Oleh Hajah Saemah Zulkefli
SERIA, Ahad - Penguasaan perniagaan oleh pendatang asing boleh menjejaskan perkembangan koperasi di negara ini.
Malangnya keadaan itu berpunca daripada sikap kebanyakan pemilik lesen rampaian bumiputera yang sewenang-wenangnya menyalahgunakan Lesen Rampaian yang dimiliki, kata Pegawa Daerah Belait Haji Jamain Momin.
Penyalahgunaan Lesen Rampaian dapat dilihat di restoran, kedai makan, kedai dobi dan kedai runcit apabila dipaparkan pada lesen gambar dan nama pemilik Bumiputera tetapi hakikatnya, perniagaan terbabit dijalankan oleh warga asing yang terus mengaut dan menikmati segala keuntungan di negara ini.
"Yang jelas pemilik lesen rampaian yang sebenar hanya mampu membiarkan dan memerhatikan serta menjadi penonton kepada kekayaan yang kecapi oleh warga asing.
"Pemilik lesen asal hanya menerima sedikit habuan, bayaran bulanan untuk lesen yang disewakan dan yang membimbangkan dunia perniagaan di negara ini secara perlahan dikuasai warga asing sehingga ada mereka yang mampu memiliki hartanah, gedung perniagaan dan pasar raya sedangkan peniaga Bumiputera tetap di tahap atau kedudukan ekonomi yang lama dan terus terkapai-kapai."
Beliau melahirkan kekesalan dan kebimbangan itu ketika berucap melancarkan Mesyuarat Agung Ke-27 Koperasi Perniagaan dan Perusahaan Melayu Berhad Seria di bangunan koperasi berkenaan hari ini.
Beliau menyeru Koperasi Perniagaan Melayu Berhad Seria terus utuh dan mantap, selain mampu bersaing dan menghadapi segala cabaran serta tidak mudah kalah.
Katanya barisan hadapan koperasi itu harus mempunyai pelan strategik perniagaan yang dapat membuat keputusan tepat, membuat jangkaan dan mengelakkan risiko selain mampu menilai prestasi koperasi.
Selain itu katanya, pengurus harus sentiasa bersifat telus terutama dalam memberikan maklumat kepada semua anggota mengenai kemajuan dan juga status kewangan koperasi dari semasa ke semasa untuk mengukuhkan kerjasama dan keyakinan anggota terhadap kewibawaan pengurus dan koperasi itu.
Antara yang dibincangkan pada mesyuarat kali ini ialah menyemak dan mengesahkan Minit Mesyuarat Agung ke-26 yang berlangsung tahun lalu, pembenatangan laporan lembaga pengarah, laporan audit pendaftar dan mengesahkan kunci kira-kira bagi tahun kewangan.
Yang turut dibincangkan ialah cadangan pembahagian keuntungan dan meluluskan pembahagian keuntungan bagi 2008, membubarkan lembaga pengarah lama dan melantik yang baru bagi sesi 2009 hingga 2010 serta melantik dua juruaudit dalaman bagi jangka masa yang sama.
Koperasi yang tubuhkan sekitar tahun 60-an itu kini mempunyai 189 anggota dan perniagaan yang dijalankan termasuk ternakan kambing, stesen minyak, bangunan dan bas pengangkutan sekolah.