LIMBARUH HIJAU 4 JULAI 2009 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) amat menghargai sumbangan tentera-tentera negara yang telah mengambil bahagian di dalam pasukan pemantau antarabangsa (IMT) di Lubnan dan Mindanao.
"NDP menyokong penuh akan sebarang penglibatan pasukan angkatan bersenjata kita sebagai pasukan pengaman di mana-mana jua wilayah yang berkonflik di dunia ini sebagai tanda kecintaan kita kepada keamanan sejagat", tegas Presiden NDP dalam ucapan dasar Kongres Agung Tahunan kali ke-4.
"Penyertaan kita dalam usaha sedemikian juga akan menjulang nama dan imej Negara di kacamata antarabangsa", tambah Presiden NDP.
Katanya NDP juga amat berharap jika mungkin, peranan pasukan angkatan bersenjata kita sebagai pasukan pengaman akan turut dilaratkan ke wilayah Selatan Thailand yang masih bergolak itu.
"Selaras dengan perkembangan skop, peranan dan kegiatan angkatan pasukan bersenjata yang lebih luas dan dengan mengambil kira pelbagai ancaman keselamatan non tradisional, NDP menyokong sepenuhnya titah Kebawah DYMM supaya ABDB menyediakan kertas putih yang menggariskan cadangan dan pelan tindakan bagi menghadapi cabaran masa hadapan".
Pada pandangan kita, tegas Presiden NDP, adalah amat penting bagi ABDB memperkasakan ragkaian perisikan agar sebarang bentuk ancaman dapat dikesan di peringkat awal lagi dan tindak balas segera dapat diambil.
Katanya lagi dalam hubungan ini NDP yakin bahawa ABDB juga akan turut mengambil kira, sebarang perancancangan memperkukuh ABDB akan mempastikan ABDB sentiasa siap siaga dan berupaya mengekang dan menghapuskan sebarang penyusupan dan ancaman ke atas Negara Brunei tercinta sama ada ancaman konvensional atau non konvensional termasuklah ancaman serangan siber.
"Kita yakin, di bawah pemantauan langsung Kebawah DYMM selaku Pemerintah Tertinggi bahawa ABDB akan muncul sebagai satu entiti yang benar-benar berwibawa dan berupaya untuk berperanan sebagai teras jaminan keselamatan dan pertahanan yang menyumbang kepada pembangunan negara", ujar Presiden NDP. |