LIMBARUH HIJAU 26 JANURAI 2008- Kementerian Pendidikan baru-baru ini telah mengumumkan pewartaan Perintah Pendidikan Wajib 2007 yang digubal bagi memastikan semua kanak-kanak di Brunei mendapat pendidikan formal di sekolah sekurang-kurangnya selama sembilan tahun.
Pegumuman penting tersebut telah dibuat oleh Timbalan Menteri Pendidikan Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Pengiran Haji Abdul Rahman.
Katanya perundangan baru itu sudah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan berkuat kuasa mulai 24 November 2007.
Perintah itu antara lain bertujuan memastikan kanak-kanak berumur antara 6 dan 15 tahun di negara ini menerima pendidikan rendah dan menengah sama ada di sekolah kerajaan ataupun swasta secara berdaftar rasmi serta menerima pendidikan yang bersesuaian di sekolah.
"Dibandingkan dengan Dasar 12 Tahun Pendidikan yang sedia berjalan pada masa ini, Perintah Pendidikan Wajib itu mempunyai kuat kuasa undang-undang untuk mengukuhkan lagi dasar berkenaan," katanya.
Beliau mengumumkan demikian ketika membaca teks ucapan menteri, Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman Haji Mohamed Taib pada majlis perasmian pelancaran Buku Panduan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah-Sekolah Negara Brunei Darussalam.
Menurutnya lagi langkah tersebt diambil dalam usaha berterusan memperluaskan wawasan dan matlamat misi Kementerian Pendidikan melalui kajian semula serta menghalusi amalan dan dasar pendidikan secara proaktif dalam memastikan perkembangan dan pembaikan serta mendukung pertumbuhan ekonomi dan kestabilan negara.
Sebaik Perintah itu berkuat kuasa pada 24 November 2007, semua kanak-kanak warganegara Brunei dan menetap di negara ini yang mencapai umur persekolahan wajib, iaitu dilahirkan pada atau selepas 1 Januari 2002 - kecuali kanak-kanak yang diberi pengecualian di bawah perintah itu - dikehendaki oleh undang-undang untuk mendaftar dan belajar di sekolah.
Kegagalan berbuat demikian adalah dikira melanggar Perintah Pendidikan Wajib 2007 dan boleh menyebabkan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan menghadapi tindakan undang-undang.
"Kementerian berharap semua pihak yang berkenaan seperti agensi kerajaan, ibu bapa, penghulu dan ketua kampung, pengetua dan guru besar serta guru-guru akan memberikan kerjasama penuh memastikan hasrat murni itu tercapai", kata Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad.
NDP sehubungan dengan ini juga sukacita mendoakan agar langkah Kementerian Pendidikan dengan restu KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan mendapat sokongan padu dari semua lapisan masyarakat dan mencapai kejayaan dalam usaha besar kita membina bangsa yang berilmu, cemerlang dan bertemadun.
Kejayaan dan kecemerlangan yang akan dicetuskan melalui Perintah Pendidikan Wajib 2007 ini adalah juga menjadi harapan NDP selaras dengan dasar pendidikan yang diajukannya dalam Manifesto Parti bagi tahun 2006 -2016.
Dalam konteks ini NDP telah mencadangkan agar langkah tegas perlu diambil untuk mewajibkan anak-anak disekolahkan selama 13 tahun: dua tahun pra-sekolah, enam tahun peringkat rendah dan lima tahun peringkat menengah secara percuma;
NDP juga mencadangakan agar usaha dapat diambil untuk memastikan atau mewajibkan setiap murid dan penuntut beragama Islam menghadiri sekolah agama selama enam tahun di samping sekolah biasa untuk memastikan mereka tahu dasar, asas dan rukun Islam.
Di samping mata-mata pelajaran asas seperti ilmu Tauhid, Ibadah, Mu’amalat, Sejarah, Munakahat, Al-Quran, Tajwid, Fara-id, dan lain-lain, mata-mata pelajaran seperti Falsafah Islam, Sastera Islam, Sejarah Islam, dan lain-lain yang boleh dikategorikan sebagai sukatan pelajaran Tamadun Islam (Politik Islam, Ekonomi Islam, Sosial Sains Islam dan Kesenian Islam) hendaklah dimasukkan ke dalam sukatan pembelajaran, sama ada dengan sendirinya atau melalui manhaj perbandingan dengan yang bukan bersumberkan Islam.
Inilah antara cadangan yang telah diajukan oleh NDP dalam usaha kearah melahirkan masyarakat Brunei yang berpenididkan dan bertemadun.
NDP dalam hal ini bersedia membantu sebarang usaha Kerajaan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan untuk membentuk dasar pendidikan berasaskan konsep ‘Bismi Rabbik’ – mengenal Allah SWT – bagi melahirkan masyarakat berpendidikan dan menatijahkan:
1-
Lahirnya tenaga kerja yang terlatih dan bersahsiah tinggi supaya negara tidak bergantung kepada tenaga kerja asing dalam pembangunan negara;
2-
Membebaskan negara dan ummat dari muslihat luar yang boleh mengancam kemerdekaan dan keselamatan negara;
3- Sumber bekalan tenaga mahir dan tenaga ilmuan untuk pembangunan negara-negara yang memerlukannya.
Sementara itu NDP dalam Manifesto parti bagi tahun 2006 - 2016 juga telah mencadangkan dan bersedia menyokong dan membantu Kerajaan KDYMM keatas sebarang usaha untuk :
- memastikan penduduk Negara Brunei Darussalam sifar buta huruf, seratus peratus celik Al-Quran dan komputer, berilmu dan menjadi generasi baru rakyat Kebawah DYMM yang mahir berbahasa Arab, Inggeris, Mandarin dan lain-lain di samping Bahasa Melayu.
- memberikan jaminan kepada setiap penduduk atau warga Negara Brunei Darussalam mendapat pendidikan ke tahap yang tertinggi tanpa sebarang diskriminasi jantina (gender) dan umur, dalam apa jua bidang, dan supaya tiada lagi golongan yang buta huruf dan tidak berpelajaran di Negara Brunei Darussalam selepas kemerdekaan;
-
menggalakkan pendidikan sepanjang hayat dan menjamin peluang pendidikan sama rata kepada semua golongan rakyat Kebawah DYMM bagi melahirkan modal insan yang berdaya saing dan mampu menghadapi cabaran global.