LIMBARUH HIJAU 3 JULAI 2009 - GLOBALISASI dikhuatiri lebih banyak merugikan dari menguntungkan negara-negara kecil seperti Brunei.
Pandangan ini dilontarkan Presiden NDP dalam ucapan dasar Kongres Agung Tahunan NDP kali ke-4. Teks ucapan dasar tersebut dibacakan oleh sdra Mahmud Morshidi Othman, Mantan Timbalan Presiden di majlis perasmian kongres yang telah berlangsung di Dewan ICC Berakas pada 19 Jun 2009 baru lalu.
"Perkembangan teknoligi maklumat dan komunikasi - ICT adalah anak kunci kepada pintu globalisasi yang menyebabkan wujudnya apa yang dikatakan langit terbuka dan dunia tanpa sempadan", kata Presiden NDP.
Tambahnya, globalisasi boleh berlaku didalam pelbagai bentuk seperti melalui perdagangan, pindahan modal, penswastaan dan usaha sama perniagaan.
"Walaupun globalisasi meninggalkan kesan positif keatas pertumbuhan ekonomi, globalisasi juga didapati menjadi punca kepada ketidaksamarataan agihan pendapatan dan pencemaran alam sekitar".
Menurut pandangannya lagi, ketidaksamarataan agihan pendapatan berlaku apabila teknologi yang diperkenalkan oleh syarikat-syarikat asing bias kepada buruh mahir.
"Akibatnya, jurang pendapatan diantara buruh tidak mahir dan mahir akan melebar. Keadaan menjadi bertambah buruk jika buruh mahir sesebuah Negara itu seperti Brunei didominasi oleh buruh asing", tekan Presiden NDP.
Menurutnya lagi, kajian-kajian yang telah dilakukan menunjukkan pollution-heaven hypothesis adalah valid ke atas Negara-negara sedang membangun.
"Mengikut pollution-heaven hypothesis, syarikat-syarikat asing menukar operasi mereka kenegara-negara sedang membangun kerana kos pencemaran dinegara-negara tersebut adalah sangat rendah berbanding dengan Negara asal mereka".
"Tambahan lagi, undang-undang berkaitan alam sekitar di negara-negara sedang membangun tidak digubal secara komprehensif".
"Syarikat-syarikat multi-nasional yang dikuasai oleh negara-negara besar dan maju juga memindahkan operasi mereka ke negara-negara di mana kos tenaga buruhnya adalah murah".
Di sini, kata Presiden NDP, wujud manipulasi tenaga kerja ke atas penduduk di negara-negara kurang maju oleh syarikat-syarikat multi-nasional yang matlamat akhir mereka cuma satu, iaitu keuntungan maksimum.
"Disebabkan dunia seolah-olah tiada lagi sempadan yang boleh menyekat segala bentuk perubahan yang dibawa oleh globalisasi itu, terdapat kebimbangan di negara-negara kecil dan negara-negara mundur, bahawa globalisasi lebih banyak mendatangkan kemudaratan kepada mereka berbanding kebaikan".
Globalisasi juga, tambahnya, membawa kepada transaksi modal dan barangan yang lebih bebas dan kos yang kurang.
"Ia juga mencetuskan kemajuan dalam komunikasi, keantarabangsaan pasaran kewangan, peningkatan penguasaan syarikat multi-nasional, migrasi dan mobiliti penduduk, data, idea dan termasuk juga jangkitan penyakit dan pencemaran".
"Globalisasi juga mewujudkan suasana persaingan yang lebih sengit dan justeru syarikat-syarikat tempatan perlu kepada modal yang besar untuk bersaing dan merebut peluang pasaran".
Sebab itulah, kata Presiden NDP, kita melihat di beberapa buah negara terdapat sektor-sektor yang dulunya dikuasai sektor awam seperti pembekalan tenaga elektrik, air dan telekomunikasi, sekarang ini beroperasi sebagai syarikat swasta. |