Memperkasa keupayaan wanita

 
 
PARTI Pembangunan Bangsa (NDP) akan terus berusaha meningkatkan kemahiran seluruh anggota parti termasuklah di kalangan anggota wanitanya melalui program-program kemahiran baik dalam bidang politik, sosial, ekonomi, keagamaan dan sebagainya yang akan dilaksanakan di sepanjang tahun ini dan tahun-tahun berikutnya.
 
Perkara itu ditekankan oleh Timbalan Presiden Parti Pembangunan Bangsa Saudara sdr Mahmud Morshidi Othman semasa berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Himpunan Wanita NDP seluruh negara yang di adakan di Dewan Syura Limbaruh Hijau pad Hari Jumaat 11hb Januari lalu.
 

Dalam ucapannya Timbalan Presiden turut menekankan rancangan Himpunan Wanita Pusat bagi tahun 2008 untuk menampilkan anggota wanita NDP menyertai kursus-kursus yang di sediakan oleh Pusat Pembangunan Usahawan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama di Sinaut Tutong pada tahun ini.

Katanya ia merupakan salah satu langkah yang bijak, ke arah memberikan pendedahan kepada wanita semua untuk sentiasa merebut peluang-peluang dan kemudahan-kemudahan yang telah disediakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam kepada rakyat

Di samping itu beliau juga turut menyeru kepada wanita-wanita anggota NDP untuk turut merebut peluang memahirkan diri dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) untuk belajar daripada peringkat asas seterusnya ke peringkat lanjutan sehingga mahir. 

Ini adalah untuk menampilkan seluruh anggota wanita NDP sebagai rakyat yang serba boleh bukan hanya berperanan sebagai seorang isteri dan ibu malahan sentiasa melibatkan diri dalam pembangunan negara dan bangsa dan tidak ketinggalan dalam mengikuti perkembangan dunia melalui kemudahan IT, ujar sdr Morshidi.

Pada perjumpaan itu yang dihadiri seramai lebih 20 orang di kalangan kepimpinan Hawa NDP, Timbalan Presiden juga turut menyarankan agar Hawa Pusat menubuhkan sebuah unit kaunseling wanita sebagai membantu mengangkat masalah-masalah yang di hadapi oleh kalangan kaum wanita seperti masalah dalam rumah tangga dan sebagainya.


Unit kaunseling itu nanti, ujar Timbalan Presiden merupakan sebagai khidmat nasihat kepada ibu-ibu dan wanita-wanita daripada berbagai sudut seperti kehidupan dan sebagainya untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya daripada pihak-pihak tertentu.

Sementara itu program penerangan sepertimana yang dirancangkan untuk di adakan oleh Hawa Pusat dengan kerjasama daripada Biro Penerangan perlulah juga dilaksanakan ekoran statistik kemasukkan ahli-ahli wanita dilihat agak menurun sejak kebelakangan ini dan beliau berharap melalui program-program rancangan Hawa NDP yang akan dilaksanakan akan dapat meningkatkan lagi kemasukkan ahli wanita.
 
Sementara itu Ketua Hawa Pusat Dyg Hjh Saemah dalam ucapannya telah menyampaikan laporan pergerakkan Hawa sepanjang tahun 2007. Menurutnya Hawa Pusat telah banyak berusaha ke arah perlaksanaan mempelbagaikan penampilan NDP ke mata masyarakat setempat melalui aktiviti-aktiviti diadakan setiap bulan termasuklah program-program mendekati masyarakat, program-program berkebajikan dan program-program kemahiran serta menjayakan berbagai program lain dengan biro-biro yang lain.
 
Menurut Ketua Hawa Pusat lagi melalui program memperkayakan kemahiran wanita pada tahun ini, anggota wanita NDP akan melibatkan diri menyertai sebanyak 31 tajuk kursus sepanjang tahun di Pusat Pembangunan Usahawan Sinaut yang menjurus kepada memberikan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang perniagaan dan pemprosesan serta pembuatan permakanan basah dan kering serta kepakaran membuat pengaliran wang model yang bijak dan kursus-kursus yang berkenaan.
 
Selain itu satu lagi program kemahiran yang akan dikendalikan oleh Hawa Pusat ialah Bengkel Gubahan Hantaran Pertunangan/Perkahwinan dan cenderahati dengan mendatangkan tenaga pengajar daripada Kuala Lumpur yang dirancang akan diadakan pada bulan Mach nanti untuk sebanyak empat sesi di keempat-empat daerah.
 

Manakala melalui program kemasyarakatannya Hawa Pusat pada tahun ini juga akan memperluaskan lagi skop kerja-kerja berkebajikann dengan mengadakan program-program kunjungan ke pusat-pusat yang menempatkan mereka yang kurang bernasib baik seperti orang-orang berkeperluan khas, kanak-kanak istimewa, orang-orang mental, kanak-kanak Autisme dan sebagainya di seluruh negara. 

Antara matlamat utama kunjungan itu bukan sahaja untuk mendekat mereka sebagai memberikan dorongan semangat bahkan juga untuk membantu mengetengahkan masyarakat berkeperluan khas itu kepada masyarakat melalui berbagai cara dan salah satunya ialah membantu membuat pemasaran kepada produk-produk hasil buatan mereka umpamanya kraftangan, gubahan dan sebagainya.

 
Ketua Hawa Pusat seterusnya menyatakan ke arah usaha untuk membantu mengaktifkan gerakkan wanita diperingkat daerah, cabang dan ranting mereka juga akan melaksanakan program-program turun padang berkunjung dan bermuzakarah serta membincangkan mengenai program-program yang boleh digerakkan samada dilaksanakan oleh wanita di peringkat itu sendiri  atau dengan kerjasama Hawa Pusat.
 
Beliau juga seterusnya menyeru kepada semua Ketua-ketua Himpunan Wanita Daerah, Naib-Naib Ketua 11 Wanita cabang dan ranting supaya akan terus memberikan kerjasama kepada Hawa Pusat dalam menggerakkan kegiatan-kegiatan wanita seperti yang termaktub dalam perlembagaan Parti Pembangunan artikel 40 perkara 4 untuk mereka membantu tugas-tugas ketua dan timbalan ketua wanita terutama dalam program dan kegiatan-kegiatan yang berkaitan dengan wanita dalam apa jua bidang termasuk politik, ekonomi, sosial, pendidikan di dalam daerah, cabang dan ranting masing-masing.
 
 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.