PHUKET, THAILAND, Ahad 19 Julai.- ASEAN memutuskan untuk menamakan pertubuhan hak asasi manusianya sebagai Suruhanjaya Antara Kerajaan mengenai Hak Asasi Manusia ASEAN dan bersetuju untuk mengkaji atau meminda Terma Rujukan (TOR) setiap lima tahun selepas ia diwujudkan.
Nama itu diputuskan selepas perbincangan panjang lebar sewaktu mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN dengan Peringkat Panel Tinggi yang membuat drafnya.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan berangkat berangkat menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Hal Ehwal Luar Negeri ASEAN bersama Ahli Panel Peringkat Tinggi (HLP) mengenai Penubuhan Badan Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRB) dan Kumpulan Pakar Undang-Undang Peringkat Tinggi (HLEG) mengenai Piagam ASEAN yang berlangsung di Andaman A Sheraton Grande Laguna Phuket di sini.
Pada awalnya tidak mendapat persetujuan bersama dari menteri-menteri luar ASEAN dan akhirnya bersetuju untuk berkompromi dan mengimbangi antara perlindungan dan menggalakkan hak asasi manusia di 10 negara anggota dengan 560 juta penduduk.
Republik Indonesia mahukan badan itu mempunyai lebih kuasa bagi memastikan perlindungan hak asasi manusia dan TOR muktamad tidak akan mempunyai apa-apa peruntukan yang membenarkan sekatan terhadap mana-mana negara.
Menteri-menteri luar ASEAN bersetuju untuk mengkajinya setiap lima tahun dan jika perlu, menteri-menteri luar ASEAN juga boleh meminta ia dikaji jika ada keperluan pada bila-bila masa.
Menteri-menteri luar ASEAN memulakan Mesyuarat Menteri-menteri Asean (AMM) ke-42 yang diadakan setiap tahun di sini hari ini yang akan diikuti Persidangan Bersama Rakan-Rakan Dialog (PMC) dan Forum Serantau ASEAN.
Walaupun perkataan perlindungan tidak dimasukkan pada masa ini tetapi ia akan dimasukkan dalam deklarasi politik yang akan dikeluarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-15 di sini pada Oktober di mana 10 pemimpin ASEAN dijangka melancarkan suruhanjaya itu.
Mekanisme untuk pindaan akan ada dan mana-mana negara boleh memohon untuk pindaan. Tetapi apa yang penting adalah untuk melaksanakan dan melindungi hak asasi manusia dengan niat yang baik.
Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Thailand, Tuan Yang Terutama Kasit Piromya, yang mempengerusikan mesyuarat itu, pada sidang akhbar berkata mereka berharap untuk meluluskan TOR pada Retreat AMM esok supaya setiap negara anggota boleh memulakan pemilihan anggota badan itu bagi negara mereka dengan segera.
Anggota itu, seorang dari setiap negara anggota, akan berkhidmat untuk tempoh tiga tahun.
Kasit berkata tujuan suruhanjaya itu adalah bagi menggalakkan dan melindungi hak asasi manusia di negara-negara ASEAN dengan tugas termasuklah meningkatkan kesedaran umum tentang hak asasi manusia dan bekerjasama dengan badan-badan ASEAN yang lain seperti pertubuhan awam.
Menteri-menteri luar ASEAN juga meluluskan draf perjanjian mengenai keistimewaan dan imuniti Asean, yang bertujuan untuk menjadikan peruntukan itu sebagaimana yang ada pada pertubuhan serantau dan antarabangsa yang lain seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Setiausaha Agung ASEAN akan diberikan kuasa untuk melakukan urusan itu bagi pihak ASEAN.
Menteri-menteri luar ASEAN juga akan diberikan penerangan mengenai perkembangan kerja-kerja pakar perundangan melibatkan mekanisme penyelesaian pertikaian (DSM), dan ASEAN pada masa ini mempunyai DSM bagi perjanjian ekonomi seperti Perjanjian Perdagangan Komprehensif ASEAN selain perjanjian politik dan keselamatan di bawah Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara.
DSM yang baru akan meliputi pertikaian yang terjadi daripada Piagam ASEAN yang mula dilaksanakan Disember lepas, perjanjian sedia ada yang tiada peruntukan untuk mekanisme penyelesaian pertikaian dan perjanjian pada masa hadapan.
DSM diwujudkan bagi menjadikan ASEAN terkawal, mempunyai mekanisme dan peraturan untuk menyelesaikan pertikaian antara negara-negara anggota. (DIPETIK DARU PELITA BRUNEI)