Rahman Yakub - Taib Mahmud berdamai

 
 

Oleh Caroline Jackson

KUCHING, 2 Jan (Bernama) -- Tun Abdul Rahman Yakub berkata hubungan beliau dengan anak saudaranya, Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, yang retak akibat salah faham politik lebih 20 tahun lepas, sudah kembali pulih.

Bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak itu yang akan menyambut hari kelahirannya ke-80 esok, berkata bahawa baru-baru ini Taib mengundang beliau dan anak-anaknya ke rumahnya untuk jamuan makan malam dan mereka telah berbual panjang.

Dalam satu temubual dengan Bernama di sini, Abdul Rahman juga berkata beliau membuat keputusan tepat untuk berundur sebagai Ketua Menteri Sarawak yang ketiga untuk digantikan oleh Taib.

Sejak tidak lagi bergiat aktif dalam politik, Abdul Rahman yang menjadi Yang Dipertua Negeri dari 1981 ke 1985, kini menghabiskan masa lapangnya bersama anak cucu serta cicitnya selain meluangkan masa bersama penduduk kampung sekitar kediamannya dengan menganjurkan majlis agama.

Abdul Rahman mengimbas kembali bahawa apabila kerajaan penjajah British dahulu mendapati beliau cemerlang dalam pelajarannya, mereka memberikannya biasiswa untuk belajar undang-undang di University of Southampton dan di Lincoln's Inn di London.

Keluarganya berasal dari Mukah, kawasan yang mempunyai ramai penduduk masyarakat Melanau, tetapi Abdul Rahman dilahirkan di Bintulu dan dibesarkan di Miri.

Abdul Rahman, yang menjadi Ketua Menteri dari 1970 hingga 1981, sebelum itu berkhidmat di peringkat pusat sebagai Timbalan Menteri Tanah dan Galian serta sebagai Menteri Pelajaran.

Berikut adalah petikan temubual Bernama dengan beliau:

S : Tun mengharungi kehidupan yang penuh berwarna warni. Bolehkah Tun ceritakan suka duka Tun khususnya semasa menjadi Ketua Menteri dan sebagai Yang Dipertua Negeri?

J : Pada penghujung 1980, kesihatan saya kurang baik. Saya mengalami sakit jantung dan menjalani pembedahan di London. Apabila saya kembali, saya menemui perdana menteri ketika itu, (Allahyarham) Tun Hussein Onn, dan meminta izin beliau untuk meletak jawatan sebagai ketua menteri. Beliau bertanya siapakah patut mengambil alih, dan saya kata, orang nombor dua dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah Abdul Taib Mahmud. Jadi, dia berhak menggantikan saya.

Tetapi saya perlu dapatkan persetujuan parti dahulu. Parti setuju. Oleh itu, Taib menjadi ketua menteri apabila saya berundur daripada jawatan Ketua Menteri Sarawak pada 1981.

Selepas empat tahun bermula 1981, saya berundur sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak tetapi Majlis Raja-raja meminta saya sambung.

Saya kata saya amat terharu kerana mereka mahu saya menyambung khidmat saya tetapi oleh kerana soal kesihatan, saya tidak dapat. Sejak bersara, saya lebih suka bersama anak cucu dan cicit saya.

Saya yakin saya membuat keputusan tepat untuk berundur pada masa yang sesuai, ketika kesihatan tidak mengizinkan saya terus memikul tanggungjawab yang berat.

Semasa saya menjadi Yang Dipertua Negeri, isteri saya, Toh Puan Normah, yang berketurunan Cina, meninggal dunia pada 1984.

Itu adalah satu kehilangan besar kerana sebagai seorang surirumah beliau banyak menolong menjaga saya dan anak-anak. Beliau tidak mencampuri urusan politik.

Isteri saya sekarang, Toh Puan Hayati Ahmad, kini menjaga saya.

Semasa saya menjadi ketua menteri, saya berjaya memujuk Jabu (Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu) meletak jawatan sebagai seorang kakitangan awam di Jabatan Pertanian untuk menyertai politik. Beliau bertanding melawan bekas ketua menteri (Tan Sri) Stephen Kalong Ningkan dan menewaskannya. Jadi beliau (Jabu) kekal sebagai timbalan ketua menteri sehingga hari ini. Beliau seorang yang lemah lembut, raja-raja suka beliau kerana beliau begitu beradat.

S : Pada masa itu Tan Sri Jabu dianggap telah membuat kejutan, bukan begitu?

J : Oh ya, pilihan raya pertama bukan dengan Ningkan. Saya fikir dia menang tanpa bertanding. Kemudian ada pilihan raya umum dan beliau menewaskan Ningkan.

Isterinya (Senator Puan Sri Empiang Jabu) amat berpengaruh, isteri yang cukup baik. Mereka pasangan mantap.

S: Bagaimana hubungan Tun dengan Pehin Sri Taib sekarang?

J : Amat baik, beliau anak saudara saya. Berlaku salah faham kecil angkara perbuatan seseorang, yang meninggal dunia beberapa tahun lepas, dan menimbulkan banyak masalah antara kami.

