LIMBARUH HIJAU 24 JANUARI 2008 - Badan Perhubungan Daerah Brunei dan Muara telah mengadakan mesyuarat bulanannya kelmarin dengan dipengerusikan oleh Awang Hj. Antin bin Ahad, pemangku Naib Presiden Brunei Muara.
Antara agenda yang dibincangkan ialah rangka kerja perlaksanaan projek-projek sepanjang tahun 2008 yang menjurus kearah meningkatkan jumlah keahlian dalam parti dan juga usaha-usaha menambah kewangan untuk melicinkan lagi perjalanan Badan Perhubungan NDP Brunei-Muara..
Selain itu mesyuarat juga membincangkan beberapa usul berhubung isu pemberian dermasiswa supaya dikaji dan sesuaikan semula oleh pihak-pihak berwajib dalam sektor pendidikan di negara ini.
Contohnya permohonan untuk menyambung pelajaran ke peringkat Phd sepatutnya diberi keutamaan walaupun umor pemohon itu masih muda.
Juga disentuh isu hukuman muflis yang dianggap sebagai peraturan yang 'kejam' yang hanya memburukkan lagi keadaan bukan sahaja kepada individu-individu yang dikenakan hukuman tersebut malahan juga kepada keluarga mereka yang tidak berdosa.
Isu pemaju hartanah juga turut dibincangkan dan mesyuarat mencadangkan agar pihak-pihak tertentu membuat pemantauan untuk mempastikan syarat-syarat dan peraturan-peraturan berkaitan memaju hartanah tidak memberi ruang kepada pemaju-pemaju yang tidak bertanggunjawab mengekploitasi dan menipu tuan-tuan tanah yang 'jahil'.
Isu pembahagian peluang-peluang pekerjaan dan projek-projek oleh Syarikat Minyak Brunei Shell juga disentuh serta isu berkaitan kebajikkan peniaga-peniaga kecil.
Berhubung isu peniaga-peniaga kecil mesyuarat membincangkan perlunya syarat mendapatkan permit pas kerja dikaji dan jika perlu diubahsuai mengikut keadaan masa sekarang, kerana terdapat peniaga kecil seperti petani / peladang memohon pekerja dikenakan syarat ketat supaya mendapatkan pekerja tempatan, manakala gedung-gedung perniagaan pula dimudahkan untuk menggunakan pekerja asing.