TAHAP KESIHATAN MENTAL YANG MEMBIMBANGKAN

 
 

Isu kesihatan mental kini telah menjadi “worldwide phenomenon”. Fenomena ini turut menjangkiti sebahagian besar rakyat Negara Brunei Darussalam sehingga menggamit perhatian akhbar-akhbar tempatan. Parti Pembangunan Bangsa (NDP) turut bimbang mengenai fenomena ini dan melihatnya sedikit sebanyak seperti ada kaitan dengan tahap sosio ekonomi / kehidupan rakyat pada umumnya. Justeru langkah-langkah menanganinya hendaklah dilihat sebagai satu tugasan yang mesti ditunaikan sesegeranya oleh pihak-pihak berkenaan.

Penyakit mental adalah satu istilah yang merangkumi gangguan-gangguan jiwa yang mengakibatkan perubahan ragam, tingkah laku dan pemikiran seseorang.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan masalah mental sebagai ketidakupayaan menangani tekanan normal kehidupan, tidak boleh bekerja secara produktif dan tidak boleh menyumbang kepada masyarakat. Justeru, ia diiktiraf sebagai penyakit dan berupaya untuk pulih jika menerima rawatan yang berkesan dan cepat.

Punca-Punca

Lazimnya tidak ada suatu punca khusus yang menyebabkan penyakit mental. Biasanya sebab-sebab penyakit ini berpelbagai dan saling berkaitan.

Antara lain mungkin:

Sebab-sebab fizikal: Contoh-contoh termasuk meminum terlalu banyak arak dan salah guna najis dadah; kemalangan, kecederaan dan jangkitan penyakit; dan ketidakseimbangan biokimia dalam otak.

Keturunan:
Sebahagian penyakit jiwa mungkin diwarisi misalnya; terdapat 1:100 peluang untuk mengidap penyakit skizofrenia dalam masyarakat umum dibandingkan dengan nisbah 1:10 peluang jika salah seorang daripada orang tua anda mempunyai skizofrenia.

Pengalaman hidup, tekanan dan trauma :
Layanan buruk atau penderaan yang berlaku semasa kecil seperti penderaan secara fizikal, emosi dan seksual; tekanan atau trauma yang timbul seperti masalah yang dialami di sekolah, tempat kerja, kehidupan dalam rumahtangga yang amat menekan, kemiskinan, kekecewaan dan pandangan negatif terhadap masa depan (negative outlook on the future).

Jenis-Jenis Penyakit Mental Yang Perlukan Rawatan
  • Neurosis & Psikosis
  • Penyakit mental organik seperti nyanyuk
  • Gangguan personaliti
  • Psikiatri di kalangan kanak-kanak
  • Ketagihan dadah dan alkohol
  • Percubaan membunuh diri

Rawatan penyakit mental biasanya merangkumi, rawatan fizikal, psikologi dan sosial.

1. Rawatan fizikal dan rawatan psikologi seperti:

  • Kaunseling
  • Psikoterapi
  • Tingkah laku

2. Rawatan Sosial

Rawatan Fizikal

Selain ubat-ubatan, penggunaan arus elektrik (electro convulsive therapy) mungkin diperlukan kepada sesetengah pesakit yang terlalu murung atau terlalu agresif yang tidak bertindak balas dengan ubat-ubatan.

Rawatan Psikologi

Rawatan psikologi kepada pesakit ini, termasuklah rawatan kaunseling dan psikoterapi.

Kaunseling yang dilakukan ini termasuklah:

  • Pendidikan yang menjelaskan berhubung simptom-simptom yang dihadapi   pesakit.
  • Aspek pengambilan ubat
  • Konsep tekanan, cara menanganinya, motivasi diri dan harga diri.
  • Aspek perhubungan kekeluargaan, rakan kerja dan lain-lain.

Psikoterapi merupakan rawatan psikologi bersifat dua hala antara doktor dan pesakit yang memerlukan doktor mengikuti kursus dan latihan tertentu.

Antara bentuk psikoterapi yang dilakukan ialah:

  • Psikoterapi dinamik
  • Psikoterapi kognitif
  • Psikoanalitik psikoterapi

Bagaimanapun tidak semua pesakit sesuai menjalani rawatan psikoterapi seumpama ini, hanya untuk pesakit neurosis tertentu dan pesakit mestilah bermotivasi tinggi, berfikiran terbuka, bijak dan penyakit yang dihadapi tidaklah terlalu kronik.

