PERHIMPUNAN MAJLIS PERMESYUARATAN PERHUBUNGAN DAERAH KALI KE 1

Memperkasa keupayaan NDP

 
 

LIMBARUH HIJAU 13 JANUARI 2008 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) akan dibentuk menjadi sebuah parti politik yang mesra teknologi maklumat (IT).

"Matlamat kita ialah untuk memantapkan lagi sistem pentadbiran dan pengurusan parti dengan memperkenalkan penggunaan sistem IT sepenuhnya di semua peringkat pentadbiran, pengurusan dan perhubungan parti", ujar Awang Haji Aminorashid Haji Ghazali, Setiausaha Agung NDP ketika berucap di majlis perasmian Perhimpunan Majlis Permesyuaratan Perhubungan Daerah (MPPD) Senegara yang berlangsung di 'The Holiday Lodge' pada hari Khamis yang baru lalu.

"Dari itu pemimpin-pemimpin dan warga NDP yang belum celik IT mestilah dari sekarang
mengambil langkah menyiapkan diri untuk berjinak-jinak dengan komputer dan sistem IT yang sekarang merupakan keperluan dan satu kemestian dalam kehidupan di era globalisasi yang penuh mencabar ini".

"Kita akan mempertingkatkan keberkesanan sistem perhubungan dan penyebaran maklumat parti melalui penggunaan sistem internet dan email. Kita akan memperkenalkan sistem IT untuk memudahkan lagi pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli akar umbi berinteraksi dan berkomunikasi dengan cepat dan berkesan", tambah Awang Haji Aminorashid.

"Kita perlu mengambil langkah ini agar kita tidak ketinggalan jauh di belakang dalam era yang berdayasaing yang tinggi ini", jelas Awang Haji Aminorashid.

Sehubungan dengan itu, NDP katanya, akan terus berusaha menjadi pemudah cara kepada semua pemimpin-pemimpin dan anggota-anggota NDP yang lain untuk menjadi pengguna IT yang baik.

Seramai lebih 100 orang perwakilan dari seluruh negara menghadiri Perhimpunan MPPD yang berjalan selama sehari suntuk.

Perwakilan-perwakilan yang menghadiri perhimpunan tersebut terdiri dari ahli-ahli jawatankuasa Badan-Badan Perhubungan Daerah dari ke empat-empat daerah di neara ini.

MPPD diadakan buat pertama kalinya dengan tujuan untuk:

  1. Mengumpulkan semua ahli MPPD di empat daerah bertaaruf dan bermuzakarah merungkai / menghurai masalah bersama.

  2. Memberikan peluang kepada ahli-ahli MPPD mencabah fikiran dan membincangkan bersama strategi merekrut ahli baru.

  3. Memberikan peluang kepada ahli-ahli MPPD mencabah fikiran membincangkan bersama strategi mendapatkan dana di daerah masing-masing.

  4. Mendengar laporan kegiatan NDP daerah masing-masing.

  5. Kesempatan JASA berinteraksi dengan ahli MPPD bagi mencari jalan menghurai kemelut pengurusan dan pentadbiran pejabat perhubungan ranting.

  6. Merungkai dan menghurai masalah penubuhan ranting.

MPPD ke-2 dijadualkan akan diadakan pada bulan April akan datang dan seterusnya setiap empat bulan sekali.

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.