Pendekatan Politik NDP

 
 

JERUDONG 11 JANUARI 2008 - Dalam konteks kita mengharungi politik Negara hari ini, adalah penting bagi kita  melihat, mengenali dan bermesra dengan siapa perlaku-pelaku utama sekarang.

Pandangan ini dilontarkan oleh sdr Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP) ketika berucap diperasmian Perhimpunan Majlis Permesyuaratan Perhubungan Daerah Senegara yang telah berlangsung pada 10 Januari 2008 bersamaan 1 Muharam 1429 di 'The Lodge' Jerudong.

Dalam ucapannya sdr Morshidi mengambil contoh dari tulisan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Pengiran Muda Mohamad Bolkiah dalam bukunya 'Remember, remember...The 8 Of December' (RR8D)

Katanya DYTM dalam buku tersebut mencetuskan pandangan dengan menyebutkan tiga prinsipal atau pelaku utama politik Brunei 45 tahun dahulu iaitu, Sultan, Commissioner General (British) dan Parti Politik (PRB).

"Hari ini kita melihat bahawa di antara tiga prinsipal tersebut, yang tetap utuh dan  tidak tergugat ialah Sultan, Istana dan kerajaan baginda".

"Prinsipal kedua iaitu British dan prinsipal ketiga PRB,  peranan keduanya kini berada dalam lipatan sejarah", ujar sdr Morshidi.

Namun, tambahnya, hari ini terdapat juga tiga principal atau pemain utama yang bertanggungjawab mewarnai politik negara  iaitu: Pertama: Sultan, Istana dan Kerajaan baginda; Kedua:  Korporat-korporat besar; Ketiga: Parti Pembangunan Bangsa (NDP).

Konflik antara pelaku-pelaku politik timbul jika tidak ada persefahaman

Menurut sdr Morshidi sejarah telah menunjukkan bahawa krisis politik boleh tercetus dan boleh membawa kepada konflik apabila pelaku-pelaku utama tidak senada dan tidak sehaluan.

"Lebih-lebih lagi jika prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaan tidak dihormati dan diabaikan. Inilah yang berlaku pada tahun 1962", menurut sdr Morshidi.

Yang demikian, tambahnya, semua pelaku utama politik negara hendaklah saling faham memahami akan hasrat, kehendak, cita-cita dan harapan masing-masing agar nikmat cahaya harapan itu tidak terbenam,  sebaliknya dapat dirasakan oleh semua yang bergelar rakyat KDYMM dan penduduk negara Brunei Darussalam.

"Dalam konteks yang lebih fokus, percayalah, NDP sedikit sebanyak dapat memahami akan hasrat sultan, istana dan kerajaan selaku principal utama. Demikian juga kita yakin bahawa sultan, istana dan kerajaan memahami hasrat kita sebagai principal ketiga.

Malangnya, kata sdr Morshidi, setelah mengamat-amati gaya dan bawaan principal kedua, kita masih tidak boleh membaca apa pula yang dihasratkan mereka selain dari mengaut keuntungan sedang rakyat ternanti-nanti untuk turut menerima habuan keuntuingan besar  mereka itu secara langsung.

"Alhamdulillah, buku RR8D telah mengirim isyarat dan petunjuk kepada semua principal utama / pelaku politik negara satu formula pendekatan istana dalam pengurusan negara sekali gus menghidangkan resipi penyelesaian sebarang krisis dan konflik iaitu melalui amalan prinsip-prinsip perundingan, rekonsiliasi, tolak ansur dan permuafakatan".

Demikianlah juga pegangan dan pendekatan NDP yang pada umumnya sentiasa bergerak dan meniti arus perjuangannya di atas landasan  prinsip-prinsip tersebut, Insya Allah, kata sdr Morshidi.

Seruan NDP - Betulkan 'nawaitu'


"Sebagai pelantar yang mewakili hasrat rakyat, NDP sekadar ingin melihat negara ini dipandu oleh jemaah tadbir yang ahli kerana Allah s.w.t juga, bukan kerana kepentingan duniawi, bukan kerana takutkan raja tapi kerana takutkan Allah Subhnaawallah Ta'ala".

"Dengan itu nescaya akan wujudlah keamanan dan kemakmuran sejati dan mudah-mudahan dengan seluruh doa rakyat, negara akan mendapat barakah sebagai Negara Zikir dan mendapat  keampunan Allah jua", tegas sdr Morshidi.

"Yang demikian, tambahnya, kita berseru kepada seluruh pimpinan di semua peringkat agar memahami hala tuju dan pendekatan  perjuangan parti, memahami pendirian dan dasar-dasar parti samada yang tersurat atau yang diungkapkan oleh pemimpin tertinggi parti dan mengongsikannya dengan seluruh ahli di daerah dan ranting masing-masing dari semasa kesemasa".

"Ini akan mewujudkan satu laluan pertukaran maklumat yang tepat dan berterusan. Penyaluran maklumat yang sebegini adalah penting untuk menjamin keutuhan parti dan para ahli walau diperingkat mana sekalipun disebabkan mereka sentiasa terdedah kepada kegiatan-kegiatan parti", kata sdr Morshidi lagi.

Tujuan NDP mengadakan MPPD

Selaras dengan apa yang saya sebutkan sebentar tadi, NDP membuat keputusan untuk menganjurkan sidang MPPD yang julung kalinya ini. Saya sengaja sebutkan ini di hujung ucapan saya supaya kita semua dapat memfokuskan tentang permesyuaratan ini justeru ia masih segar dalam ingatan kita.

Secara ringkas majlis permesyuaratan ini bertujuan:

  1. Mengumpulkan semua ahli MPPD di empat daerah bertaaruf dan bermuzakarah merungkai/ menghurai masalah bersama.
  2. Tumpuan harap diberikan kepada membincangkan strategi merekrut ahli baru.
  3. Strategi mendapatkan dana di daerah masing-masing.
  4. Mendengar laporan kegiatan NDP daerah masing-masing.
  5. Kesempatan JASA berinteraksi dengan ahli MPPD bagi mencari jalan menghurai kemelut pengurusan dan pentadbiran pejabat perhubungan ranting.
  6. Merungkai dan menghurai masalah penubuhan ranting.

Oleh itu, ujar sdr Morshidi, kita  menyeru kepada saudara dan saudari yang menjadi ahli MPPD supaya memanfaatkan wadah ini dengan sebaik mungkin demi kekuatan dan kewibawaan NDP dengan tujuan untuk menjadikannya aras kuasa atau “power base” kebawah Duli seperti yang kita baiahkan didalam visi, misi dan Objektif Utama NDP kerana Allah SWT jua.

"Curahkanlah  segala pemikiran dan kebijaksanaan saudara dan saudari sekalian demi kekuatan parti untuk berkhidmat kepada bangsa dan negara khususnya kepada Kebawah Duli sebagai Sultan Dan Yang Di Pertuan, Ulil Amri dan Mujaddid bagi Negara Brunei Darussalam".  

"Ingatlah bahawa “two heads are better than one” tetapi jangan kita lupa “too many cooks spoil the broth”.

"Sekali lagi kita ucapkan terima kasih dan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada saudara saudari yang hadir pada pagi ini dan kepada warga JASA yang berjaya menganjurkan Majlis ini', ujar sdr Morshidi.

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.