PHUKET THAILAND, Ahad, 19 Julai. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, hari ini berangkat menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Hal Ehwal Luar Negeri ASEAN bersama Ahli Panel Peringkat Tinggi (HLP) mengenai Penubuhan Badan Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRB) dan Kumpulan Pakar Undang-Undang Peringkat Tinggi (HLEG) mengenai Piagam ASEAN berlangsung di Andaman A Sheraton Grande Laguna Phuket, di sini.

GAMBAR EHSAN PELITA BRUNEI
|
Pada pertemuan itu para menteri luar ASEAN membincangkan dua komponen penting dalam Piagam ASEAN iaitu Penubuhan Badan Hak Asasi Manusia dan mengukuhkan perincian dan mekanisme huraian masalah seperti yang dibayangkan dalam Piagam ASEAN yang ditandatangani pada 20 November tahun lalu di Singapura.
Para menteri luar ASEAN juga membincangkan perkara-perkara penting termasuk perlaksanaan Piagam ASEAN, hubungan luar ASEAN dan bertukar pandangan mengenai beberapa hal ehwal serantau dan antarabangsa.
ASEAN menubuhkan badan hak asasi manusia itu di bawah draf Piagam ASEAN pada Mesyuarat AMM di Manila tahun lalu.
Draf awal mengenai isu hak asasi manusia ASEAN agak kurang disenangi oleh negara seperti Myanmar, Kemboja, Laos dan Viet Nam.
Pada pertemuan itu para menteri luar ASEAN bersama Ahli HLP mengenai AHRB telah memaklumkan kepada para menteri luar ASEAN mengenai perkembangan kerja kumpulan-kumpulan Panel Peringkat Tertinggi tersebut dan telah meluluskan Draf Perjanjian Mengenai Keistimewaan dan Kekebalan (The Draf Agreement On Privileges and Immunities).
Jika tidak ada pindaan atau ulasan daripada sepuluh menteri luar ASEAN itu, ia akan diserahkan kepada pemimpin ASEAN untuk diluluskan semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-15 di Thailand nanti.
Kuasa yang ada pada AHRB adalah selari dengan realiti diversiti kumpulan rantau itu dalam politik dan pembangunan.
Realiti itu disebabkan keadaan di setiap negara adalah berlainan dan ia akan menjadi satu proses evolusi, bukan satu revolusi.
Pertubuhan masyarakat sivil berasaskan ASEAN juga mengkritik cadangan badan hak asasi manusia itu kerana mereka mendakwa ia tidak ada kuasa untuk melindungi hak asasi manusia di rantau ini terutamanya di Myanmar.
ASEAN mengulangi dasarnya sekian lama agar tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota.
Cadangan AHRB perlu mencapai perseimbangan untuk kredibiliti, sambil menambah bahawa ia mestilah dimulakan dengan satu standard yang minimum bagi memastikan badan tersebut boleh berfungsi dalam jangka masa panjang.
Bagi mempromosikan badan itu, ASEAN perlu realistik dalam pendekatannya dan hak asasi manusia hendaklah menjadi satu proses evolusi.
Setakat ini hanya Malaysia, Filipina, Indonesia dan Thailand yang mempunyai badan khas mengenai hak asasi manusia.
Takrifan hak asasi manusia itu penting memandangkan piagam berkenaan akan menjadi dokumen asas dalam ASEAN dan segala perkara yang kurang jelas di kalangan negara anggota boleh dirujuk kepada piagam.
Piagam berkenaan bertujuan untuk mengubah ASEAN kepada sebuah pertubuhan berasaskan peraturan, di samping membentuk satu rangka perundangan bagi menstrukturkan semula mekanisme sedia ada dan memperbaiki proses membuat keputusan.
Piagam ASEAN juga akan memperkukuhkan pertubuhan ASEAN dan juga menetapkan strategi jangka panjang yang ketara bagi kumpulan sepuluh negara anggota.
ASEAN telah mencapai beberapa kejayaan besar termasuk penggubalan Piagam ASEAN walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran serantau dan global.
Mengenai AMM pula, para menteri ASEAN akan sentiasa menilai kemajuan yang telah dicapai pertubuhan itu dalam merealisasikan dua pelan tindakan iaitu pertubuhan Komuniti Keselamatan Kritikal ASEAN dan Komuniti Sosiobudaya ASEAN.
ASEAN yang ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 dan dianggotai oleh Negara Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Viet Nam akan menyambut ulang tahun ke-42 penubuhannya pada awal Ogos depan.
(DIPETIK DARI PELITA BRUNEI)