BELAIT 7 SAFAR 1433 (1 JANUARI 2012) : PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) Daerah Belait membuka tirai Tahun Baru Masehi 2012 dengan Majlis Tahlil dan Do'a Selamat di kediaman Timbalan Presiden merangkap Pemangku Presiden NDP di Kampong Pandan C Kuala Belait.
Majlis yang berkebajikkan itu dianjurkan oleh Badan Perhubungan NDP Daerah Belait melalui Biro Ugama Badan Perhubungan.
Timbalan Presiden merangkap Pemangku Presiden NDP turut menjayakan majlis selaku Tetamu Kehormat. Juga turut hadir selain dari ahli-ahli NDP dan ahli-ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan Belait ialah sdri Hajah Saemah Kifli Ketua HAWA, sdra Haji Ismail Ibrahim, Ketua Badan Perhubungan NDP Tutong, beberapa ahli dari Brunei-Muara serta beberapa anggota masyarakat Belait yang bukan ahli NDP.
Sdra Haji Ali Yusop, Pemangku Naib Presiden NDP Belait merangkap Ketua Perhubungan Daerah dalam ucapan alu-aluan beliau merakamkan penghargaan atas kehadiran ahli-ahli NDP terutama rakan-rakan se-daerah yang bukan ahli NDP.
Beliau merakamkan harapan agar 2012 membawa kecemerlangan kepada NDP khususnya NDP Belait. Untuk itu beliau menyeru agar semua ahli akan sentiasa menanai semangat perpaduan dan kerja berpasukan.
Sdra Haji Ali juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Sdra Haji Kifli dan Seri Kandi Katering serta individu-individu yang lain yang telah menghulurkan bantuan makanan, minuman, khemah, kerusi meja dan tenaga untuk sama-sama menjayakan majlis tersebut.
Sementara itu sdra Malai Hassan Othman dalam ucapan ringkasnya merakamkan ucapan tahniah kepada Badan Perhubungan Belait, terutama Biro Ugama Badan Perhubungan atas inisiatif untuk memulakan perjalanan di tahun baru dengan majlis keugamaan yang penuh keberkatan.
Beliau mengambil maklum Majlis tersebut turut menjemput beberapa orang Ketua Kampong, Penghulu dan Yang Berhormat Wakil Majlis Mesyuarat Negara (MMN).
"Walaupun mereka berhalangan untuk hadir atas sebab-sebab komitmen awal undangan di majlis-majlis yang lain dan ada yang bercuti keluar negara, namun langkah untuk mengundang mereka untuk bersama-sama menjayakan majlis ini sudah cukup baik".
"Dalam pada itu saya menrakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih NDP atas kesudian Imam Haji Zakari dan rakan-rakan dari Mesjid Kampong Pandan untuk memimpin Majlis Tahlil dan Do'a Selamat anjuran NDP Belait ini", ujar sdra Malai Hassan.
Katanya tujuan NDP Belait mengundang pemimpin-pemimpin masyarakat di Belait untuk bersama NDP menjayakan majlis berkebajikkan ini ialah untuk mengertakan silatulrahim antara ahli-ahli NDP dengan anggota masyarakat Belait terutama pemimpin-pemimpin masyarakat akar umbi di Belait.
"NDP merupakan rakan strategik kepada KDYMM Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei dan Kerajaan. Ini termasuklah rakan strategik kepada Yang Berhormat, Penghulu dan Ketua Kampong".
"Kehadiran NDP bukan untuk bersaing dengan Yang Berhormat, Penghulu dan Ketua Kampong tetapi untuk membantu memudahkan kerja-kerja mereka dengan mengangkat isu-isu pembangunan negara dan bangsa yang menjadi kepentingan bersama termasuklah isu-isu berkaitan kemaslahatan penghulu dan ketua kampong".
Sdra Malai Hassan menyentuh Titah Perutusan Tahun Baru Masehi 2012 dalam mana baginda sultan menitahkan kebimbangan baginda terhadap cabaran-cabaran hebat yang mendatang berikutan kemelut hutang yang dialami oleh beberapa negara maju di dunia.
Katanya NDP berkongsi kebimbangan baginda sultan dan bertekad akan terus membantu negara menghadapi cabaran-cabaran tersebut.
"NDP akan terus menjadi penyambung lidah rakyat dalam memberikan 'feedback' kepada baginda Sultan dan pihak-pihak yang berkenaan berhubung perlaksanaan dasar pembangunan negara serta akan terus mengusulkan cadangan-cadangan rakyat. Semua ini kita lakukan untuk mempastikan kemajuan pembangunan negara berjalan dengan lancar tanpa pembaziran yang boleh menjejaskan ekonomi negara dan kepentingan rakyat", tambah beliau lagi.
Untuk itu, katanya, NDP perlu mesra rakyat.
Beliau seterusnya menyeru kepada anggota masyarakat agar tidak merasa 'allergic' dengan NDP yang sebenarnya mempunyai mimpi yang sama dengan baginda Sultan dan juga rakyat walaupun tidak tidur sebantal iaitu impian untuk melihat negara akan berkekalan sebagai sebuah negara Melayu, Islam, Beraja yang aman, makmur, sejahtera serta sentiasa mendapat keampunan Allah.
|