JERUDONG 11 JANUARI 2008 : PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) akan terus berusaha membudayakan konsep Syura dalam proses membuat keputusan di semua peringkat pentadbiran dan pengurusan parti.
Perkara ini ditekankan oleh sdr Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden NDP dalam ucapan beliau diperasmian Perhimpunan Majlis Pemesyuaratan Perhubungan Daerah (MPPD) Seluruh Negara kali Pertama yang berlangsung di 'The Holiday Lodge' sebuah hotel terkenal di Jerudong.
Perhimpunan MPPD telah di hadiri oleh lebih 100 perwakilan yang terdiri dari Naib-Naib Presiden dan ahli-ahli Jawatankuasa Badan-Badan Perhubungan Daerah dari ke empat-empat daerah di negara ini.
Menurut sdr Morshidi dalam perjalanan politik yang jauh kita terutama yang bergelar pemimpin perlu memastikan kita sentiasa berjalan lurus dan sentiasa berada di atas landasan dan jajaran yang betul.
"Adalah tidak cukup jika sekadar kita bercakap bahawa kita mesti berjalan lurus. Tetapi yang lebih penting ialah bahawa kita mesti dilihat berjalan lurus".
Justeru, tambahnya dalam konteks ini satu konsep telah diperkenalkan dalam Islam untuk kita guna pakai bagi membantu kita agar dapat berjalan lurus dan sentiasa dilihat berjalan lurus, iaitu konsep Syura yang menjadi pegangan parti.
"Pendekatan syura ini disasar untuk menjadi satu budaya dalam setiap keputusan parti yang dibuat di semua peringkat, samada pusat, daerah, cabang, ranting".
"Kita yakin, dengan niat yang tulus melalui pendekatan dan pembudayaan Syura ini, mudah-mudahan kita akan beroleh hidayah semasa membuat keputusan dan beroleh keputusan yang betul".
Tambah sdr Morshidi dengan keputusan yang betul, pastinya kita akan berada di landasan yang betul. Justeru kita akan sentiasa berjalan dengan lurus dan Insyaallah akan sentiasa dilihat berjalan lurus.
Definasi Syura
Syura, menurut sdr Morshidi, membawa makna bahawa apa jua keputusan yang dibuat adalah dipersetujui bersama.
"Dalam proses syura ini pandangan yang disuarakan boleh sahaja berbeza-beza. Namun apabila sahaja keputusan diambil oleh jemaah maka setiap ahli hendaklah menerimanya dengan sepenuh hati dan sepersetujuan", jelas sdr Morshidi.
"Maknanya “collective decision” hendaklah diperkasa dengan “collective responsibility”. Dengan adanya “collective decision” dan “collective responsibility”, kewibawaan dan keutuhan parti Insyaallah akan sentiasa terpelihara".
"Natijahnya, tidak akan ada seorang ahli pun, walaupun mempunyai pandangan yang berbeza, yang tidak menghormati dan mendukung keputusan yang dibuat. Inilah hikmah Syura".
Tambah sdr Morshidi lagi Syura mampu melahirkan persefahaman, keterbukaan, keseimbangan, keadilan dan kasih sayang kerana wujudnya interaksi dan percambahan pemikiran yang sihat, harmoni dan subur yang berlaku dari masa ke semasa.
Antara Syura dan Demokrasi
Dalam ucapannya sdr Morshidi juga menggariskan perbezaan antara konsep Syura dan konsep demokrasi ala barat.
Katany amalan Syura seperti yang di nyatakan itu sama sekali tidak se erti dengan konsep demokrasi yang diwar-warkan oleh barat.
"Syura tidak semestinya menerima pakai keputusan yang dibuat secara demokratik itu sebagai satu keputusan yang mutlak. Sebabnya mudah. Keputusan majoriti tidak semestinya keputusan yang betul dan saksama".
"Suka saya jelaskan di sini hubung kait antara Syura dan demokrasi. Hubungan ini boleh dilihat dari segi kulit (form) dan isi (content)", tegas sdr Morshidi.
