BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Isu banjir kilat yang sering melanda negara mendapat perhatian peringkat paling tinggi apabila Baginda Sultan bertitah menyentuh isu itu dalam titah khas sempena ketibaan Tahun Baru Hijrah 1429 yang disiarkan ke seluruh negara malam ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei bertitah isu banjir bukanlah soal kecil tetapi berkait rapat dengan kepentingan lain seperti perundangan, pengurusan, etika dan disiplin.
Jika semua aspek itu ada dan diberi perhatian, titah baginda, sudah tentu semua masalah akan dapat ditangani.
Baginda Sultan bertitah menyentuh pendapat yang mengatakan masalah banjir berpunca daripada sistem perairan atau perparitan yang kurang diberi perhatian hingga ditumbuhi rumput rampai hingga menyebabkan aliran air tersekat dan tidak lancar.
"Jika ini betul, apakah ia tidak mustahak untuk diambil berat dan dibuat perubahan segera?" titah baginda.
Baginda Sultan bertitah banjir boleh juga berlaku disebabkan faktor pembangunan seperti jika ada projek yang tidak dikawal ketat oleh peraturan atau akta menyebabkan kontraktor dengan sesuka hati meruntuhkan bukit, mengorek dan memunggah tanah serta melonggokkan sampah di merata tempat hingga menjejaskan longkang dan parit serta alam sekitar.
"Jadi ingin Beta tegaskan di sini supaya kita bersikap lebih maju tanpa mengabaikan 'langkah-langkah perlu' untuk mengatasi masalah.
"Jika terdapat isu-isu yang memadai hanya dengan pengurusan biasa, maka bolehlah kita mengurusnya dengan cara biasa dan jika isu itu memerlukan 'peraturan-peraturan khas' atau akta, maka mengapakah tidak diluruskan pengurusan-nya dengan kuat kuasa peraturan atau akta tersebut?" tegas baginda.
Menurut baginda, jika akta atau peraturan seperti itu belum ada, "maka apakah salahnya jika kita menggubal peraturan dan akta yang berkaitan, begitulah caranya untuk merintis sebarang perubahan dan kemajuan tanpa terperangkap dengan fikiran-fikiran sempit atau jalan buntu."
Baginda Sultan bertitah menekankan supaya semua pihak melihat dan berfikir mengenai masalah yang dihadapi kerana walaupun negara sudah banyak mempunyai wawasan tetapi kerana kelewatan mencari penyudah menyebabkan negara sering terlambat.
Baginda Sultan turut bertitah mengingatkan agensi-agensi kerajaan supaya melihat mana-mana yang mustahak untuk membuat atau membawa perubahan.
Menurut Baginda Sultan, sesuatu kebaikan atau kemajuan bermula daripada kesedaran kerana tanpa kesedaran tidak akan berlaku perubahan sambil bertitah memberi contoh perokok akan berhenti merokok apabila menyedari bahaya rokok terhadap diri dan nyawanya sendiri.
"Inilah peranan kesedaran. Ia mesti dan perlu dirangsang dan kerana itu Beta turut memuji langkah-langkah dakwah dan motivasi dalam apa pun bentuknya yang bertujuan menyedarkan masyarakat supaya segera berubah, iaitu berubah kepada yang lebih baik daripada yang kurang baik atau tidak baik," titah baginda.
Sempena menyambut Tahun Baru Hijrah 1429 ini juga, baginda menyeru agar rakyat baginda turut sama mengalami perubahan atau membawa perubahan kepada perkara-perkara kebaikan, kemajuan dan kebajikan.
Baginda Sultan bertitah: "Beta dan sekeluarga Beta dengan tulus ikhlas serta sukacita mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1429. Semoga kehadirannya akan menyemarakkan lagi 'kesedaran berbakti' kepada Allah dan agama-Nya, maju jaya serta aktif membawa perubahan-perubahan bermakna bagi negara." (Dipetik dari Media Permata)