LIMBARUH HIJAU, Jumaat- Himpunan Wanita Pusat (HAWA) dengan kerjasama Biro Agama Parti Pembangunan Bangsa (NDP) telah menganjurkan Bengkel Fardhu Kifayah Menyempurnakan Jenazah Perempuan di adakan di Dewan Syura Limbaruh Hijau Jalan Jerudong hari ini.
Mengendalikan bengkel tersebut dua orang tenaga Penggapai Dayang Azizah dan Dayang Norlela daripada Unit Tanah-Tanah Perkuburan Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam.
Hadir sama dalam bengkel tersebut ialah Ketua Himpunan Wanita Pusat Dayang Hajah Saemah dan Ketua Biro Agama NDP Awang Haji Zapar bin Samsudin dan telah disertai oleh seramai lebih 30 orang di kalangan ahli-ahli wanita NDP.
Bengkel tersebut merupakan program ilmu anjuran Hawa sebagai hasrat menambahkan ilmu dan pengetahuan bagi keperluan dunia dan akhirat dan memberikan iktibar kepada individu bahawa kematian itu merupakan satu kepastian yang telah dan akan berlaku ke atas segala mahluk.
Awang Haji Zapar bin Samsudin, Ketua Biro Agama NDP ketika berucap menyatakan bahawa bengkel seperti itu akan diteruskan ke daerah-daerah dan ranting dengan dengan kerjasama Badan Perhubungan dan juga Majlis Eksekutif Ranting begitu juga dengan biro-biro yang lain.
Beliau juga telah mengucapkan tahniah kepada Hawa Pusat kerana telah berjaya menganjurkan bengkel tersebut dan menyeru supaya akan lebih bergiat lagi dalam bengkel-bengkel keagamaan seperti menghalusi bacaan sembahyang, mengaji, berdikir dan sebagainya dari masa ke semasa.
Sementara itu Ketua Himpunan Wanita Pusat pula ketika berucap menyatakan penghargaan dengan kerjasama Unit Tanah-Tanah Perkuburan Islam Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam mengendalikan bengkel tersebut dan berharap kerjasama seperti itu akan sentiasa berterusan.
Beliau juga berharap ilmu yang diperolehi daripada bengkel tersebut sedikit sebanyak akan dapat dijadikan iktibar untuk terus menjadikan diri sebagai kaum muslimah yang berilmu dan beriman kepada Allah SWT. Dan beliau juga berharap jawatankuasa bahagian kegiatan Agama Islam dalam Himpunan Wanita akan terus melaksanakan berbagai lagi bengkel-bengkel yang boleh menambahkan ilmu dan meningkatkan integriti dan kualiti diri kaum wanita dan adalah menjadi sasaran dalam apa pun kegiatan akan mengundang sama kaum wanita di negara ini untuk sama-sama menyertainya.
HAWA Pusat juga menurutnya berbesar hati bengkel hari ini sempat dihadiri seketika oleh Mantan Timbalan Presiden Saudara Mahmud Morshidi Othman yang juga telah berkesudian menyampaikan sepatah dua ucapan pesanan yang mudah-mudahan dengannya akan dapat menyuntikkan lagi semangat kaum wanita dalam Partai NDP untuk terus maju dan bergiat dengan lebih efektif dan komited.
Antara lain beliau menyeru supaya bengkel-bengkel seperti itu perlu diteruskan dan ianya bukanlah hanya untuk di pelajari sahaja tetapi hendaklah di praktikkan bermula daripada dalam ahli keluarga sendiri, jiran tetangga dan masyarakat lainnya, selain ilmu yang ada boleh digunakan untuk membantu pegawai-pegawai penggapai jika berada di rumah jenazah yang dihadiri.
Beliau juga berkata fardhu kifayah itu adalah umum dan ianya janganlah disempitkan hanya untuk menyempurnakan jenazah sahaja, kerana katanya urusan negara juga fardhu kifayah, bersangkutan dengan masalaah umum juga fardhu kifayah dan banyak lagi perkara-perkara yang boleh dikaitkan dengannya perlu juga difahami dan diketahui.
Di samping itu beliau juga menyeru supaya bengkel-bengkel seperti itu diselaraskan untuk di adakan di daerah-daerah termasuk Temburong, Kuala Belait dan Tutong supaya ianya akan lebih berkesan dan setiap ahli-ahli dalam NDP seluruh negara mendapatkan kaedahnya.