Terapi Tingkah laku

Kaedah jenis ini biasanya digunakan untuk merawat masalah tingkahlaku, contohnya seperti mereka yang fobia pada tempat tinggi secara berperingkat-peringkat. Secara tidak langsung, ia melatih pesakit supaya lebih berani.

Antara penyakit yang digunakan untuk merawat masalah ini termasuklah masalah neurosis seperti panik, fobia dan obsesif kompulsif.

Rawatan ini juga diberikan kepada mereka yang menghadapi masalah terencat otak di mana fungsi sosial mereka biasanya terganggu.

Latihan Asertif

Mereka yang menghadapi penyakit mental seperti neurosis dan psikosis kronik biasanya tidak asertif. Asertif bermaksud keupayaan menyatakan tidak kepada sesuatu permintaan, pesakit menyedari dan faham bahawa bertindak asertif tidak mengakibatkan seseorang kehilangan rakan, mencetuskan persengketaan dan sebagainya.

Komuniti

Dalam menangani masalah ini, masyarakat juga tidak terkecuali daripada memainkan peranan untuk membantu memulihkan pesakit. Proses rehabilitasi pemulihan memerlukan sokongan ahli masyarakat seperti menyediakan bengkel dan tempat-tempat perlindungan yang dapat menyediakan latihan dan pekerjaan kepada pesakit. Ini kerana pesakit tidak mungkin dapat bersaing di pasaran terbuka.

Rawatan Sosial

Rawatan pemulihan termasuklah pemulihan pekerjaan, pemulihan sosial. Ini termasuklah aspek kebersihan diri dan urusan rumahtangga.

Mereka yang menghadapi masalah mental biasanya menghadapi gangguan emosi dan gangguan pemikiran yang sekaligus menganggu hubungan sosial mereka dengan orang ramai dan cara mereka bertindak.

Justeru sekiranya rawatan komprehensif tidak diberikan, pesakit tidak mungkin dapat menikmati kehidupan yang sihat, sejahtera dan sempurna seperti individu normal yang lain. Pada masa yang sama, ahli keluarga dam masyarakat sekeliling juga bertanggungjawab membantu pesakit dalam proses pemulihan dan menangani masalah yang timbul.

STATISTIK

Masalah kesihatan mental tidak boleh dipandang ringan, beban penyakit itu memberi kesan kepada masyarakat dan negara, dan kos perubatan untuk pesakit mental adalah semakin tinggi, lebih-lebih lagi apabila pesakit  tidak mendapatkan rawatan awal.

Menurut WHO, pada 2002, 154 juta orang di seluruh dunia menderita kemurungan, 25 juta skizofrenia, 91 juta terjejas kerana penggunaan alkohol dan 15 juta mengalami masalah ketagihan ubat. Selain daripada itu, laporan terbaru WHO menunjukkan 50 juta orang menderita epilepsi dan 24 juta orang alzheimer. Yang paling membimbangkan ialah sekitar 877,000 orang mati dengan membunuh diri setiap tahun.

Kajian bersama oleh WHO dan Universiti Harvard meramalkan bahawa menjelang 2020, kemurungan akan menjadi punca ketidakupayaan nombor satu di Asia. Malah kini, 5 daripada tiap 10 kes kurang upaya berpunca dari masalah mental seperti kemurungan dan skizofrenia. Ini merupakan satu bebanan kesihatan yang lebih besar daripada kanser.

Di Malaysia, dilaporkan 3 juta orang berhadapan dengan masalah kesihatan mental. Sebanyak 16 peratus daripada 26 juta penduduk di negara tersebut disahkan mengalami sakit mental.

Penemuan data terbaru Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan bagi tahun 2006 mendapati kes gangguan mental di kalangan rakyat Malaysia meningkat sebanyak hampir 6 peratus berbanding kajian yang dijalankan 10 tahun lepas.

Daripada jumlah itu, sebanyak 20.3 peratus adalah di kalangan kanak-kanak dan remaja berusia bawah 16 tahun, 11.2 peratus adalah pesakit di kalangan orang dewasa dan 19.5 peratus di kalangan warga emas yang berusia melebihi 70 tahun.

Kes bunuh diri juga didapati semakin meningkat dengan sebanyak 20 hingga 30 orang daripada setiap 100,000 rakyat Malaysia membunuh diri setiap tahun.

Manakala di Singapura laporan terbaru menyatakan sehingga 16 peratus rakyat negara itu menghadapi masalah kesihatan mental.

Lebih membimbangkan ialah statistik yang mendapati jumlah kematian akibat bunuh diri adalah lebih tinggi daripada kematian yang berpunca dari kemalangan trafik.

