BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI 2009 - Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Pembangunan sukacita memaklumkan bahawa baginda telah memperkenankan supaya Kanun Tanah Strata (Penggal 189), Negara Brunei Darussalam dikuatkuasakan bermuala 1 Julai 2009.
Menurut siaran akhbar Kementerian Pembangunan, sehubungan dengan penguatkuasaan itu, baginda juga telah memperkenankan supaya pemilikan hak strata itu adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan mengenainya.
Pelaksanaan Kanun Tanah Strata (Penggal 189) itu antara lain digubal untuk memberikan dorongan dan galakan kepada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam untuk memiliki rumah kediaman dan tempat tinggal di negara ini dengan selesa.
Selain dari itu ia juga untuk memberikan galakan kepada pemilik-pemilik tanah bagi mengoptimakan penggunaan tanah yang sedia ada melalui kaedah 'vertical development'.
Ia juga untuk menarik minat pelabur sama ada di dalam dan luar negara untuk melabur dalam sektor hartanah selain menjana peluang pekerjaan melalui kaedah pengurusan Perbadanan Strata (Management Cooperation) di dalam sesuatu bangunan.
Disamping itu ia juga untuk menjana perkembangan ekonomi Negara Brunei Darussalam melalui perkembangan di bidang hartanah.
Akta Kanun Tanah Strata (Penggal 189) Negara Brunei Darussalam ini akan membolehkan pemilikan hak milik strata di dalam seluruh bangunan yang mempunyai lebih daripada dua unit utama (2 tingkat) di mana kebenaran bagi memecah bangunan tersebut telah diluluskan.
Sementara itu geran-geran berasingan akan dikeluarkan kepada setiap petak di dalam bangunan dan ia dipanggil sebagai Geran Strata atau Geran Subsidari dan pemilik-pemilik geran strata ini boleh menjual, memberi atau mewariskan petak-petak yang dimiliki kepada sesiapa sahaja selain boleh dijadikan sebagai jaminan pinjaman kewangan kolateral (collateral).
Dalam melaksanakan Akta Kanun Tanah Strata (Penggal 189), Negara Brunei Darussalam, baginda juga telah memperkenalkan supaya agen-agen penaksir dan agen-agen hartanah di negara ini yang sedang atau dan akan menjalankan tugas dan khidmat sebagai 'managing agent' bagi setiap unit strata berkenaan ini dapat dikawalselia pengurusannya.
Sehubungan dengan itu, perintah Penilai dan Agen Harta Tanah, 2009 (Valuers and Estate Agents Order, 2009) telah diperkenankan untuk dikuatkuasakan bermula daripada 1 Julai, 2009.
Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Tanah akan mengadakan jerayawara untuk memberigakan butir-butir mengenai dengan peraturan-peraturan strata kepada semua pemagang taruhan (stakeholders) bermula daripada 1 Ogos 2009 nanti.
Bagi sebarang pertanyaan berhubung dengan peraturan, cara-cara memohon dan mendapatkan kebenaran memecah bahagi bangunan, orang ramai bolehlah berhubung terus ke Jabatan Tanah dan Jabatan Ukur bagi mendapatkan penerangan lanjut mengenainya. (DIPETIK DARI PELITA BRUNEI)
|