Oleh Razak Rashid Ghows
BEKAS Presiden Indonesia, Suharto yang kembali ke Rahmatullah semalam, pada usia 86 tahun, mula dilantik sebagai Presiden Indonesia kedua oleh Parlimen Rakyat Sementara atau Majelis Permusyawaratan Rakyat Sementara (MPRS) pada 21 Mac 1967 untuk tempoh lima tahun.
Sejurus selepas dilantik, Allahyarham memperkenalkan ‘Ketertiban Baru (Orde Baru) dan turut terbabit bersama pemimpin lain di rantau ini untuk mengasaskan Asean.
Suharto atau Pak Harto adalah antara pemimpin Indonesia yang paling lama memegang tampuk pemerintahan negara itu selepas Sukarno. Sepanjang karier politiknya, Allahyarham dilantik oleh MPR sebagai Presiden sebanyak enam kali daripada 1973 hingga 1998. Penggal terakhirnya ketika Allahyarham menarik diri pada 21 Mei 1998 selepas satu rusuhan.
Allahyarham atau nama penuhnya, Muhammad Soeharto lahir pada 8 Jun 1921 di Kemusuk, Argomulyo, Yogyakarta.
Allahyarham berkahwin dengan Siti Hartinah yang lebih dikenali dengan nama ‘Ibu Tien’ dan dikurniakan enam anak, Siti Hardijanti Rukmana (Tutut), Sigit Harjojudanto, Bambang Trihatmodjo, Titiek, Hutomo Mandala Putra (Tommy) dan Mamiek.
Akhbar Wall Street Journal (WSJ) dalam kronologi hidup Suharto bertajuk ‘Life of Suharto’, mendedahkan bagaimana bekas pemimpin itu mengetuai operasi menggagalkan cubaan sekumpulan askar pemberontak yang didalangi Parti Komunis Indonesia (PKI) merampas kuasa dengan membunuh enam jeneral kanan pada 30 September 1965.
Suharto mensasarkan PKI yang dituduh cuba merampas kuasa dan dalam operasi anti-Komunis itu beribu-ribu ejen PKI terbunuh.
Pada 11 Mac 1966, Presiden Sukarno menyerah kuasa keselamatan kepada Suharto dan seterusnya diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, kata WSJ.
Sebagai pemimpin, Allahyarham memainkan peranan membuat keputusan bukan saja mengenai hal ehwal dalaman Indonesia, tetapi juga pada peringkat antarabangsa. Allahyarham mengakhiri konfrontasi negara berkenaan dengan Malaysia yang dimulakan oleh Sukarno dan kemudian memutuskan hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China dan menjalin hubungan dengan negara Barat serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada zaman pemerintahannya, Presiden Suharto menetapkan pertumbuhan ekonomi sebagai tugas utama dan mengambil banyak teknokrat dan ahli ekonomi yang umumnya berpendidikan Barat dan liberal yang sebelumnya bertentangan dengan Presiden Sukarno yang cenderung bersifat sosialis.
Kebanyakan teknokrat yang diambil Suharto mempunyai kelulusan universiti dan mendapatkan bantuan ekonomi dan kewangan daripada negara maju serta badan antarabangsa lain yang berada di bawah PBB, seperti Unicef, Unesco dan WHO.
Namun, kegagalan pengurusan ekonomi menyebabkan Indonesia terpaksa bergantung pada badan antarabangsa terutama selepas Krisis Kewangan Asia 1997. Dalam bidang politik, Allahyarham menggabungkan parti politik bagi menjadikannya tiga parti politik besar terdiri daripada Parti Persatuan Pembangunan (PPP), Golongan Karya (Golkar) dan Parti Demokrasi Indonesia (PDI).
Keadaan ini berbeza dengan zaman Presiden Sukarno yang mengamalkan sistem parti berbilang yang dianggap oleh Suharto sebagai penghalang pembangunan. Sebagai ganti, Allahyarham Suharto mengeluarkan Pancasila, sebuah undang-undang politik dan asas tunggal, yang mewarnai politik pada saat itu.
Pada 1970 Suharto melarang bantahan pelajar selepas tunjuk perasaan yang meluas terhadap rasuah. Sebuah suruhanjaya mendapati bahawa rasuah sangat umum dan Allahyarham bersetuju dengan hanya dua kes dan kemudian menutup suruhanjaya berkenaan. Selepas itu rasuah di Indonesia merebak.
Pada 1973, Suharto memenangi pilihan raya umum dan dipilih semula dalam pilihan raya umum 1978, 1983, 1988, 1993, dan 1998. Allahyarham juga mengubah peraturan pilihan raya dan hanya memberi kebenaran kepada tiga parti menyertai pilihan raya termasuk Golkar pimpinannya.
Ini menyebabkan semua parti Islam terpaksa bergabung menjadi Parti Persatuan Pembangunan sementara parti bukan Islam dan parti nasionalis yang lain digabungkan menjadi Parti Demokrasi Indonesia.
Pada 1996, Suharto berusaha menyingkirkan Megawati Soekarnoputri daripada pimpinan Parti Demokrasi Indonesia (PDI), satu daripada tiga parti rasmi. Pada Jun 1996, selepas beberapa tunjuk perasaan, rusuhan, tekanan politik dan tentera, Allahyarham mengundurkan diri pada 21 Mei 1998 untuk mengelakkan kekacauan dan tempatnya diambil alih Naib Presiden Indonesia, B J Habibie.
Selepas melepaskan jawatan, kesihatan Suharto mula merosot. Pada 20 Julai 1999, Allahyarham dimasukkan ke hospital berikutan serangan angin ahmar, ketika usia 78 tahun, tetapi dibenarkan pulang.
Pada 14 Ogos, Suharto mengalami masalah pendarahan usus ketika berada di rumahnya di Jakarta Pusat.
Setahun kemudian Allahyarham di dimasukkan ke hospital untuk pemeriksaan rutin, khususnya memeriksa paru-parunya dan selepas itu dibenarkan pulang.
Pada 24 Februari 2001 Suharto kembali dimasukkan ke hospital bagi menjalani pembedahan usus. Pada 13 Jun, Allahyarham menjalani pembedahan pemasangan alat pelaras degupan jantung kekal dan dibenarkan keluar dua hari kemudian dengan berkerusi roda. Pada 17 Disember, Suharto dirawat di Hospital Pertamina kerana menderita radang paru-paru, sesak nafas dan demam panas. Keadaannya menjadi teruk disebabkan faktor usia lanjut.
Pada 12 Ogos 2002 pasukan perubatan bebas dilantik bagi memeriksa kesihatan Suharto dan memutuskan daya ingatan Suharto amat lemah kerana mudah kecewa kerana tidak mampu mengingati banyak perkara selain kesukaran bertutur.
Pada 26 April 2004, Suharto yang berusia 83 tahun ketika itu, menjalani rawatan semula berikutan masalah pada saluran ususnya dan setahun kemudian terpaksa melalui dua pemindahan darah.
Namun, pada 4 Mei 2006, Allahyarham dimasukkan semula ke hospital kerana pendarahan usus. Allahyarham berjaya dipulihkan, tetapi minggu lalu dikejarkan ke hospital kerana mengalami anemia serta tekanan darah rendah berikutan masalah jantung, paru-paru dan buah pinggang.
Semalam, Allahyarham menghembus nafas terakhir selepas mengalami kegagalan pelbagai organ, dengan jantung dan paru-paru terjejas teruk.