BANDAR SERI BEGAWAN 30 JULAI 2009 - Beberapa buah syarikat tempatan dan luar negeri akan mempamer dan menjual produk halal dalam Ekspo Produk Halal Antarabangsa 2009 Kali Keempat yang akan berlangsung selama empat hari mulai hari ini Khamis, 30 Julai hingga 2 Ogos 2009 bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Selain itu, ekspo juga mempromosi dan memperkenalkan syarikat-syarikat pengeluar bahan mentah, pembuatan, pemerosesan atau perkilangan dan pengedar produk-produk makanan dan minuman yang menggunakan atau menerima pakai jenama Brunei Produk Halal.
Salah satu agenda utama bersempena dengan ekspo tersebut ialah Persidangan Pasaran Halal Antarabangsa (International Halal Market Conference IHMC 2009) yang akan diadakan selama dua hari bermula 1-2 Ogos nanti.
Dalam Sidang Akhbar mengenai persidangan tersebut di Bangunan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Konsultan IHMC 2009, Abdalhamid Evans menjelaskan, persidangan tersebut adalah bagi menjana kesedaran mengenai sesuatu perkara di kalangan para pegawai kerajaan, pemain-pemain industri (industry players), Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) selain menjadikannya sebagai acara bertaraf dunia.
“Sejak lima tahun kebelakangan, fokus mengenai sektor halal secara umum di seluruh dunia meningkat mendadak dan negara-negara Islam dan bukan Islam telah memberi perhatian kepada pasaran halal bagi memajukan lagi sektor-sektor halal di negara masing-masing,” jelasnya.
Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Islam Beraja katanya, halal memainkan peranan yang penting, di mana terdapat beberapa fokus utama dalam pembangunan halal di negara ini antaranya, fardhu kifayah sebagai satu tanggungjawap dalam menyediakan makanan halal bagi umat Islam, di samping cara bagi mempelbagaikan ekonomi negara serta memajukan lagi PKS di negara ini.
Dengan tema 'Halal - penjana pertumbuhan dan peluang' (Halal - an engine for growth and opportunity), persidangan akan membariskan 12 kertas kerja disampaikan oleh beberapa penceramah terkemuka dunia antaranya dari Pengerusi KFC Holdings Sendirian Berhad (Malaysia), Tan Sri Dato’ Muhammad Ali Hashim, Perunding KerryFSDA Hongkong Noel Shield, Dr. Paul Temporal dari Oxford University, United Kingdom dan banyak lagi.
Beberapa tajuk yang menyentuh isu-isu global dan pasaran serantau akan dibincangkan semasa persidangan tersebut antaranya, peranan Brunei dalam Pasaran Halal Global, pembangunan infrastruktur bagi industri halal, produk dan perkhidmatan pasaran halal, garispandu halal bagi sektor 'pharmaceutical' dan lain-lain.
Persidangan dua hari itu dijangka akan dirasmikan oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-At-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan. (Dipetik dari Pelita Brunei)