Dalam Titah Kebawah DYMM sempena menyambut tahun baru Masihi 2008 baru lalu, Baginda mengingatkan bahaya rasuah dengan mengaitkannya dengan penyakit-penyakit sosial dan kemiskinan, kerana “dengan rasuah, semua mekanisme akan jadi lemah dan pincang”. Justeru, nasihat Baginda janganlah sekali-kali menjinaki rasuah.”Negara yang karam dengan rasuah adalah negara yang malang” jelas Baginda.
Seterusnya Baginda bertitah, “beta ingin menekankan supaya kita menutup pintu rapat-rapat kepada rasuah”.
NDP mengalu-alukan dan menjunjung sepenuhnya titah KDYMM berhubung dengan rasuah ini. NDP berkongsi kebimbangan dengan Kebawah DYMM mengenai isu ini kerana rasuah adalah penyakit sosial yang boleh mengancam pembangunan dan kesejahteraan rakyat dan negara.
Rasuah dalam perspektif dan takrif yang luas berlaku dalam pelbagai bentuk melalui pintu-pintu berikut:
- Suapan (bribery)
- Penyelewengan / pecah amanah (embezzlement)
- Penipuan (fraud)
- Ugutan (intimidation)
- Peras ugut (extortion)
- Salah guna kuasa (abuse of power)
- Konflik Kepentingan (conflict of interest)
- Dagangan dalaman (insider trading)
- Menerima Pemberian secara tidak sah (receiving an unlawful gratuity, favour or illegal commission).
- Pilih kasih (Favouritism)
- Nepotisme
- Sumbangan haram (illegal contribution)
- Pengubahan wang haram (Money laundering)
Gejala rasuah berkait rapat dengan kuasa. Sejarawan Inggeris Lord Acton (1887) pernah menukilkan kata-kata yang masyhur bahawa “power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely.”
Kata-kata ini mudah sekali kita fahami. Bagaimana mungkin orang yang tidak mempunyai apa-apa kuasa melakukan rasuah?
Justeru, menyedari hakikat bahaya rasuah itu, Kebawah DYMM melontarkan “Titah Perintah” supaya pintu rasuah ditutup rapat-rapat demi memperoleh keberkatan Allah SWT.
Secara hikmah, kita mestilah mengenal pasti manakah pintu-pintu yang memungkinkan terjadinya rasuah. Kita mungkin mengambil langkah pro-aktif dengan menutup banyak pintu. Tetapi tanpa kita sedari mungkin saja ada satu pintu atau beberapa pintu yang kita terlupa atau terlepas pandang untuk menutup rapat sehingga boleh menjadi laluan rasuah.
Tidak syak lagi, seperti yang di maksudkan Lord Acton tadi, rasuah itu berkait rapat dengan kuasa dan penyalahgunaan kuasa. Rasuah sentiasa mendampingi kuasa dan mereka yang gila kuasa. Ia berjalan seiring. Kuasa boleh berada pada individu yang mempunyai kuasa dan kuasa juga boleh berada dalam pemerintahan.
Jika individu yang ada kuasa melakukan rasuah, besar kemungkinan ia terdorong untuk merampas hak orang lain. Kalau orang yang berkuasa itu sahih melakukan rasuah atau menyalahgunakan kuasanya, maka ia adalah suatu kezaliman. Kezaliman adalah punca kebinasaan. Betapa tidaknya, mungkinkah individu-individu yang rasuah dan rakus itu boleh merancang, membuat keputusan yang adil, melaksanakan dan menyampaikan tugas membangun bangsa dan negara dengan baik?.
Rasuah juga boleh berlaku dalam sistem pemerintahan. Sistem pemerintahan yang lemah dan tidak telus akan membuka pintu kepada berlakunya rasuah.
Rasuah boleh berlaku dalam skala yang besar dan melibatkan ramai pelaku rasuah. Jika keadaan ini berlaku maka, ia adalah satu ancaman yang besar kepada pembangunan negara dan bangsa sesuai dengan titah KDYMM bahawa “dengan rasuah, semua mekanisme akan jadi lemah dan pincang dan semua pembangunan juga akan pincang.”
Langkah pencegahan rasuah individu boleh dibuat melalui penguatkuasaan undang-undang pencegahan. Namun ia masih terletak pada individu tersebut. Tidak ada sistem pencegahan, walau bagaimana canggih sekali pun, yang boleh menangani penyakit ini.
