Kehidupan nelayan tidak dapat dipisahkan dengan laut, tanpanya apalah erti kehidupan seorang nelayan, walaupun masih ada air di sungai atau tasik, namun harapan untuk mencari rezeki yang lebih masih juga di laut.
Begitulah harapan kira-kira empat puluh orang nelayan kecil sepenuh masa di Kampong Sungai Teraban . Dengan menggunakan perahu dan motor sangkut mereka pergi ke laut. Pergantungan mereka kepada laut amatlah tinggi demi untuk mencari sesuap nasi dan sekerat dua ikan bagi menyara kehidupan.
Laut sumber rezeki kurniaan Allah untuk hambaNya; bukan rezeki mutlak bagi seseoranng atau sesuatu kelompok manusia dan hendaklah dikongsi bersama. Tidak siapapun boleh menghalang dan menegah daripada mencari dan mengambilnya.
Bagi nelayan kecil di Kg.Sg.Teraban, laut di sekitar pantai Belait adalah harapan dan tempat yang dekat bagi mereka mencari rezeki.
Ibarat ladang sekengkang kera begitulah nasib yang diterima oleh para nelayan berkenaan apabila aktibiti mereka terpaksa menerima beberapa halangan dan hambatan yang menyukarkan mereka untuk melabuh pukat, menahan bubu dan menyimpan takat tiruan.
Memang tidak dinafikan beberapa pelantar minyak yang ada di sekitar kawasan laut berkenaan menyempitkan ruang dan menghadkan kawasan untuk menahan alat tangkapan walaupun hakikatnya di sekitar itulah lubuk ikan dan tempat ikan bergayut , namun apakan daya tegahan menghampiri kawasan berkenaan menjadikan mereka mencari ruang yang lain.
Puas juga mereka berusaha mencari beberapa kawasan yang tidak ditegah tetapi hasilnya amat menghampakan kerana hasil tangkapan tidak menggalakkan malah ada kalanya kosong.
Mereka memang berusaha untuk membuat sesuatu bagi menambahkan hasil tangkapan saperti membina dan memasang tukun tiruan tetapi malang bagi mereka kerana sebahagian tukun tersebut rosak dan hilang akibat aktibiti pukat tunda yang juga menjalankan aktiibiti menangkap ikan di kawasan berkenaan.
Bukan itu sahaja mereka juga kehilangan bubu, modal malah juga kehilangan masa dan hasil tangkapan akibat perbuatan pukat berkenaan. Bukan mudah untuk membuat tukun tiruan dan sebiji bubu. Ianya memerlukan perbelanjaan yang besar dan masa.
Apabila tiba musim tengkujuh pendapatan para nelayan tentu terjejas kerana tidak dapat ke laut, di masa itu mereka hanya mengisi masa dengan membuat kerja-kerja biasa memperbaiki kerosakan perahu, motor sangkut atau membuat bubu baru, membubul pukat dan lainnya.
Alangkah baiknya jika mereka dapat melakukan sesuatu yang dapat menambah pendapatan bagi menampung perbelanjaan mereka saperti berladang, menternak binatang saperti kambing, ayam itik atau mengusahakan ternakan ikan air tawar.
Sekurang-kurang masa dalam musim tengkujuh dapat diisi dengan perkara yang lebih mendatangkan faedah.
Mungkinkah mereka akan diberikan tanah tapak untuk menjalankan usaha saperti tadi sekiranya mereka memohon.
Bagaimana dengan perbelanjaan-perbelanjaan lain saperti membeli kelengkapan menangkap ikan seumpama motor sangkut, minyak dan perahu. Bolehkah mereka mendapatkan subsidi?. Mungkin boleh dipertimbangkan subsidi berkenaan saperti subsidi membeli minyak dengan kadar dan peraturan tertentu.
Perkara lain yang mereka sentuh ialah tentang modal untuk membeli kelengkapan berkenaan. Pendapatan tidak seberapa sedang perbelanjaan besar dan semakin bertambah terutama bagi yang sudah berkeluarga.
Mengikut mereka, modal selalunya didapati dengan berhutang sesama mereka, hendak ke bank tentunya sulit dan pihak bank sendiri mungkin agak keberatan untuk untuk memberikan pinjaman kepada nelayan berkenaan.
Dalam hal ini, para nelayan memahami akan larangan menangkap ikan berdekatan pelantar minyak, namun mereka juga berharap kiranya pihak syarikat minyak berkenaan akan dapat membantu mereka dengan membina tukun tiruan saperti pelantar berkenaan sebagai sumbangan dan tanggunjawab sosial mereka kepada para nelayan berkenaan. Kiranya ada tukun berkenaan maka akan terbela jugalah nasib nelayan. (Laporaan Juned Ramli)