LIMBARUH HIJAU 3 JULAI 2009 - PENSWASTAAN perkhidmatann-perkhidmatan awam tidak disangkalkan boleh meningkatkan proudktiviti dan keberkesanan satu-satu perkhidmatan tersebut. Tetapi dalam masa sama ianya juga boleh membebankan rakyat termasuk pekerja-pekerja tempatan yang akan terdedah kepada eksploitasi dan penindasan.
Kebimbangan ini disuarakan Presiden NDP, Ayahnda Yasin Affandy dalam teks ucapan dasar Kongres Agung Tahunan NDP kali ke-4. Ia dibacakan oleh sdra Mahmud Morshidi Othman, Mantan Timbalan Presiden NDP di majlis perasmian kongres yang berlangsung di Dewan ICC Berakas pada 19 Jun 2009 baru lalu.
Menyentuh soal penswastaan ini, Presiden NDP dalam ucapan dasar berpendapat sudah terdapat banyak petanda bahawa apabila sesuatu perkhidmatan itu diswastakan, rakyat sebagai pengguna terpaksa membayar kos perkhidmatan yang lebih tinggi.
"Perkhidmatan dan layanan yang diterima juga tidak mesra pelanggan malah kadang-kadang seperti tidak wujud budi bicara dan pertimbangan kemanusiaan. Mengapa ini terjadi?", tanya Presiden NDP.
Jawapannya mudah sahaja, tambah beliau, iaitu kerana pihak pelabur mahukan pulangan ke atas pelaburan yang mereka buat kerana matlamat mereka ialah untuk mendapat keuntungan dan bukannya melaksanakan tanggunjawab sosial.
"Dalam hubungan ini, saya menyeru pekerja-pekerja sektor awam yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat supaya menunjukkan komitmen kerja yang tinggi".
"Jangan hendaknya disebabkan sikap sesetengah kakitangan awam yang tidak komited menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil langkah penswastaan dan akibatnya rakyat terpaksa membayarnya dengan kos yang lebih tinggi", nasihat Presiden NDP lagi.
Di samping itu, tegas Presiden NDP, kita juga bimbang jika melalui proses penswastaan ini syarikat-syarikat yang dulunya dimiliki oleh kerajaan, akan beralih pegangan dikuasai oleh syarikat-syarikat milik asing.
"Kita tentunya masih ingat bagaimana tindakan bekas Perdana Menteri Thailand yang menjual saham syarikat telekomunikasi di negara tersebut kepada kepentingan asing".
"Tindakan beliau itu ditentang oleh rakyat Thailand. Pihak angkatan bersenjata Thailand turut bimbang kemungkinan penguasaan asing ke atas sistem telekomunikasi negara itu akan mendedahkan keselamatan negara tersebut kepada pengintipan asing".
"Akhirnya kita lihat bagaimana tentera menggunakan alasan tersebut untuk menggulingkan Thaksin Shinawatra".
Presiden NDP dalam meluahkan kebimbangan tersebut juga mengambil kesempatan mengongsikan laporan majalah The Economist.
Menurutnya Morgan Stanley telah menganggarkan sebuah agensi pelaburan dari sebuah negara anggota ASEAN memiliki aset bernilai USD 330 bilion dan sebuah syarikat gergasinya pula memiliki aset bernilai USD 159.2 bilion.
"Bayangkan dengan kekuatan modal yang begini besar apakah kesannya jika pelaburan daripada kedua-dua entiti tersebut misalnya dapat menguasai syarikat-syarikat nasional di negara kita menyangkut kepentingan dan keperluan rakyat jelata?"
"Bukankah ini juga boleh kita tafsirkan sebagai satu bentuk ancaman non-tradisional?', tegas Presiden NDP.
|