TUTONG,Sabtu (14hb Ogos 2010)- Himpunan Wanita Perhubungan Daerah Tutong telah menganjurkan aktiviti lawatan sambil belajar bersempena Sambutan Bulan Ramadhan pada tahun ini dengan berkunjung ke Pusat Bahagia Cawangan Daerah Tutong Kampung Sungai Basong Tutong.

Cenderahati disampaikan oleh Ketua Hawa Daerah Tutong Hjh Maslenawati kepada Pegawai Pembangunan Masyarakat Dyg Irnawati binti Haji Mahir
|
Rombongan lawatan yang disertai oleh seramai lebih 30 orang di kalangan ahli-ahli wanita Parti Pembangunan Bangsa itu telah diketuai oleh Ketua Himpunan Wanita Daerah Tutong Dayang Hajah Maslenawati binti Abdullah, dan turut disertai oleh ahli-ahli Ranting Kampung Ukong.
Hadir sama menyertai lawatan yang diadakan buat pertama kalinya itu ialah Ketua Himpunan Wanita Pusat Dayang Hajah Sa’emah Hj Kepli, ahli-ahli Majlis Tertinggi terdiri daripada Dr Hajah Ra’ayah binti Haji Mohd Ali dan Dayang Hajah Armah binti Haji Othman serta Awang Haji Mohd Zefri dan Awang Mohd Iskandar bin Haji Yahya, dan juga antara barisan Exco Hawa Pusat, Exco Pemuda Pusat dan juga ahli Pergerakan Puteri Pembangunan Daerah Tutong.
Lawatan tersebut merupakan salah satu daripada program usaha mengeratkan engagement and connectivity bersama dengan agensi-agensi Kerajaan, Badan-Badan Bukan Kerajaan, Persatuan-persatuan dan masyarakat pada Amnya sesuai dengan objektif utama parti untuk berusaha menjalin hubungan dan kerjasama dengan badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, kerajaan dan bukan kerajaan, dan lain-lain demi kepentingan nasional, terutama sekali bagi memajukan dan membangunkan negara dan bangsa Brunei yang merdeka.
Selain itu lawatan tersebut juga antara lain bertujan untuk meninjau lebih dekat lagi peranan dan fungsi yang efektif sedang dan akan dilakukan oleh Pusat Bahagia cawangan daerah itu, termasuklah bagaimana mereka membuat pendedahan ke atas produk-produk yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar Orang Berkeperluan Khas yang berkemahiran seperti produk kraftangan, Jahitan, Gubahan dan sebagainya yang tidak kurangnya berkualiti tinggi.
Di samping itu rombongan juga berminat ingin mengetahui apakah langkah-langkah yang telah dilakukan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat dalam membuat banci atau kajian dari Mukim dan Kampung untuk mendapatkan maklumat mengenai terdapatnya Orang-Orang Berkeperluan Khas untuk ditempatkan di Pusat-Pusat Bahagia cawangan daerah masing-masing.
Pegawai Pembangunan Masyarakat Pusat Bahagia cawangan daerah Tutong Dayang Irnawati binti Haji Mahir ketika memberikan penerangan mengenai peranan dan fungsi pusat berkenaan menjelaskan masih terdapat di kalangan ibubapa yang merasa malu untuk mengetengahkan anak-anak mereka untuk ditempatkan di pusat-pusat penempatan Orang Berkeperluan Khas(OBK).
Dan ke arah lebih membukakan minda di kalangan ibubapa mengenai kebaikannya menempatkan anak-anak mereka di pusat berkenaan, JAPEM baru-baru ini telah melaksanakan satu program yang dinamakan Program Keluargaku Permataku di seluruh negara dengan konsepnya memberikan taklimat dan makluman kepada orang awam mengenai dengan peranan pusat bahagia.
Bagaimanapun NDP melihat program yang dilaksanakan itu agak tidak berjaya kerana ianya kurang pendedahan yang terbuka terutama sekali ianya tidak disebarluasakan menggunakan media-media massa dan media elektronik hanya menyiarkannya sekali sahaja melalui siaran berita.
Sehubungan itu, NDP dalam lawatan itu turut menyarankan kepada jabatan berkenaan untuk membuat usaha lebih gigih dengan melibatkan pihak-pihak media dan juga badan-badan pertubuhan termasuk NDP sendiri dalam membantu program mereka itu yang dilihat hanya melibatkan kerjasama daripada ketua-ketua kampung tetapi ianya jelas tidak berjaya.
Dayang Irnawati sendiri menegaskan bahawa semasa program tersebut yang diadakan di salah sebuah sekolah menengah daerah Belait baru-baru ini, tidak mendapat sambutan daripada kehadiran orang ramai maupun ibubapa, selain tiada liputan media dibuat kerana beliau difahamkan pihak media tidak dimaklumkan, dan menurutnya program tersebut adalah dengan kerjasama daripada ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung.
Selain ketika ditanya bagaimanakah cara pusat tersebut mengetengahkan produk-produk yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar di sana, beliau menjelaskan mereka menyertai Tamu Hujung Minggu di Tutong pada setiap hari Khamis dan juga menyertai program-program perniagaan yang dikendalikan oleh berbagai pihak di daerah tersebut.
Hasil pendapatan daripada jualan akan dibahagi-bahagikan kepada pelajar-pelajar berkenaan dan selebihnya untuk dimasukkan ke dalam tabung pusat itu, berbagai kemahiran diajarkan kepada pelajar pusat termasuklah menjahit songkok, bertenun, membuat kraftangan, dan sebagainya termasuk pembelajaran komputer
Pusat itu juga menerima setiap aktiviti khusus yang dianjurkan bersama dengan mereka daripada pihak-pihak luar seperti persatuan-persatuan, NGO’s dan lainnya, termasuklah aktiviti menyambut Hari Jadi pelajar di pusat tersebut dan Majlis-Majlis Sambutan Hari Raya dan sebagainya.
Untuk mengeratkan lagi perpaduan antara kedua-dua pihak rombongan juga telah bertukar-tukar cenderahati sebagai kenangan yang telah disempurnakan oleh ketua rombongan kepada Pegawai Pembangunan Masyarakat pusat tersebut, selain sumbangan buah tangan juga turut dihulurkan kepada seramai 17 orang pelajar-pelajar di pusat tersebut. (HSK)
|