LIMBARUH HIJAU 31 JANUARI 2007 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) ikut sama memanjatkan syukur kehadrat Allah Subhanawallah Ta'ala dengan kelahiran seorang lagi zuriat KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada hari Isnin lepas.
Kelahiran puteri KDYMM Baginda Sultan telah diumumkan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin Pengiran Haji Abu Bakar, Grand Chamberlain.
Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin Pengiran Haji Abu Bakar, Grand Chamberlain telah memaklumkan bahawasa Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar selamat meluaran seorang puteri pada 4.21 petang hari Isnin lepas.
Menurut kenyataan Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berhubungan dengan meluaran itu sebanyak 21 das tembakan meriam dilepaskan di pekarangan Istana Nurul Iman.