LIMBARUH HIJAU 2 JULAI 2009 - “Kemurahan” hati pihak berkenaan memberikan tanah-tanah tumpang sementara untuk tujuan pertanian dan perladangan yang luas sangat membimbangkan Parti Pembangunan Bangsa (NDP).
NDP bimbang memandangkan sebahagian besar tanah-tanah tersebut tidak diusahakan sepenuhnya oleh pemilik, malah sebaliknya, ada tanah-tanah yang kelihatan terlepas ke tangan pendatang asing tanpa kawalan yang rapi oleh pihak berwajib.
Perkara ini disentuh oleh Presiden NDP dalam tekas ucapan dasar Kongres Agung Tahunan NDP kali ke-4 pada 19 Jun 2009 yang dibacakan oleh Mantan Timbalan Presiden NDP, sdra Mahmud Morshidi Othman.
Dalam ucapan dasar tersebut Presiden NDP menyeru pihak-pihak berwajib agar mengambil semula tanah-tanah pertanian dan perladangan berstatus Tanah Tumpang Sementara (TOL) yang tidak diusahakan atau yang terbukti terlepas ke tangan warga asing dan memberikannya kepada pemohon-pemohon yang benar-benar berkelayakan demi kepentingan nasional.
"Bagi mengurangkan pemilikan tanah pertanian yang besar untuk seseorang pemohon, adalah dicadangkan agar pihak-pihak berkenaan memperkenalkan skim pertanian moden seperti sistem fertigasi yang menggunakan tapak pertanian yang kecil tetapi penghasilan yang lumayan".
"Melalui skim bantuan pembangunan pertanian moden ini, rumah-rumah kalis hujan boleh diusahakan oleh tuan tanah sendiri tanpa memerlukan tenaga buruh dari luar", kata Presiden NDP.
Sebagai contoh, tambahnya, sebuah negeri di Semenanjung Malaysia telah menarik ramai belia menganggur untuk mengusahakan tanaman sayuran dan buahan seperti tembikai melalui sistem fertigasi.
"Jabatan Pertanian negeri tersebut telah memperkenalkan skim sewaan rumah kalis hujan berukuran 10 X 100 kaki yang dilengkapi system fertigasi, dengan kadar sewaan kurang RM 200 sebulan, di mana purata pendapatan bersih oleh pengusaha mencecah RM1,800 sebulan", kata Presiden.