LIMBARUH HIJAU 9 SAFAR 1433 (3 JANUARI 2012): TAHNIAH kepada Kementerian Pendidikan atas inisiatif menyelamatkan golongan pelajar dari keluarga susah dari tercicir atas sebab tekanan hidup.
Parti Pembangunan Bangsa (NDP) mengambil maklum usaha yang mulia ini telah dilaksanakan kelmarin oleh Kementerian Pendidikan di Asrama Maktab Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Gadong.
Langkah awal ini menyakiskan seramai 107 orang pelajar yang terdiri dari seramai 53 pelajar lelaki dan 54 pelajar perempuan telah dikenal pasti dan disokong tinggal di asrama berdasarkan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.
Pelajar-pelajar ini akan mengikuti kelas di dua buah sekolah kerajaan yang berhampiran dengan Asrama Maktab Duli mengikut Kluster 1, 2, 3.
Seramai 52 orang akan bersekolah di Sekolah Menengah Rimba manakala 55 orang lagi di Sekolah Menengah Rimba II, dan akan membuat pendaftaran di sekolah masing-masing pada hari Rabu akan datang.
Tujuannya skim penempatan pelajar-pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan di asrama ialah untuk mempastikan mereka akan mendapat pembelajaran sempurna dan teratur selain dari peluang bersosial dalam suasan yang sihat.
Dengan adanya skim ini pelajar-pelajar terpilih akan berpeluang menjalani kehidupan yang lebih selesa, terjamin dan selamat dan peluang untuk keluar dari pelbagai masalah.
Selain itu, skim ini juga akan dapat membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan menyelamatkan anak-anak mereka dari keciciran dan anak-anak mereka berpeluang meningkatkan tahap pencapaian akademik serta berpeluang mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
NDP berdoa dan berkongsi harapan dengan Kementerian Pendidikan agar skim yang diperkenalkan akan dapat membawa kejayaan dalam kehidupan pelajar-pelajar terpilih dan seterusnya akan dapat mengeluarkan mereka dari kepompongan hidup susah kepada hidup yang lebih berdikari, berdisiplin dan berjaya.
Sehubungan dengan itu NDP dikesempatan ini juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas inisiatif Kerajaan (melalui Kementerian Pendidikan) tersebut dan akan tersu berusaha sebaik dan semampu mungkin untuk terus memberikan sokongan kepada sebarang usaha yang mendatangkan hasil baik kepada bangsa dan negara.
NDP sangat berbesar hati dengan inisiatif ini yang jelas sehaluan dengan hasrat dan saranan yang telah NDP gariskan dalam manifesto parti 2006-2016.
Antaranya NDP telah menyarankan agar langkah-langkah diambil bagi memastikan semua anak yatim dan ibu tunggal bebas daripada kemelaratan, serta dijamin pembiayaan pemakanan, pakaian, perumahan, termasuk pembelajaran anak-anak yatim, sehingga mereka berumur lapan belas tahun atau tamat pengajian atas pembiayaan Kerajaan Kebawah DYMM di peringkat menengah atau lanjutan.
NDP juga telah menekankan harapan parti dan saranan agar langkah-langkah berpatutan diambil bagi menjamin setiap penduduk atau warga Negara Brunei Darussalam mendapat pendidikan ke tahap yang tertinggi tanpa sebarang diskriminasi jantina (gender) dan umur, dalam apa jua bidang, dan supaya tiada lagi golongan yang buta huruf dan tidak berpelajaran di Negara Brunei Darussalam selepas kemerdekaan.
Seterusnya NDP telah mengariskan perlunya usaha dilaksanakan bagi menggalakkan pendidikan sepanjang hayat dan menjamin peluang pendidikan sama rata kepada semua golongan rakyat Kebawah DYMM bagi melahirkan modal insan yang berdaya saing dan mampu menghadapi cabaran global.
Selain dari itu NDP juga menekankan perlunya dasar pendidikan negara mewajibkan anak-anak disekolahkan selama 13 tahun: dua tahun pra-sekolah, enam tahun peringkat rendah dan lima tahun peringkat menengah secara percuma; dan memastikan atau mewajibkan setiap murid dan penuntut beragama Islam menghadiri sekolah agama selama enam tahun di samping sekolah biasa untuk memastikan mereka tahu dasar, asas dan rukun Islam.
Apa yang menjadi harapan NDP sekarang agar skim penempatan pelajar dari keluarga susah di asrama-asrama akan dilaratkan ke daerah-daerah lain yang juga menghadapi masalah keciciran penuntut yang sama.
|