Komited bantu sahabat ASEAN

 
 
Oleh Salawati Haji Yahya dan Rosfazilah Haji Yusly

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah Piagam ASEAN yang ditandatangani tahun lalu di Singapura dapat mengeratkan komitmen dalam integrasi serantau.

Baginda Sultan ketika meraikan Perdana Menteri Myanmar, Jeneral Thein Sein pada majlis Santap Negara di Istana Nurul Iman malam ini bertitah: "Ini adalah lebih penting jika Asia Tenggara mahukan kejayaan dalam mengharungi cabaran yang datang dan pada masa sama keberkesanan kedua-duanya diharap dapat dilihat melalui Piagam berkenaan.

"Kini hampir 15 tahun sejak Brunei dan Myanmar menjalin hubungan diplomatik dan sejak itu kedua-dua negara menjalin kerjasama baik melalui hubungan peribadi dan beberapa kerjasama yang berkesan," titah Baginda Sultan lagi.

Baginda seterusnya bertitah kejayaan hubungan dua hala itu terutama yang memfokuskan pada pendidikan kesihatan dan bantuan teknikal menyediakan asas kepada semua pembangunan dengan yang paling utama ialah pembangunan manusia.

"Kami percaya pembangunan manusia dapat membantu orang ramai mencapai kemahiran dan keyakinan yang diperlukan terhadap cabaran masa ini," titah baginda.

Baginda bertitah Brunei komited untuk membantu rakannya sama ada secara dua hala atau serantau melalui Inisiatif Integrasi ASEAN dan gembira dengan penyertaan warga Myanmar dalam program bantuan teknikal dan kemasukan pelajar Myanmar dalam universiti tempatan.

Baginda bertitah: "Dalam pada masa sama kami juga mendapat manfaat daripada sumbangan terhadap pembangunan yang dibuat rakyat Myanmar yang bekerja di negara ini dan kami sangat menghargainya."

Yang berangkat sama ke majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Malik serta kerabat diraja lain.

Baginda bertitah, hubungan itu bukan saja terikat melalui perkembangan ekonomi malah dalam politik, kebudayaan dan perkembangan sosial.

"Ia menawarkan peluang yang besar untuk dikongsi bukan saja dalam kerjasama praktikal malah melalui idea dan pandangan," titah baginda lagi.

Brunei memberi perhatian penting terhadap Dasar hubungan berpanjangan dalam ASEAN dalam rundingan dan dialog yang dapat mewujudkan kesepakatan yang diharap dapat berkembang di bawah peruntukan yang ditetapkan dalam Piagam ASEAN.

Baginda Sultan juga berharap dapat bekerjasama dengan Myanmar dan semua rakan ASEAN untuk mempromosi objektif itu dan menjadikannya satu realiti pada rantau ini.

Sementara dalam ucapan balas Jeneral Thein Sein menyuarakan perasaan gembira ketika berada di Brunei kerana berpeluang menyaksikan keindahan dan pemandangan serta kemajuan Bandar Seri Begawan.

Beliau juga melahirkan rasa terima kasih kepada Brunei atas susunan rancangan lawatan yang disediakan terutama siri lawatan ke tempat menarik di negara ini.

Kunjungan lawatan kali ini dapat memberi manfaat terutama dalam meningkatkan hubungan kerjasama kedua-dua negara dan berterima kasih kepada Baginda Sultan serta kerabat kerana mengalu-alukan kunjungan lawatan itu, jelasnya.

Sementara dalam perkembangan berasingan, Baginda Sultan juga berkenan mengadakan perjumpaan empat mata dengan Perdana Menteri Myanmar Thein Sein di ruang lain istana dan sejurus sebelum majlis santap negara. (DIPETIK DARI MEDIA PERMATA)


 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.