Taib menjemput saya untuk makan malam di rumahnya bulan lepas. Anak-anak perempuan saya, saya...kami semua ke rumahnya. Alhamdulillah, saya menjaga Taib sejak zaman kecilnya.

S : Apakah benar kalau dikatakan hubungan Tun dengan Pehin Sri Taib seperti air dicincang tidak akan putus?

J: Ya, air tetap tidak putus. Buat kami (bapa saudara dan anak saudara), ia sebenarnya bukan isu besar. Ada orang mengadu kepada beliau kononnya saya merancang menjatuhkan beliau. Itu tak betul. Beliau (Taib) kemudian mendapati bahawa apa yang mereka katakan kepada beliau semata-mata tidak benar. Malah beliau memberitahu anak perempuan saya mengenainya.

S : Sebagai seorang negarawan di Sarawak, apakah Tun fikir akan beri nasihat kepada ketua menteri kita sekarang tentang apa yang terbaik untuk masa depan Sarawak?

J : Tidak, beliau (Taib) cukup berpengetahuan. Beliau membesar semasa saya, sebagai menteri di Kuala Lumpur dan ketua menteri di Sarawak. Beliau mempunyai pasukan Bidayuh, Iban dan Orang Ulu bersama beliau.

S : Apa pandangan Tun tentang pemimpin, siapa harus mengambil alih daripada Pehin Sri Taib bila tiba masanya?

J : Saya berbual panjang dengan Taib semasa makan malam di rumahnya baru-baru ini. Beliau menggaru kepala. Antara kami berdua, kami telah mentadbir Sarawak bagi tempoh sejumlah 35 tahun.

Beliau berkata beliau sukar mencari seseorang yang boleh menggantikan beliau dan yang boleh diterima bukan sahaja oleh orang Melayu dan Melanau tetapi juga kaum-kaum lain.

Pada zaman saya, kami punya latar belakang ini, rakan-rakan dalam kalangan Iban, Kenyah, Kayan dan sebagainya. Bila saya menjadi seorang pegawai pribumi, saya bergerak dari Baram ke Miri dengan berjalan kaki. Saya pergi ke Marudi dan kawasan-kawasan hulu apabila saya menjadi Menteri Muda bagi Pembangunan Luar Bandar bagi Sarawak dan tinggal bersama pemimpin tempatan lain.

S : Beberapa bulan lepas Tun memanggil sidang akhbar. Ia mengenai spekulasi yang mengatakan Tun menyokong seorang daripada anak saudara Tun, Datuk Salleh Jafaruddin, bekas Timbalan Menteri Pelajaran sebagai pengganti Pehin Sri Taib.

J : Saya dengar laporan itu daripada saudara perempuan saya, Teh Yakub, yang menerimanya daripada anak lelakinya di Miri. Ada orang kata saya ada menyebut kepada Taib dan kononnya Taib bersetuju menjadikan Salleh Jafaruddin sebagai penggantinya. Jadi, saya buat kenyataan (bahawa) saya tidak pernah campur tangan dalam keputusan Taib dan parti. Saya tidak lagi aktif dalam politik.

Terpulang kepada Taib dan parti, bukan saja PBB tetapi juga Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). Mesti ada kesepakatan untuk benar-benar menyokong seseorang. Setakat ini Taib memberitahu saya beliau belum menemui seseorang. Beliau (Taib) tidak begitu kuat sejak menjalani pembedahan, sebagaimana yang anda tahu, kanser usus.

Saya tidak tahu sama ada Salleh Jafaruddin sesuai, saya tak tahu. Saya cuba mengelak daripada melantik saudara sendiri.

S : Pada ketika ini, siapa yang Tun fikir sesuai?

J : Saya tak tahu.

S : Bagaimana dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Effendi Norwawi?

J : Beliau tak mahu balik. Taib ada menemui beliau beberapa kali. Beliau pengganti yang baik jika beliau mahu. Effendi Norwawi, adalah seorang yang rajin bekerja, maka Pak Lah (Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) mengamanahkan beliau ke Unit Perancang Ekonomi bagi melaksanakan Rancangan Malaysia Kesembilan.

S : Bagaimana Tun lihat Pehin Sri Taib sekarang sebagai pemimpin?

J : Saya tidak nampak seseorang yang dapat menandingi beliau. Seorang yang cukup layak. Beliau belajar undang-undang di Australia dan beliau berpijak di bumi nyata.

S : Apa komen Tun mengenai rancangan kerajaan Sarawak merayakan ulang tahun ke-45 kemerdekaan negeri ini dalam Malaysia tahun depan sedangkan negara sudahpun merayakan ulang tahun ke-50 kemerdekaan?.

J : Kita menyertai Malaysia pada 1963 selepas Tanah Melayu sudahpun merdeka. Untuk mengingatkan rakyat bahawa kita dengan sukarela menyertai Malaysia adalah satu idea yang baik. Sebagaimana anda tahu kita menyertai Malaysia pada 16 Sept 1963.

