LIMBARUH HIJAU 4 JULAI 2009 - UCAPAN DASAR Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP) sempena Kongres Agung Tahunan NDP kali ke-4 tidak ketinggalan menyentuh pendirian NDP tentang dasar luar negara.
Dalam mengenegahkan pendirian NDP, Presiden NDP menyentuh hubungan dua hala antara Brunei dengan Malaysia.
"Pada awal April yang lalu, YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah mengambil alih jawatan Perdana Menteri Malaysia. Sebagai sebuah negara jiran yang mempunyai perhubungan yang akrab dengan Brunei, saya mengambil kesempatan di sini untuk menyampaikan ucapan tahniah bagi pihak seluruh ahli NDP kepada beliau", ujar Presiden NDP dalam teks ucapan yang disampaikan oleh sdra Mahmud Morshidi Othman, Mantan Timbalan Presiden di majlis perasmian kongres pada 19 Jun 2009 baru lalu.
"Adalah menjadi harapan saya dan NDP bahawa keakraban hubungan yang wujud selama ini akan terus dipertingkatkan sama ada hubungan antara kerajaan dengan kerajaan, rakyat dengan rakyat dan pertubuhan politik dengan pertubuhan politik".
Melalui perhubungan yang pelbagai dimensi ini, tambah Presiden NDP, saya percaya bahawa kesefahaman antara kedua negara akan dapat ditingkatkan dan sentiasa berada di tahap yang paling tinggi.
Ke arah itu, katanya lagi, NDP mengambil kesempatan merayu kepada kedua pemimpin Negara Brunei Darussalam dan Malaysia kiranya akan dapat mengambil langkah yang lebih pantas untuk menyelesaikan apa jua isu yang masih tertunggak atau outstanding antara kedua Negara.
"Ini termasuklah menimbang dengan adil dan saksama permohonan pejuang-pejuang kemerdekaan Brunei yang masih berada di Malaysia yang dikenakan sekatan persona non grata untuk kembali ke bumi bertuah ini dengan aman berikutan penglibatan mereka di dalam perjuangan kemerdekaan dari luar Negara di era pra kemerdekaan dahulu".
D kesempatan itu Presiden NDP juga merakamkan ucapan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang antara sumbangan terakhir beliau sebelum meletak jawatan, adalah untuk mengambil langkah yang positif ke arah penyelesaian isu yang berkaitan dengan persempadanan Brunei-Sarawak.
"Sebenarnya dalam kes persempadanan ini terdapat dua isu yang berasingan. Pertama ialah isu persempadanan antara Brunei dengan Malaysia. Kedua ialah isu kedaulatan Brunei ke atas wilayah Limbang".
"Semasa lawatan terakhir Tun Abdullah Ahmad Badawi, persetujuan telah dicapai di antara beliau dengan Kebawah DYMM mengenai isu yang pertama dan persetujuan ini telah disahkan semula oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Hj Abd Razak baru-baru ini".
NDP, tekan Presiden NDP, berdiri teguh di belakang Kebawah DYMM dalam keputusan yang diambil mengenai pembetulan persempadanan ini dan adalah menjadi harapan rakyat seluruhnya isu persempadanan ini akan dapat diselesaikan dalam tempoh yang terdekat ini.
Bagaimanapun, katanya, isu yang ke dua masih tidak jelas dan belum mencapai sebarang persetujuan.
"Memandangkan isu ini suatu persoalan yang besar dan menyentuh minat dan kepentingan rakyat seluruhnya, saya dengan rendah diri merayu kepada kerajaan supaya mengambil dan menilai pandangan rakyat terlebih dahulu sabelum mengambil apa jua keputusan sama ada untuk meneruskan tuntutan ke atas wilayah berkenaan atau menggugurkannya".
"Dengan rendah hati NDP berdatang sembah kiranya NDP turut dirundingi sama dalam hal ini", rayu Presiden NDP.
"Rayuan ini saya ajukan bukan bermaksud untuk mempertikaikan kewibawaan dan kebijaksanaan Baginda bagi menyelesaikan persoalan ini, sebaliknya memberi peluang kepada rakyat untuk turut serta dalam proses membuat keputusan dalam isu keutuhan wilayah yang menjadi nilai kebangsaan terpenting sebuah Negara merdeka dan berdaulat", tambahnya lagi.
"Apa yang saya sebutkan ini bukanlah satu permintaan yang luar-biasa, malah ini adalah selaras dengan konsep syura yang dianjurkan oleh Islam".
"Rakyat pastinya akan berasa amat dihargai dan justerunya tidak timbul sebarang rasa kekesalan atau terkilan dengan sebarang keputusan yang bakal dicapai".
Sementara itu Presiden NDP dalam ucapan dasar turut menyentuh keadaan keselamatan di Asia Barat dan Asia Tengah.
"Sekali lagi kita tegaskan pendirian kita agar semua tentera asing yang menduduki wilayah-wilayah tersebut supaya berundur dan meninggalkan Negara-negara berkenaan dengan segera. Biarkanlah rakyat negara-negara tersebut menyelesaikan masalah mereka sendiri tanpa campur tangan kuasa asing", tegas Presiden NDP.
Kepada rejim Israel, Presiden NDP berseru agar ia menghentikan permusuhan dan penyembelihan terhadap rakyat Palestine.
"NDP mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan ke atas rakyat Palestine di Wilayah Gaza. Kita turut menuntut agar proses rundingan damai yang sedang berjalan sekarang ini akan mengembalikan apa jua hak, serta memberikan keadilan yang saksama ke atas rakyat Palestine", tegas Presiden NDP. |