LIMBARUH HIJAU 2 JULAI 2009 - Isu tanah-tanah milik Melayu yang dibangunkan secara usaha sama dengan bukan Melayu sangat membimbangkan Parti Pembangunan Bangsa (NDP).
"Ini kerana berdasarkan kaedah usaha sama 7 nisbah 3, tuan tanah, iaitu orang Melayu akan hanya mendapat 30 peratus sahaja daripada nilai pembangunan yang dilaksanakan".
"Melalui kaedah pembangunan sedemikian rupa, kita dapati hak pegangan Melayu mengalami penguncupan yang ketara", ujar Presiden NDP, Ayahnda Yasin Affandy, dalam teks ucapan dasar Kongres Agung Tahunan NDP kali ke-4. Tkes ucapan beliau dibacakan oleh sdra Mahmud Morshidi Othman, Mantan Timbalan Presiden NDP di majlis perasmian kongres pada 19 Jun 2009 di ICC Berakas.
"Kita amat bimbang dengan situasi ini. Sudah berapa banyakkah tanah-tanah milik Melayu yang telah dibangunkan atau dipajakkan dengan kaedah 7 nisbah 3 ini?", soal Presiden NDP sambil menyeru pihak-pihak berkenaan agar memberikan perhatian serious kepada isu ini.
Tambahnya, demi menjawab kebimbangan masyarakat Melayu khususnya, NDP ingin tahu berapa banyakkah tanah dan hartanah kepunyaan kerajaan dan orang Melayu kini telah jatuh ke tangan bukan Melayu? Apakah langkah-langkah kawalan yang telah diambil?
"Kita juga ingin tahu pecahan atau break down kualiti dan nilai tanah seluruh Negara dan langkah-langkah yang diambil untuk menjamin kemampanannya".
tegasnya kita tidak mahu melihat deretan bangunan perindustrian dan rumah-rumah kedai yang dulunya perkampungan Melayu kini bertukar wajah menjadi pekan kecil dan kawasan perindustrian, tetapi hakikatnya tanah tersebut bukan milik Melayu sepenuhnya lagi.
"Kita bimbang, jika keadaan ini tidak dikawal, akhirnya nanti orang Melayu akan terpinggir dan terasing dari kampung halamannya sendiri".
Presiden NDP dalam ucapan dasar tersebut menekankan, "Ini bukan bermakna kita anti pembangunan, tetapi dalam konteks menjaga kemaslahatan dan kepentingan jangka panjang orang Melayu selaku tuan empunya negara ini maka, pihak berkenaan hendaklah mengambil langkah segera menanganinya dengan menubuhkan sebuah Perbadanan Pembangunan Bandar Dan Desa yang berperanan sebagai pemaju tanah-tanah Melayu".
Sila lihat artikel berkaitan :