Ziarah rumah ahli eratkan silatulrahim

 
 
KUALA BELAIT 21 JANUARI ; Parti Pembangunan Bangsa (NDP) dijangka akan mengadakan lagi Kongress Agung tahunannya pada bulan Jun akan datang, dan ianya dihasratkan akan menjadi satu perhimpunan besar yang lebih mantap dan berwibawa daripada yang diadakan sebelumnya setelah tiga tahun parti ini disahkan di Negara Brunei Darussalam.
 
Ke arah itu beberapa persiapan juga telah giat dilaksanakan oleh semua anggota NDP daripada peringkat pusat sehinggalah ke daerah dan ranting-ranting.

Sementara itu bagi Daerah Belait, Badan Perhubungannya yang diketuai oleh Naib Presiden Daerah Belait Awang Sulaiman bin Metarshad juga telah mengatur persiapan-persiapan termasuklah tarikh-tarikh di
 adakan Kongres Agung Cabang dan Ranting bagi daerah ini yang dijangka akan diadakan pada bulan Mach 2008.

Ke arah mencapai matlamat parti untuk memantapkan lagi kongres yang akan diadakan nanti, terutama memberikan kefahaman dan kesedaran kepada anggota-anggota NDP di peringkat akar umbi, Ranting Pekan Belait Tiga yang diketuai oleh Malai Hassan bin Haji Malai Othman telah membuat inisiatif melaksanakan program turun padang bermuzakarah ke rumah-rumah ahli-ahli di ranting berkenaan.
 
Program tersebut yang merupakan salah satu program usrah dan akan terus digiatkan oleh ahli-ahli jawatankuasa Majlis Eksekutif Ranting berkenaan telah dimulakan hari ini dengan mengunjungi rumah Awang Yusof bin Sulaiman di kawasan Perpindahan Kampung Pandan 7 Kuala Belait.
 
Selain untuk mengkhabarkan tentang Kongres Agung, rombongan yang disertai sama oleh Timbalan Ketua Ranting Awang Haji Ishak bin Abol serta beberapa orang ahli-ahli jawatankuasa yang lain juga berhasrat untuk mengunakan program ziarah ahli-ahli di ranting tersebut untuk bertanyakan perkhabaran serta mendapatkan maklumat terkini tentang mereka selain harapan untuk membawa mereka bersama-sama bergerak menggiatkan program-program bagi kemajuan dan kebahagiaan ahli-ahli di ranting itu khususnya dan masyarakat keseluruhan pada amnya.
 
Awang Yusof yang dikunjungi merupakan bekas kakitangan Jabatan Kerajaan dan telah berpencen beberapa tahun dan kini hanya memenuhi masa lapangnya dengan pergi ke laut untuk menangkap ikan, mempunyai seramai tujuh orang anak perempuan, ada yang sudah berumah-tangga dan ada yang masih bersekolah, manakala isterinya pula bergiat sebagai tukang urut.
 
Ekoran daripada kunjungan itu, beliau juga sempat meminta borang keahlian, kerana berhasrat untuk membawa anak-anaknya masuk menjadi ahli NDP dan berpesan jika ada kegiatan-kegiatan yang hendak dijalankan supaya menghubunginya dan beliau berusaha untuk memberikan kerjasama mengikut kemampuannya sebagai seorang warga yang sudah menjangkau usia lebih 60 tahun. Inilah hikmah yang dapat dilihat hasil daripada program turun padang mendekati ahli-ahli di peringkat akar umbi.
 
Program tersebut akan diteruskan lagi pada minggu hadapan dengan mengunjungi beberapa ahli-ahli ranting yang lain, mudah-mudahan dengan langkah ini, ahli-ahli yang seramai lebih 30 orang di ranting tersebut sedikit sebanyak akan memahami akan dasar perjalanan parti dengan memberikan penerangan serba rengkas kepada mereka akan misi dan visi NDP. Mudah-mudahan keberkesanan daripada program ini akan berjaya mencapai matlamat yang dihasratkan bukan saja untuk kemantapan Kongres Agung malahan lebih daripada itu keteguhan dan kemantapan kepercayaan ahli-ahli kepada NDP.
 
Mendekatkan diri kepada masyarakat melalui tegur sapa dan ramah mesra serta bermuzakarah turut dituntut dalam Agama Islam sebagai mengeratkan lagi tali siratulrahim sesama Ummah, di samping ianya memberikan peluang kepada kita mengetahui akan apa yang berlaku di persekitaran termasuklah keluhan-keluhan yang diluahkan melalui pengalaman-pengalaman yang dihadapi oleh mereka, selain menjadikan ianya sebagai iktibar dan pengetahuan namun lebih besar lagi, selaku anggota dalam badan parti politik sebagai penyambung lidah rakyat perlu melihat ianya sebagai satu peranan penting dalam sama-sama memikirkannya dan berusaha membantu mengatasinya.
 
 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.