Penawarnya satu sahaja iaitu AMANAH. Selama mana individu itu memelihara amanahnya selama itu rasuah tidak akan berlaku. Jadi, amanahkanlah kuasa kepada individu yang beramanah.
Selain itu, pendekatan sekatan dan imbangan atau ‘Check and balance’ adalah satu lagi kaedah bagi mengatasi masalah kelemahan dan ketidaktelusan dalam sistem pemerintahan. Sebab itu, dalam sistem demokrasi diwujudkan parlimen. Ada wakil rakyat. Ada kerajaan dan ada pembangkang.
Di dalam sistem demokrasi berparlimen, perjalanan pemerintahan sentiasa dipantau dan mesti sentiasa dilihat berjalan lurus. Sekiranya rakyat tidak puas hati; wakil mereka di parlimen akan menegur kerajaan. Tidak ada yang terselindung. Semua telus. Kalau teguran tidak diendahkan, rakyat akan menukar kerajaan di musim pilihan raya seterusnya.
Dalam sistem negara kita, telah wujud mekasnisma, dari jemaah Kabinet, institusi Majlis-Majlis Mesyuarah dan kumpulan orang-orang yang “bergelar” yang terikat dengan bai’ah yang dicirikan sebagai pembantu dan penasihat Sultan hingga kepada Majlis Perundingan Mukim dan Kampung. Institusi-institusi ini masing-masing ada peranan tersendiri yang telah digariskan oleh negara.
Suatu yang “common” di kalangan pelaku-pelaku itu ialah masing-masing adalah pemegang amanah dan kepercayaan yang diserahkan kepada mereka oleh Ulil Amri sementara “orang-orang dibawah” yang celik sentiasa mengamat-amati sejauh mana mereka ini berjaya melaksanakan dan menunaikan amanah dan kepercayaan yang diberikan kepada mereka oleh Kebawah DYMM, Ulil Amri dan negara.
Menyedari bahaya rasuah tersebut, NDP tidak sekali-kali redha dengan apa jua bentuk rasuah yang berlaku. Walaupun negara kita belum terjebak dengan gejala rasuah secara meluas, namun terdapat tanda-tanda yang menunjukkan peningkatan kes-kes rasuah telah mengambil tempatnya.
Langkah pro-aktif perlu diambil, sama ada pencegahan bersifat individu atau penambahbaikan di dalam sistem pengurusan dengan meningkatkan ketelusan.
Selain sistem berparlimen yang efektif sebagai salah satu mekanisma pemantauan dan pencegahan rasuah, konsep MIB juga sewajarnya diinstitusikan sebagai badan yang berotoriti, juga mungkin boleh berperanan sebagai badan “hisbah” yang bertanggung jawab terus Kehadapan Majlis Kebawah DYMM di samping menjadi penguatkuasa peraturan dan undang-undang mengenainya.
Kaedah ini juga boleh membantu Kerajaan Baginda di dalam amalan urus tadbir yang baik dan telus.
NDP menyedari dan turut berkongsi kebimbangan dan kerisauan Kebawah DYMM yang sejak sekian lama mengamat-amati segala macam kepincangan di dalam urustadbir negara kini. Ke arah itu, bagi kaedah jangka panjang yang akan membawa perspektif dan falsafah baru dalam sistem pentadbiran, maka NDP, didalam Manifesto Politiknya 2006 - 2016 mencadangkan supaya pihak berkenaan mempergiat dan “menstruktur semula badan hisbah dan pemantauan yang bertanggungjawab terus Kehadapan Majlis Kebawah DYMM sebagai Sultan Yang Di-Pertuan dan Perdana Menteri, supaya lebih efisyen dan efektif, sebagai kaedah membantu Kerajaan Baginda di dalam amalan urus takbir yang baik dan telus, membendung gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa”.
Dengan menggunakan saluran-saluran yang dibenarkan oleh undang-undang, NDP sebagai sebuah parti politik yang bertanggung jawab mestilah berdiri teguh di belakang Kebawah DYMM di dalam gerakan memerangi rasuah bagi menghalang sistem pengurusan negara dari dijangkiti virus rasuah.
Jadikanlah negara kita negara yang bahagia dan bebas rasuah sepenuhnya selaras dengan falsafah MIB dan seperti yang dihasratkan oleh Kebawah DYMM.