Data dari WHO menunjukkan pada 2003, berlaku 346 kes bunuh diri di Singapura. Secara purata, seorang rakyat Singapura mati setiap hari akibat membunuh diri.

Perbuatan membunuh diri merupakan punca kematian kedua tertinggi di kalangan wanita bawah umur 20 tahun dan ketiga tertinggi untuk lelaki pada peringkat usia yang sama.

Mengikut kajian, antara faktor-faktor utama cubaan membunuh diri termasuklah masalah perhubungan, tekanan pelajaran, keseorangan dan pengangguran.

Di negara kita Brunei Darussalam, lebih kurang 10 peratus daripada rakyat Brunei mengalami masalah mental.

Sungguhpun majoriti daripada 30,000 individu tersebut menderita masalah mental yang tidak serius dan kurang dari 5 peratus  mengalami sakit mental yang yang teruk, ini merupakan statistik yang amat membimbangkan.

Lebih mengejutkan lagi sepanjang empat tahun lepas, terdapat peningkatan sebanyak 62 peratus dalam bilangan pesakit yang didiagnos dengan sakit mental.

Statistik oleh Jabatan Psikiatri RIPAS menunjukkan bilangan pesakit luar yang didiagnos dengan sakit mental meningkat dari 3,889 pada 2002 kepada 6,335. Jabatan Psikiatri untuk kanak-kanak dan remaja juga merekodkan sebanyak 350 kes masalah mental seperti kemurungan, masalah emosi dan tingkah laku sejak ditubuhkan pada 2005.

Peratusan ini mungkin akan terus meningkat jika sekiranya langkah-langkah kawalan, rawatan berkesan dan tindakan pencegahan tidak diambil segera. Semua langkah-langkah tersebut hendaklah diambil tindakan secara bersepadu oleh semua pihak yang bertanggungjawab dalam pembangunan masyarakat dan negara.

Dalam konteks yang lebih umum, Manifesto NDP 2006 – 2016 telah menyarankan agar dapat dipertingkatkan lagi sistem perkhidmatan kesihatan dengan,

“...Mewujudkan sistem perkhidmatan kesihatan percuma yang sempurna dan terbaik dan memastikan setiap orang tanpa mengira status sosial mereka, sama ada di bandar atau di kampung-kampung berhak mendapat layanan perkhidmatan rawatan yang terbaik, ubat-ubatan yang berkualiti, klinik, wad-wad hospital yang selesa, khidmat kepakaran dan peralatan rawatan yang cukup, terkini serta bertaraf dunia; ”

Dalam perenggan lain, manifesto tersebut juga menyarankan supaya,

“…hospital-hospital mempunyai nisbah doktor pakar / pesakit mengikut piawaian antarabangsa dan mendapat perkhidmatan kepakaran luar bagi menampung sebarang kekurangan; ”

Walaupun tidak ada statistik yang mengaitkan masalah tekanan mental dengan masalah sosio-ekonomi, namun ia tetap dilihat sebagai penyumbang faktor dan punca tekanan dan kekecewaan di kalangan masyarakat umum terutamanya yang berpendapatan rendah, justeru keadaan ini perlu ditangani dengan lebih berkesan.

Di antara penyumbang masalah berkaitan mungkin pendapatan yang tidak kecukupan, pengangguran, perumahan, kebajikan yang terabai dan sebagainya. Kearah itu NDP telah mencadangkan beberapa langkah yang mungkin boleh dipertimbangkan untuk diambil tindakan oleh pihak berkenaan seperti yang digarapkan dalam manifesto NDP 2006 - 2016, antaranya ialah:

“ membasmi kemiskinan dengan menaikkan pendapatan serta taraf hidup individu dan keluarga dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi mengatasi masalah pengangguran melalui pendekatan pembangunan ekonomi rakyat yang berpegang kepada falsafah dan prinsip-prinsip…. ”

Dan seterusnya dalam perenggan lain,

“menjamin setiap keluarga terbela dengan mendapat semua kemudahan asas iaitu rumah kediaman yang selesa, perlindungan keselamatan dan makanan yang seimbang terutamanya bagi kanak-kanak. Justeru itu, pihak yang berwajib hendaklah mempertimbangkan pemberian elaun pemakanan bulanan sebanyak BRD 200 untuk kanak-kanak yang baru lahir hingga mencecah persekolahan formal dan kanak-kanak yang belajar di sekolah formal pula hendaklah diberikan elaun pemakanan bulanan sebanyak BRD 300 sehingga mereka tamat persekolahan di peringkat menengah; ”

Wallahua’alam.

- MMO

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.