S : Apakah Tun fikir pada masa depan Umno akan diterima di Sarawak?

J : Saya fikir Taib membuat keputusan tepat (tidak membawa Umno masuk ke Sarawak). Buat masa ini, adalah lebih baik bagi kita setakat menjadi rakan dalam Barisan Nasional. Sekurang-kurangnya buat sekarang, PBB menjadi tulang belakang BN negeri, untuk mentadbir negeri.

S : Kini Tun sudah bersara daripada politik, apakah yang Tun lakukan pada masa lapang? Bagaimana Tun membahagikan masa Tun?

J : Anak-anak, cucu dan berada di rumah. Saya adakan kelas agama pada sebelah malam dua atau tiga kali seminggu, percuma. Orang kampung datang ke sini untuk belajar mengerjakan solat dengan sempurna. Itulah sekadar khidmat yang dapat saya lakukan untuk rakyat di sini.

S : Apa harapan Tun mengenai masa depan Sarawak dan penduduknya?

J : Agar terus kekal dalam Malaysia. Adalah lebih baik berada dalam sebuah negara besar. Kita lihat banyak masalah di negara-negara seperti Bangladesh, India dan Pakistan dan kita perlu terap perasaan bersatu di negara kita dan ini hanya dapat dilakukan menerusi pendidikan di sekolah.

Kita juga memerlukan rakyat di sini memahami bentuk urusan politik Kuala Lumpur (kerajaan pusat) dan juga, negara. Sehingga ini kita melakukannya dengan amat baik.

Perdamaian Rahman Yakub-Taib Mahmud disambut baik

Pengumunan secara terbuka oleh bekas Yang Dipetua Negeri Sarawak Tun Abdul Rahman Yakub mengenai hubungannya dengan anak saudaranya, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang telah pulih merupakan sesuatu yang baik bagi Sarawak, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan hari ini.

Dr Chan, yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), berkata beliau gembira apabila kedua-dua tokoh itu berbaik-baik semula setelah berselisih faham kerana politik selama lebih 20 tahun.

"Ini sesuatu yang baik. Kalau ia membawa lebih banyak kebaikan kepada politik Sarawak, kenapa tidak?" katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas tindakan Rahman dan Taib berpeluk mesra ketika bertemu pada majlis sambutan ulang tahun kelahiran ke-80 Rahman di sebuah hotel di sini malam tadi.

Pada majlis itu, Rahman berkata Sarawak bertuah mempunyai pemimpin seperti Taib yang mampu memelihara perpaduan dalam kalangan pelbagai kumpulan etnik dan beliau yakin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) boleh menjadi model bagi parti komponen Barisan Nasional lain dalam hal berkenaan.

Bekas Naib Presiden Kanan PBB Datuk Seri Celestine Ujang pula berkata hubungan mesra yang kembali terjalin antara dua tokoh berkenaan merupakan suatu permulaan baik bagi tahun 2008 dan tahun-tahun akan datang kerana ia boleh menjamin wujudnya kestabilan politik di Sarawak serta memberi manfaat kepada perjuangan politik PBB, terutama memandangkan Rahman merupakan bekas presiden parti itu dan Taib pula adalah penerajunya sekarang.

Ujang, yang juga bekas menteri negeri dan pernaha menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri, berkata beliau yakin perkembangan terbaru itu akan mengukuhkan lagi perpaduan rakyat dan kerjasama antara parti komponen BN ke arah memajukan lagi negeri itu.

Dalam temubual dengan Bernama baru-baru ini, Rahman berkata hubungan antara beliau dan Taib kini semakin akrab kerana "air dicincang tak akan putus".

Bekas Setiausaha Agung PBB Datuk Leonard Linggi Jugah pula berkata adalah sesuatu yang baik apabila anggota sesebuah keluarga menyelesaikan perbalahan sesama mereka secara baik dan apa yang berlaku antara Rahman dan Taib lebih merupakan soal keluarga dan bukan masalah politik.

"Setelah meninggalkan arena politik sejak sekian lama, saya tidak layak membuat penghakiman," kata Linggi, anak kepada mendiang Temenggong Tun Jugah Barieng yang disifatkan oleh Rahman sebagai pengasas PBB - parti yang lahir daripada gabungan antara Parti Pesaka dan Parti Bumiputera pada 1973.

Bekas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Bujang Ullis, yang pernah menyandang jawatan naib presiden PBB pada 1980-an, berkata parti itu dan parti komponen BN lain kini perlu membuka pintu seluas-seluasnya bagi menerima kembali anggota pembangkang, yang telah menyokong Rahman sejak 1987.

"Bukan kedua-dua pemimpin ini saja yang patut kembali berbaik-baik dan melupakan kisah lama, tetapi penyokong setia beliau (Rahman) juga perlu diterima semula ke pangkuan PBB, tanpa sebarang syarat atas semangat yang sama," kata Ujang.

-- BERNAMA

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.