TEMBURONG RABU 29 JULAI 2009 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) perlu meningkatkan usaha membuat hubungan baik dan membina (constructive engagement) dengan semua pihak berkepentingan (stakeholders) dalam agenda pembangunan bangsa dan negara terutama dengan agensi-agensi dan badan-badan kerajaan.

Ayahnda Presiden NDP dan rombongan menaiki bot tambang menuju ke Temburong
|
Perkara ini ditekankan di sesi muzakarah rombongan Presiden NDP dengan ahli-ahli Majlis Tertinggi NDP Temburong. Sesi muzakarah berlangsung di Markas NDP Temburong pada 28 Julai 2009 hari Selasa kelmarin.
Naib Presiden NDP Temburong, sdra Haji Zaini, sdra Serudin Pungut, Ketua Himpunan Hal Ehwal Non-Muslim. sdra Ak Shahrilan Pg Ahmad, Ketua Himpunan Pemuda, sdra Gelawat Okang, Ketua Biro Pertanian dan Industri Asas Tani dan sdra Haji Tajudin Omar, Ketua Biro Sumber Tenaga Manusia turut hadir di sesi muzakarah tersebut. Juga turut hadir sdra Haji Mohamad Ali Yusuf, Ketua Biro Penerangan dan Aduan Awam dan Pengiran Haji Mohamad bin Pengiran Said, mantan Ketua Biro Penerangan.
"NDP perlu meningkatkan usaha untuk terus maju menjadi sebuah pergerakkan politik yang bukan sahaja mempunyai pengikut yang ramai tetapi merupakan sebuah pertubuhan politik rakyat yang sentiasa relevan dalam perjuangannya menjunjung titah membangun bangsa", tegas Presiden NDP, Ayahnda Yasin Affandy sambil mengingatkan yang hadir akan seruan beliau di Kongres Agung Tahunan ke-4 mengenai perlunya barisan kepimpinan parti melaksanakan tarnsformasi menyeluruh dari segi kepimpinan dan pendekatan berpolitik.
Timbalan Presiden NDP, sdra Malai Hassan Othman dalam menyokong seruan Presiden NDP itu berkata,"Kearah itu, biro-biro, badan-badan perhubungan daerah dan ranting-ranting parti di seluruh negara mestilah terus berusaha meningkatkan keupayaan agar dapat memainkan peranan masing-masing dengan lebih berkesan".
"Dalam lain perkataan, semua komponen dalam jentera parti perlu lebih dinamik dalam mengurus dan mentadbir organisasi masing-masing dan berupaya mengangkat masalah rakyat dan memberikan cadangan yang bernas agar diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak-pihak berkenaan".
Dalam pada itu tambahnya, badan-badan perhubungan, biro-biro dan ranting-ranting bukan sahaja perlu mengambil kira kepentingan parti dan ahli-ahli tetapi dalam masa sama mestilah juga memahami bahawa pihak-pihak lain di luar parti terutama badan-badan dan agensi-agensi kerajaan juga mempunyai kepentingan yang perlu diberikan perhatian.
Justeru sangat perlu bagi NDP melalui badan-badan perhubungan, biro-biro dan ranting-ranting membina jaringan komunikasi dan 'constructive engagement' dengan pihak-pihak yang bukan sahaja mempunyai kepentingan dalam agenda pembangunan bangsa dan negara ini tetapi dalam masa sama memegang kuasa untuk memudahkan dan menunaikan segala urusan, tambah sdra Malai Hassan Othman.
Sdra Haji Mohamad Ali Yusuf, Ketua Biro Penerangan dan Aduan Awam pula di awal sesi muzakarah menjelaskan program muzakarah bersama ahli-ahli Majlis Tertinggi Daerah Temburong adalah merupakan sesi terakhir dalam siri muzakarah perkenalan Presiden dengan MT seluruh negara yang bermula di Daerah Belait pada 22 Julai yang lalu, diikuti dengan Tutong pada 23 Julai dan Brunei-Muara pada 25 Julai 2009.
Katanya program muzakarah diadakan bagi tujuan bertukar-tukar fikiran dan pandangan dengan barisan kepimpinan yang baru mengenai halatuju parti yang perlu dilaksanakan melalui semua komponen dalam jentera parti.
"Antara agenda utama dalam perlaksanaan gerak-gerak kerja oleh semua komponen dalam parti ini ialah mempastikan semua kerja-kerja 'outstanding' atau yang belum terlaksana di fasa pertama kewujudan NDP dari 2006-2009 seperti yang digarsikan oleh Mantan Timbalan Presiden NDP, sdra Mahmud Moirshidi Othman dapat diselesiakan dengan segera, jelas sdra Haji Mohammad Ali.