeri kerana terdapat sebahagian kementerian atau jabatan yang tidak peka akan kebajikan anak buah mereka apabila menghantar pegawai dan kakitangan mereka ke luar negeri.
Menurut baginda, adalah tidak wajar bagi ketua membuat keputusan untuk menghantar pegawai dan kakitangan berseorangan bagi menghadiri mesyuarat-mesyuarat atau seminar dan seumpamanya berbanding dengan penghantaran di peringkat Pengarah ke atas terutamanya Menteri atau Timbalan Menteri yang disertai oleh ramai pegawai dan juga tentang penghantaran seorang pegawai lelaki dan perempuan yang bukan muhrim yang lebih banyak mendatangkan risiko yang buruk dan boleh membawa keruntuhan rumah tangga.
“Itu dia di antara bencana-bencana yang mungkin menimpa kepada pegawai-pegawai atau kakitangan yang dihantar berseorangan dan dari segi kerugian kepada pihak kerajaan pula,” titah baginda.
Dalam bidang pendidikan, baginda juga menyentuh mengenai dengan Sistem Pendidikan Negara Abad 21 (SPN21) yang mana didapati dalam mata pelajaran teras utama yang wajib ada empat iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dan tidak memasukkan mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam (IRK), tetapi sebaliknya memasukkan mata pelajaran ini sebagai mata pelajaran pilihan setara dengan mata pelajaran Muzik dan Drama.
Sepatutnya mata pelajaran IRK ini dimasukkan dalam kumpulan mata pelajaran utama yang wajib kerana kedudukan agama Islam adalah sama seperti kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Negara Brunei Darussalam iaitu agama rasmi negara dan merupakan agama yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wata’ala.

Gambar ehsan Pelita Brunei
|
Banyakkan sembahyang hajat dan berdoa
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 13 Julai. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Drussalam bertitah menegaskan agar kita melakukan sembahyang hajat, membanyakkan membaca doa dan Doa Qunut Nazilah dalam kita menangani pandemik Influenza A (H1N1), di samping cara-cara biasa yang berpandukan pihak kesihatan.
“Kita selaku bangsa yang bertauhid juga menangani dengan doa, dengan Qunut Nazilah dan sembahyang hajat. Kita semua tahu cara ini kerana itulah kita membuatnya. Ia merupakan senjata kerohanian yang sangat-sangat digalakkan oleh agama,” titah baginda semasa berangkat Ke Majlis Mesyuarat Khas Bencana Kebangsaan yang diadakan di Bilik Mesyuarat, Dewan Serbaguna Jabatan Bomba dan Penyelamat, Berakas di sini hari ini.
Menurut baginda, lagi banyak kita berdoa, banyak berzikir dan banyak sembahyang hajat lagi baik lebih-lebih lagi setelah kita seperti kehilangan daya upaya, di mana kawalan berbentuk fizikal seakan-akan tidak berkesan langsung dengan kes jangkitan terus bertambah.
“Maka bukankah wajar, kalau usaha kerohanian itu lebih kita gandakan lagi tetapi apa yang beta lihat tidak ada usaha peningkatan ke arah ini. Sembahyang hajat di masjid-masjid pada hari Jumaat tidak sehangat yang diharapkan. Qunut Nazilah cuma-cuma tahan-tahan pada hari Jumaat saja,” titah baginda.
Padahal menurut baginda lagi, perkara ini boleh dilakukan pada lain-lain waktu. Menurut baginda, ketika mengerjakan sembahyang fardu juga tidak ada pimpinan dan galakan pada orang ramai untuk membaca doa dan zikir banyak-banyak.
Begitu juga, titah baginda, tidak ramai pegawai-pegawai agama yang muncul mengendalikan rancangan khas di radio dan televisyen bagi memandu dan memimpin orang ramai tentang kepentingan doa dan berzikir sebagai usaha melindungi diri dan negara daripada wabak.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menyeru agar setiap sekolah di negara ini khususnya kanak-kanak sekolah membaca atau mengaminkan doa sebelum mereka memasuki kelas supaya dihindarkan dari bencana wabak kerana doa kanak-kanak yang belum berdosa adalah sangat mustajab.
Di majlis itu, baginda juga menasihatkan ketua-ketua jabatan supaya peka memikirkan penghantaran pegawai-pegawai ke luar negeri terutama negara yang terjejas oleh Influenza A H1N1.
Baginda menegaskan agar ketua-ketua jabatan bukan hanya menunggu arahan melalui Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri untuk tidak menghantar para pegawai ke luar negara, sebaliknya menggunakan budi bicara untuk membuat pertimbangan-pertimbangan tertentu dan mengambil langkah munasabah lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan keselamatan pegawai itu sendiri dan orang lain.
Baginda juga melahirkan rasa kurang senang mengetahui yang ketua-ketua pejabat bekerja seperti robot tidak ada budi bicara langsung, terus menunggu arahan semata-mata di mana jika tidak ada arahan, mereka tidak mahu melakukan walaupun menurut peraturan mereka mempunyai mandat untuk membuat pertimbangan-pertimbangan tertentu dan mengambil langkah munasabah lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan keselamatan dan kebajikan anak buah mereka.
Penghasilan beras tempatan menjelang 2015 menggembirakan
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 13 Julai. - Kemampuan negara mencapai tahap sara diri 20 peratus penghasilan beras tempatan menjelang tahun depan dan akan meningkat 60 peratus pada tahun 2015 adalah sangat menggembirakan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian pada Mesyuarat Khas Majlis Bencana Kebangsaan, berlangsung di Bilik Mesyuarat, Dewan Serbaguna Jabatan Bomba dan Penyelamat, Berakas di sini.
Baginda menyifatkan perkara tersebut sebagai persiapan untuk menolak bencana kekurangan makanan dan perlu dilihat dengan ‘vision’ dan kerja keras bukannya semata-mata menunggu dan melihat sahaja.
Terdahulu baginda bertitah, siapakah yang tampil memikirkan perkara itu dengan serius di mana sejak negara mencapai kemerdekaan, hasil sara diri bahkan makanan asasi negara ini cuma 3.12 peratus sahaja seperti tidak ada apa-apa yang dilakukan dan tiada sesiapa yang pernah meng’highlight’ angka keramat itu di kalangan menteri-menteri.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga bertitah, adakah kerana takut untuk merancang dan membuat sehingga baginda sendiri yang terpaksa menyebutnya berulang kali dan dengan kehendak Allah tiba-tiba berlaku pula krisis makanan dunia dan negara masih hanya cuma menghasilkan 3.12 peratus makanan sahaja.
Semasa bertitah, baginda juga membayangkan apa yang akan berlaku jika pihak-pihak pembekal tidak mahu lagi menghantar bekalan disebabkan krisis atau atas sebab-sebab lain.
Baginda juga memberi contoh di mana sebuah negara jiran walaupun sudah mencapai 70 peratus sara diri, tetapi masih saja terus merancang untuk sampai ke tahap 100 peratus tahap sara diri maka betapa pula kita yang cuma berada di tahap 3.12 peratus sahaja.