JATUH MISKIN OLEH HUKUMAN MUFLIS

 
 

NOVEMBER 2007 - Himpunan Wanita Parti Pembangunan Bangsa (HAWA) begitu rasa terkilan apabila melihat masih terdapat penduduk di sebuah negara yang kaya ini tinggal di dalam keadaan yang cukup daif dan memilukan. Dan apa yang sangat menyedihkan sebilangan mereka ini 'dipaksa' hidup dalam keadaan sedemikian gara-gara dijatuhkan hukuman muflis oleh mahkamah.

Tidak diketahui dengan tepat berapa ramaikah mereka yang terhumban kedalam kancah kemiskinan disebabkan oleh kejahilan mereka dan 'kepintaran' peguam penghutang mengenai perlaksanaan undang-undang muflis di negara ini akan tetapi apa yang jelas HAWA telah menemui seorang ibu tinggal yang ditimpa nasib malang ini.

Sedikit pun tidak disangka dalam perjalanan menyusur kampung melalui Projek Jejak Ehsan kali ini HAWA masuk ke dalam sebuah pondok yang beratapkan dan berdindingkan zink serta berlantaikan tanah liat yang hanya di alas dengan tikar getah yang sudah usang.

Pondok itu menjadi kediaman seorang ibu tunggal Dyg Rosanah binti Haji Hamdan, 39 tahun bersama dengan dua orang anaknya yang berusia 13 tahun dan setahun dua bulan di simpang 1625 Kampung Limau Manis Bandar Seri Begawan.


Menurut Dyg Rosnah pondoknya itu yang dibina melalui huluran bantuan daripada abang sepupunya Haji Abd Raffar bin Haji Abd Ghani, juga adalah satu sumbangan yang dianggapnya telah dapat melindunginya daripada hanya tinggal di dalam kereta seperti sebelum ini dialaminya setelah bercerai dengan suaminya.

Rombongan HAWA yang diketuai oleh Ketua Himpunan Wanita Dayang Hajah Saemah disertai bersama oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemasyarakatan dan Kebajikan Dayang Hajah Armah binti Haji Othman hari ini 17hb November turut menghulurkan sedikit sumbangan berupa wang tunai dan keperluan makanan asas.

Dyg Rosanah ketika mengongsikan cerita kehidupannya memberitahu dia begitu terhimpit  setelah diiktirafkan sebagai muflis oleh pihak mahkamah yang memerintahkan pembayaran kepada bank sejumlah $650 setiap bulan, menjadikan lebihan gajinya sebagai pembersih di Royal Flight hanya sejumlah $60.00 selain $300 untuk pembayaran kereta sebagai keperluannya pergi bekerja.

Selain itu katanya hidupnya bersama anak-anaknya mengalami masalah dan tidak keselesaan tinggal di pondok tersebut terutama jika musim hujan kerana terdapat kebocoran di sana-sini pada atap pondoknya selain lantai tanah menjadi becak dan licin.

Dan pada malam hari mereka hanya mengharapkan penggunaan lampu minyak dan jika kehabisan bekalan minyak mereka terpaksa hanya menggunakan lilin menerangi kepekatan malam.
Ketika rombongan HAWA dan KeKin tiba ke pondok itu, mendapati Dayang Rosanah sedang bergegas hendak membawa anak kecilnya pergi berjumpa doktor kerana mengidap sakit perut sudah tiga hari.

“Saya sudah tidak dapat masak beberapa hari ini kerana kehabisan gas, dan susu anak saya pun sudah habis, mungkin itulah menyebabkan anak saya sakit perut, mujurlah kadang-kadang adik perempuan saya menghulur sedikit bantuan untuk membeli susu, kerana wang belanja saya memang tidak pernah mencukupi kerana habis untuk potongan hutang bank” katanya.

Menurutnya bekas suaminya juga tidak pernah memberikan bantuan, memandangkan dia juga hanya penerima pencen tua dan tidak berkemampuan.

“Mujurlah juga ada abang sepupu saya yang kadang-kadang terpaksa saya panggil untuk meminta pertolongan jika saya menghadapi kesusahan kecemasan” ujarnya.

Dyg Rosanah juga mendakwa pernah memohon untuk mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kemasyarakatan untuk anak-anaknya tetapi, jabatan itu memberikan alasan dia tidak layak memohon kerana bekerja.

Anak damit perempuannya yang nampak begitu cerdik seperti sudah terbiasa dengan keadaan hidupnya tinggal di pondok itu, kerana menurut Dyg Rosanah anak itu dilahirkan semasa dia sudah tinggal di pondok itu, tetapi mungkin tidak kepada anak lelakinya yang sebelum ini tinggal di rumah yang jauh lebih selesa bersama ayah dan ibunya sebelum perceraian berlaku.

Bagaimanapun anak lelakinya yang hanya menunggang basikal untuk pergi ke sekolahnya, kelihatan berwajah tenang seperti memahami keadaan kesusahan hidup ibunya kini.

Turut serta dalam rombongan Jejak Ehsan HAWA kali ini ialah Setiausaha HAWA Pusat Dyg Sofiah binti Haji Zaini, Exco HAWA Dyg Hjh Junaidah binti Haji Damit, Ketua Wanita Daerah Brunei Muara Dyg Hjh Jamilah binti Haji Ahmad, serta jawatankuasa penggerak HAWA Dyg Munah bin Junaidi, Dyg Rosinah binti Until dan Dyg Norkartini binti Haji Bungsu.

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.