LIMBARUH HIJAU 2 JULAI 2009 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) berharap pihak-pihak berkenaan yang memantau Rancangan Kemajuan Negara (RKN) 2007-2012 akan lebih terbuka mengongsikan laporan kemajuan RKN kepada umum.
NDP juga berharap perlaksanaan RKN 2007 - 2012 berjaya mencapai sasaran yang telah ditentukan tanpa sebarang alasan seperti apa yang pernah berlaku dimasa-masa lampau.
Perkara ini ditekankan oleh Presiden NDP, Ayahnda Yasin Affandy dalam teks ucapan dasar Kongres Agung Tahunan NDP kali ke-4 pada 19 Jun 2009. Teks ucapan dasar dibacakan oleh Mantan Timbalan Presiden NDP, sdra Mahmud Morshidi Othman di majlis perasmian kongres bertempat di ICC Berakas.
"RKN 2007-2012 dalah rancangan pembangunan yang pertama dilaksanakan di bawah Perencanaan Kemajuan Jangka Panjang Negara Brunei Darussalam untuk mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035. Ini bermakna RKN tersebut telah memasuki tahap separuh penggal", ujar Presiden NDP.
"Lazimnya apabila satu rancangan pembangunan melalui tahap ini, satu kajian separa penggal akan dibuat untuk menilai prestasi projek dan mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang berlaku".
Di dalam RKN 8 atau sebelumnya, tambah beliau, kita dapati bahawa prestasi agensi-agensi pelaksanan adalah begitu rendah.
"Untuk memastikan bahawa kelemahan ini tidak berulang, kerajaan telah mewujudkan tiga peringkat pemantauan dan penilaian. Dikatakan melalui peringkat-peringkat pemantauan dan penilaian ini, agensi pelaksana akan berupaya menggunakan sekurang-kurangnya 80 peratus dari jumlah peruntukan yang diluluskan".
Tekannya, "kami sebagai rakyat biasa akan menyokong apa sahaja kaedah dan pendekatan yang digunapakai. Akan tetapi yang lebih penting kepada kami rakyat, ialah semua projek yang dirancang itu dapat disiapkan mengikut jadual dan dengan anggaran kos yang diperuntukkan".
"Dalam hubungan ini saya memohon kepada agensi yang bertanggungjawab memantau dan menilai prestasi projek-projek dan perbelanjaan supaya mengemukakan hasil kajian separa penggal (MTR) yang lengkap".
"Adalah menjadi harapan saya apa jua dapatan daripada kajian separa penggal itu akan dihebahkan kepada rakyat supaya rakyat mendapat maklumat yang lengkap ke atas prestasi semua agensi pelaksana", tegas Presiden NDP.
Saya juga, kata Presiden NDP, berharap kajian tersebut akan memperlihatkan sama ada sasaran perbelanjaan sebanyak 80 peratus boleh dicapai atau tidak. Andai kata terdapat mana-mana agensi yang tidak memperlihatkan prestasi yang diharapkan, saya berharap pihak kerajaan akan mengemukakan pelan tindakan untuk mengatasi apa jua kelemahan yang ditemui.
Jelasnya lagi, kita tidak mahu lagi mendengar sebarang alasan bagi menutupi kelemahan-kelemahan di dalam mana-mana agensi pelaksana. Maknanya, kita mahukan satu penilaian yang jujur dan telus yang akan dituruti dengan langkah-langkah pembaikan yang konkrit demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Menurut pandangan Presiden NDP, negara dijangka akan mengalami defisit belanjawan sebanyak BND 1.65 bilion bagi tempoh 2009-2010.
"Namun begitu saya amat berterima kasih kerana peruntukan RKN bagi tempoh yang sama dikekalkan pada BND 1,050 juta. Ini bermakna apa jua projek yang dirancang bagi tempoh tersebut dapat dilaksanakan mengikut rancangan".
"Oleh itu tidak sepatutnya berbangkit persoalan bahawa terdapat perancangan projek yang terbengkalai, terpaksa dikaji semula atau dibatalkan akibat kekurangan peruntukan".
"Fokus untuk agensi pelaksana hanyalah untuk memastikan semua projek yang telah diluluskan dilaksanakan mengikut jadual. Dengan fokus yang jitu, saya menjangkakan tahap prestasi setiap agensi pelaksana akan turut meningkat menepati piawaian yang diharapkan".
Dalam pada itu, tambahnya, NDP berpandangan bahawa sesuatu pelan atau dasar pembangunan yang dirancang tidak akan menunjukkan hasil yang positif jika tiada reformasi institusi (institutional reform). Para ahli ekonomi pembangunan (development economist) berpendapat pembangunan institusi hendaklah dibuat untuk memastikan kejayaan dan pencapaian pertumbuhan yang mampan