LIMBARUH HIJAU 25 JANUARI 2008 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan Polis Di-Raja Brunei atas kejayaan memberkas dan menahan 10 orang yang dipercayai terlibat dalam kes rompak berkumpulan.
|
Kesemua yang ditahan dipercayai terlibat dalam kes memecah masuk ke sebuah rumah di Kampung Batang Mitus pada hari Ahad lepas.
Menurut maklumat dari pihak polis rompakan di Kampung Batang Mitus berlaku sekitar pukul 2.42 pagi. Kumpulan yang sama juga dipercayai terlibat dalam kes awal rompakan berkumpulan di Kampung Bebatik.
Dalam rompakan di Kampung Batang Mitus itu, perompak terbabit dipercayai bersenjatakan pedang samurai, parang serta kapak berjaya melarikan wang tunai kira-kira $700 serta barang kemas yang dianggarkan bernilai $6,000.
Kesemua suspek telah dibawa ke mahkamah dan ditahan reman selama 14 hari untuksiasatan lanjut di bawah Bab 395 Kanun |
Hukuman Jenayah, Penggal 22 bersabit dengan kesalahan rompak berkumpulan.
Bab itu memperuntukkan penjara minimum selama tujuh tahun dan maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan merompak.
Sehubungan dengan kejayaan pihak polis memberkas suspek-suspek tersebut, Awang Haji Aminorashid, Setiausaha Agung NDP bagi pihak NDP telah membuat satu kenyataan mengucapkan setinggi-tinngi tahniah kepada pihak polis dibawah pimpinan Pehin Datu Kerma Setia Dato Paduka Seri Zainuddin bin Jalani, Pesuruhjaya Polis, atas kecekapan mereka menangani kes tersebut.
"Ketangkasan pihak polis menyelesaikan kes tersebut sangat mengkagumkan dan kita selaku parti politik yang cintakan keamanan dan kedamaian sangat menghargai usaha gigih pasukan polis memelihara keselamatan dan kesejahteraan awam".
"Sehubungan dengan itu, NDP akan terus berusaha memberikan sokongan dan bantuan yang semampunya kepada segala usaha pihak polis memlihara keselamatan dan kesejahteraan awam", ujar Awang Haji Aminorashid.
"Selaras dengan dasar pati, kita akan bersedia menjadi mata dan telinga kepada pihak polis dan agensi-agensi keselamatan yang lain dalam usaha kearah memastikan keselamatan awam sentiasa terjamin dan terpelihara dari anasir-anasir jahat", katanya lagi.
Beliau menjelaskan antara gerak kerja yang akan dilaksanakan oleh NDP melalui Badan-Badan Perhubungan dan ranting-ranting mulai tahun 2008 ini ialah untuk meningkatkan lagi hubungan kerjasama antara NDP dan agensi-agensi keselamatan di negara ini.
"Perkara ini telah ditekankan dalam satu resolusi yang dihasilkan di Perhimpunan Majlis Permesyuaratan Perhubungan Daerah (MPPD) yang telah bersidang buat pertama kali pada 10 Januari lalu".
"Di persidangan tersebut kita telah bersetuju menjadualkan aktiviti-aktiviti dan program-program sepanjang tahun 2008 ini yang menjurus kearah mengeratkan lagi hubungan kerjasama antara parti dengan agensi-agensi keselamatan di negara ini', jelas Awang Haji Aminorashid.
|