LIMBARUH HIJAU 12 SAFAR 1433 (6 JANUARI 2012) : PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) mengalu-alukan langkah kehadapan Kementerian Pendidikan menubuhan 'Model Schools' atau 'Sekolah Contoh' bagi tujuan melahirkan melahirkan pakar-pakar dan professional bagi keperluan negara.
NDP menyokong penuh program ini terutama langkah untuk; Pertama, memberikan kuasa autonomi kepada pihak sekolah dalam bidang penyediaan kurikula yang inovatif, pedagogi, merencana strategi operasi dan kewangan dan kedua memberikan ruang dan peluang untuk penglibatan pihak-pihak yang berkepentingan yang terdiri daripada ibu bapa, pihak swasta dan masyarakat umum untuk menyumbang dan menjayakan 'Model Schools' ini.
Semua ini selaras dengan semangat Manifesto NDP 2006-2016 dibidang pendidikan yang mengariskan seperti berikut:
a) Memberi peluang kepada para ibu bapa memainkan peranan untuk memperkembangkan tahap pendidikan di Negara Brunei Darussalam, di mana setiap sekolah ditadbir oleh Lembaga Pengurus sendiri dan ibu bapa diwakili di dalamnya selain daripada diisi oleh wakil daripada Kementerian Pendidikan.
b) Lembaga Pengurus tersebut diberikan kuasa untuk mengambil berkhidmat dan menghentikan perkhidmatan para guru secara berkontrak, mengikut syarat-syarat dan garis panduan daripada Kementerian Pendidikan. Kementerian tersebut pula bertanggungjawab menggubal segala dasar yang berkaitan dengan pendidikan, termasuk sukatan pelajaran dan piawaiannya.
c) Lembaga Pengurus dipertanggungjawabkan untuk mentadbir dan mengurus sekolah, di mana peruntukan yang diagihkan kepada sekolah akan bersandarkan kepada keramaian penuntut serta faktor-faktor lain, seperti projek-projek pengajian dan penyelidikan yang dikendalikan.
d) Untuk memastikan yang konsep pembahagian tanggungjawab dan peruntukan ini dilaksanakan secara efektif dan efisien agar objektif mempertingkatkan tahap pendidikan tercapai, maka Kementerian Pendidikan melalui jabatan-jabatannya yang berkenaan di semua peringkat perlu melaksanakan pemantauan yang rapi dan berkesan.
Dalam pada itu sekali lagi NDP merkamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan KDYMM dan khusus kepada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Dr. Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Pendidikan dan Kementerian Pendidikan atas inisiatif melaksanakan pendekatan terbaru ini yang selaras dengan dasar Pendidikan seperti yang digariskan di dalam Wawasan 2035.
NDP mengambil maklum dan menyokong penuh perencanaan Wawasan Negara 2035 untuk menyediakan sekolah-sekolah kelas pertama di peringkat rendah, menengah, vokasional dan pengajian tinggi untuk melahirkan pakar-pakar dan professional bagi keperluan negara.
Dalam langkah awal ini Kementerian Pendidikan telah mengenal pasti lima buah sekolah yang berpotensi untuk dijadikan 'Model Schools' ini iaitu tiga buah sekolah rendah, sebuah sekolah menengah dan sebuah sekolah vokasional.
Sementara itu menurut
Yang Berhormat konsep rangka kerja bagi 'Model Schools' ini adalah berpandukan kepada tanda aras antarabangsa yang telah disesuaikan dalam konteks Negara Brunei Darussalam.
'Model Schools' ini tambahnya, akan menyediakan sebuah sistem pembelajaran yang bersandarkan kepada perkara-perkara seperti berikut:
1-Falsafah Melayu Islam Beraja.
2-Mengamalkan amalan terbaik antarabangsa di dalam pengajaran dan pembelajaran; Menggunakan teknologi maklumat dalam pembelajaran dan pengajaran.
3-Mempromosikan penyelidikan, perkembangan dan inovasi dalam pendidikan.
4-Memberikan autonomi kepada pihak sekolah dalam bidang kurikula inovatif, pedagogi, strategi operasi dan kewangan.
5-Menyediakan guru-guru yang berkualiti dan mempunyai kemahiran abad ke-21 (21st Century Skills).
6-Melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan abad ke-21.
7-Menyediakan kepimpinan sekolah melalui program SLP dan PEAKS dan Dipertanggungjawabkan bagi meningkatkan pencapaian semua pelajar.
8-Kementerian Pendidikan juga mengalu-alukan penglibatan pihak-pihak yang berkepentingan yang terdiri daripada ibu bapa, pihak swasta dan masyarakat umum untuk menyumbang dan menjayakan usaha Kementerian Pendidikan di dalam penubuhan 'Model Schools' ini nanti.
NDP dengan ini berharap agar langkah awal ini beroleh kejayaan yang cemerlang dan akan dapat lagi dilaratkan kepada sekolah-sekolah yang lain di seluruh negara. Insya Allah NDP akan terus berusaha memberikan sokongan padu dengan memantau perjalanan program ini dan akan memberikan feedback dan cadangan-cadangan membina demi kemajuan bidang pendidikan di negara tercinta ini. |