Katanya dari segi kulit kedua konsep mempunyai banyak persamaan seperti penglibatan orang ramai didalam pembuatan keputusan melalui pilihan raya dengan tujuan untuk melahirkan kebajikan awam (public good).
"Demokrasi berperwakilan dan berpatisipasi juga digalakkan Islam. Islam menolak wujudnya pemimpin yang bersifat autoritarian dan lebih teruk lagi totalitarian".
"Walau macam manapun Islam menolak prinsip demokrasi yang menyatakan majoriti itu adalah sentiasa benar dan keputusan majoriti itu sebagai mutlak".
"Islam tetap mengatakan majoriti itu adalah salah sekiranya kuasa majoriti diperolehi dengan kaedah yang salah". jelas beliau lagi.
Dalam Islam, tambahnya, keputusan yang mutlak terletak di tangan Ahlul Halli Wal Aqdi yang pakar dalam bidang masing-masing berpandukan syariat. Keputusan yang betul adalah keputusan yang menepati dengan ketetapan syariat.
"Inilah pegangan NDP yang ingin saya peringatkan kepada kalian yang bergelar pemimpin untuk sama-sama kita amat-amati dan belajar utuk mempraktiskannya", tegas sdr Morshidi.
Saranan NDP
Kearah itu, menurut sdr Morshidi, dalam konteks yang lebih luas, Parti telah menggarapkan di dalam Manifesto Politik NDP 2006-2016 dibawah tajuk Proses Pembangunan Dan Pembaharuan Politik berbunyi, NDP “Mencadang, menyokong dan membantu sebarang usaha Kerajaan Kebawah DYMM untuk mempergiat dan menstruktur semula sistem Syura dalam pemerintahan negara yang telah wujud sejak zaman berzaman melalui pembentukan institusi parlimen yang mempunyai dua dewan iaitu, Majlis Mesyuarat Negara dan Majlis Permesyuaratan Diraja".
"Majlis Mesyuarat Negara berperanan sebagai ‘lower house’ sementara Majlis Permesyuaratan Diraja berperanan sebagai ‘upper house’. Walau bagai mana pun, pandangan NDP tersebut tidaklah semestinya yang terbaik".
"Dalam aspek yang lain, sistem yang diamalkan negara sekarang juga adalah sistem yang baik dan boleh diterima pakai selama tidak bertentangan dengan Syarak.
Jika didapati terdapat kelemahan dan kecacatan didalam sistem yang ada sekarang tentunya pembaikan-pembaikan boleh dibuat."
"Matlamat akhir sistem pemerintahan yang islamis ialah bagai mana kita sebagai pemegang amanah mampu memelihara dan memakmurkan bumi dan segala isinya yang merupakan milik mutlak Allah s.w.t dengan sebaik-baiknya dan dalam masa yang sama tidak melakukan kerosakan-kerosakan".
Bahasnya lagi:
"Ciri-ciri pemegang amanah yang dimaksudkan telah diterangkan oleh para ulama yang menggariskan beberapa ciri yang mesti dimiliki oleh pemegang dan penyampai amanah atau Ahlul Halli Wal Aqdi atau pemimpin-pemimpin yang bertanggung jawab membuat keputusan-keputusan bersangkutan kepentingan Agama atau maslahah umum dan menjadi penyampai amanah, antara lain sesorang pemimpin itu hendaklah:
- Bersifat waras, warak dan taqwa dan tidak memihak kepada golongan tertentu.
- Bijaksana mengolah, mentafsir dan sesuai dengan kedudukan dan pangkatnya dan yang terbaik dalam bidang kepakarannya.
- Bersikap pemurah, tidak bakhil dan tamak haloba.
- Hidup sederhana
- Memiliki etika asas Islam iaitu amanah, jujur dan tidak pernah melakukan kemungkaran dengan sengaja.
- Tidak melakukan kemungkaran
- Bebas dari perasaan buruk seperti buruk sangka, hasad dengki, khianat, tidak bermusuhan dengan masyarakat bawahan dan orang awam dan sebagainya
- Berpengalaman dan pakar dalam bidang ikhtisasnya sama ada ilmu syarak atau waq’ie.
| UCAPAN TIMBALAN PRESIDEN SETERUSNYA |
|